Tag: pencemaran bau

  • Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    Lori tangki air digerak bantu pengguna terjejas

    SEBANYAK 85 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna terjejas, susulan insiden pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, bantuan bekalan air itu disalurkan dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

    Terdahulu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 7 pagi tadi, berikutan henti tugas sementara di kedua-dua LRA tersebut. 

    Lokasi yang terlibat ialah 172 kawasan di sekitar Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).

    Selain itu, Air Selangor turut melakukan ujian persampelan secara kerap, bagi mengukur kualiti air yang terjejas kesan daripada bahan sisa pencemaran tersebut.

    “Usaha menangani insiden pencemaran ini dijalankan secara bersama antara Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bagi mengatasi pencemaran bau tersebut agar LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dapat beroperasi semula dengan segera.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa, menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

    Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat terkini.

    Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • JAS selesai lakukan operasi pembersihan di lokasi pencemaran

    JAS selesai lakukan operasi pembersihan di lokasi pencemaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    OPERASI pembersihan di kawasan pencemaran bahan kimia di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru sudah selesai.

    Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd. Shafie berkata, kerja-kerja pembersihan itu dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi ini.

    Kerja-kerja pembersihan tali air daripada sisa kimia diselesaikan pihak JAS pada pagi ini

    Menurut beliau, selain 12 pegawai dan anggota JAS, operasi pembersihan itu turut dibantu seramai 26 sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan.

    “Tumpuan kerja-kerja pembersihan hari ini adalah melihat saki baki pencemaran yg masih melekat di tebing-tebing alur anak sungai berdekatan dengan rumah penduduk yang terlibat.

    “Kaedah digunakan adalah dengan menggunakan ‘oil boom’ dan ‘absortion pad’ serta kaedah manual seperti cangkul dan ‘scoop’ bagi membuang sisa pencemaran yg melekat di tebing, rumput dan kayu yg berada di anak sungai,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Katanya, JAS juga selesai melakukan kerja-kerja pembersihan awalan manakala pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa.

    Semalam, insiden pencemaran di kampung itu mengakibatkan 102 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara manakala empat lagi dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.

    (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

    Susulan itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada Rabu memberitahu, pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu.

  • Gangguan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

    Gangguan air di Selangor, Putrajaya pulih sepenuhnya

    BEKALAN air di 463 kawasan yang terjejas akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau pada Selasa, pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi tadi.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kawasan berkenaan meliputi wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.

    “Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

    “Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.- BERNAMA