Tag: pencemaran

  • JPV diarah pantau penternakan punca pencemaran Sungai Rambai

    JPV diarah pantau penternakan punca pencemaran Sungai Rambai

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) mengeluarkan notis kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi urusan pemantauan ladang penternakan babi yang dikatakan menjadi punca pencemaran di Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya telah meneliti laporan lengkap daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pencemaran sungai berkenaan dan mengarahkan JPV melakukan pemantauan selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penternakan.

    Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pemberi lesen iaitu JPV, bertanggungjawab memantau ladang penternakan secara berterusan selain akur pada undang-undang yang telah ditetapkan dan memastikan pihak penternak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

    Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020, ia meletakkan Sungai Rambai menjadi satu-satunya sungai di Malaysia menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata KASA komited bagi memulihkan sungai itu daripada tahap kritikal ke satu tahap yang lebih baik, sekurang-kurangnya mempunyai hidupan dalam sungai.

    “Sungai Rambai ini kosong, oksigen terlarutnya tiada dan tiada sebarang kehidupan. Ia memerlukan tindakan semua agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri untuk melestarikan sungai tersebut,” katanya. 

    Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Tuan Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dalam melindungi lapisan ozon antaranya menerusi Pelan Pengurusan Penghapusan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) secara berperingkat bermula 2012.

    Katanya Malaysia meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Okt 2020, bertujuan mengurangkan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC) iaitu alternatif kepada HCFC yang merupakan gas rumah kaca yang mempunyai potensi kepada pemanasan global lebih tinggi.

    “Komitmen pelaksanaan Pindaan Kigali dijangka mengurangkan pelepasan sebanyak 105 juta tan karbon dioksida setara, manakala suhu global pula dapat dikurangkan sebanyak 0.5 darjah Celcius pada 2100,” katanya.

    Hari Ozon Sedunia disambut pada setiap 16 Sept sebagai memperingati tarikh Perjanjian Protokol Montreal Mengenai Kawalan Bahan Pemusnah Ozon yang telah ditandatangani pada 16 Sept 1987.

    Tema pada tahun ini adalah Montreal Protocol@35 – Global Cooperation Protecting Life on Earth.– BERNAMA

  • JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kilang yang memproses makanan di Pasir Gudang dikenakan kompaun RM30,000 selepas didapati gagal mematuhi peraturan berkaitan penjagaan alam sekitar ditetapkan pihak berkuasa.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, 15 kompaun dikeluarkan terhadap kilang tersebut kelmarin kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Sebuah kilang memproses makanan didapati melepaskan efluen hingga menyebabkan pencemaran

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Tindakan susulan akan diambil ke atas premis selepas keputusan analisa diterima dari Jabatan Kimia,” jelas kenyataan itu.

    Menurut JAS lagi, premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara dilaksana.

  • Pencemaran kimia: Polis Johor-JAS buat operasi susulan

    Pencemaran kimia: Polis Johor-JAS buat operasi susulan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS menahan sembilan individu termasuk seorang pemilik premis bagi membantu siasatan bahan kimia yang dibuang di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru pada malam Selasa lalu, satu susulan serbuan akan dilakukan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menyiasat dari mana datangnya bahan kimia yang dibuang di tali air kampung tersebut.

    “Setakat ini tangkapan untuk siasatan kes ini masih kekal sembilan orang termasuk pemilik premis seperti yang sama maklumkan sebelum ini.

    “Mungkin selepas ini akan ada operasi susulan kerana lori yang membawa bahan kimia dipercayai dari lokasi lain, saya percaya (sisa bahan kimia itu) diambil dari lokasi lain.

    “Setakat ini baru satu premis sahaja disiasat, kita akan kenal pasti dengan JAS Johor dari mana bahan-bahan kimia ini dibawa dan dibuang di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru pada Jumaat.

    Seramai 102 penduduk Kampung Baru Sri Aman dipindahkan
    ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia dari sungai berhampiran kampung tersebut pada 10.30 malam Selasa.

    Menerusi siasatan pada pagi kelmarin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kemudian mengesan Methyl Alcohol dan Metanol dalam buangan sisa industri yang mengalir di tali air berhampiran kampung itu.

    Susulan itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya telah menahan empat suspek termasuk seorang pemilik premis yang disyaki terlibat melakukan pembuangan sisa industri berjadual itu di sebuah kilang, sebelum tangkapan bertambah menjadi sembilan suspek.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, soal siasat terhadap semua individu yang ditahan terus berjalan dan mereka masih lagi direman.

    Pihak polis katanya, akan terus membantu JAS Johor dalam usaha mengesan pihak yang bertanggungjawab membuang sisa buangan kimia tersebut.

  • Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    Pencemaran Kg Baru Sri Aman:9 ditahan, tiada gangguan bekalan air

    PENCEMARAN buangan terjadual di Kampung Baru Sri Aman, Kempas malam tadi yang melibatkan kawasan Sungai Tebrau sepanjang 1 kilometer tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan berhampiran.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui pemantauan dron, Unit Water Safety Plan (WSP) Ranhill SAJ mendapati sungai yang tercemar terus mengalir ke anak Sungai Tebrau dan tiada intake LRA RSAJ yang terlibat.

    Tuan Ibrahim Tuan Man

    “Oleh itu, pencemaran ini tidak akan menyebabkan gangguan
    bekalan air di kawasan berhampiran.

    “Selain itu, seramai sembilan orang suspek telah ditahan oleh pihak polis berhubung kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengenalpasti punca yang menyebabkan pencemaran tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut di premis yang disyaki iaitu dari premis penyimpanan lori.

    Ujar beliau, pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan terhadap kilang-kilang pyrolisis di kawasan yang terlibat.

    “Sebanyak sembilan sampel daripada kawasan kejadian dan sungai yang berhampiran telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa komposisi kimia.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 34B yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda sehingga RM500,000, atau kedua-duanya sekali selaras peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

    Sementara itu, Tuab Ibrahim berkata, JAS Negeri Johor sentiasa memantau dan meneruskan pemantauan terhadap tahap kualiti udara di kawasan sekitar tempat kejadian.

    Menurut beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan menegaskan pesalah akan dikenakan hukuman yang setimpal.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana hasil maklumat yang diberikan membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran buangan terjadual ini.

    “Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke
    [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” tambahnya.

  • LRA Sungai Semenyih rekod bacaan sifar ton

    LRA Sungai Semenyih rekod bacaan sifar ton

    PENGURUSAN Air Selangor (Air Selangor) kini dalam proses memulakan proses rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna. 

    Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata langkah itu penting selepas bacaan tahap sifar TON (ukuran kadar bau) sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih pada 6 pagi tadi. 

    Beliau berkata berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

    “Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas serta premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan dan Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.- BERNAMA