Tag: pencarum

  • Kerajaan pertimbang masa depan pencarum sebelum beri kebenaran pengeluaran KWSP – PM

    Kerajaan pertimbang masa depan pencarum sebelum beri kebenaran pengeluaran KWSP – PM

    DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat penelitian lanjut dan mempertimbangkan masa depan pencarum sebelum membuat keputusan membenarkan pengeluaran sekali lagi tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Perdana Menteri berkata, ini kerana hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati majoriti simpanan kumpulan pencarum berkenaan terlalu rendah sekali gus boleh membuatkan golongan ini berhadapan pelbagai kesukaran pada masa depan.

    “Kalau semua tengok orang yang simpan KWSP itu, duit (baki simpanan) sedikit sekali… jadi saya (akan) pertimbang keperluan yang mendesak dan (kerana melibatkan) masa depan mereka.

    “(Jumlahnya) terlalu kecil, saya check jumlah yang ada dalam kalangan majoriti pencarum KWSP (adalah) sangat kecil, saya bimbang masa depan mereka, (maka) kita cari jalan (terbaik) untuk bantu mereka,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020, di Kangar, hari ini.

    Semalam, media melaporkan Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000.

    Menurut Presidennya, Khairul Anuar Othman, pengeluaran secara one-off antara RM10,000 hingga RM30,000 adalah bertujuan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.

    Tambah beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum KWSP yang mahu pengeluaran dibenarkan sekali lagi.

  • Gagal jumpa CEO KWSP, pencarum rayu dengar rintihan mereka

    Gagal jumpa CEO KWSP, pencarum rayu dengar rintihan mereka

    SEKUMPULAN pencarum gagal bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyampaikan hasrat menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang sebanyak RM10,000 hari ini.

    Walau bagaimanapun, memetik laporan FMT, wakil mereka, Khairul Anuar Othman berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Amir Hamzah dalam masa terdekat selepas berjumpa dengan seorang pegawai KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur,

    Terdahulu, dalam sidang media di hadapan bangunan KWSP, beliau berkata, kehadirannya adalah bagi mewakili pencarum untuk menyuarakan hasrat dan rintihan mereka yang sebahagiannya dalam kesusahan menghadapi bencana banjir baru-baru ini.

    Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendengar suara mereka berkaitan tuntutan dibuat pencarum KWSP itu.

    “Dengar rintihan dan suara rakyat. Kami pencarum dalam kepayahan dan derita.

    “Bantuan RM1,000 dari kerajaan dan zakat sebanyak RM600 tidak cukup untuk kami teruskan kehidupan,” katanya di hadapan bangunan KWSP Jalan Raja Laut bersama kira-kira 10 pencarum lain.

    Mereka hadir di hadapan bangunan KWSP kira-kira pukul 2.45 petang tadi namun tiada perhimpunan dibuat mahupun perarakan bantahan dari Pusat Beli-Belah Sogo ke bangunan KWSP itu.

    Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, sekiranya suara pencarum tidak didengar hari ini, kumpulan yang mewakili pencarum KWSP akan menghantar memorandum kepada Ismail Sabri di Parlimen dalam masa terdekat.

    Terdahulu, FMT melaporkan tiada himpunan aman solidariti pencarum KWSP dibuat pagi tadi.

    Difahamkan, himpunan yang mahu menuntut pengeluaran i-Citra RM10,000 itu dibatalkan pada saat akhir berikutan kegagalan mendapat permit polis.

    Himpunan itu yang sepatutnya bermula pada pukul 8.30 pagi tadi di hadapan Sogo dilihat lengang tanpa kehadiran peserta.

    Tinjauan FMT mendapati laluan jalan di hadapan Sogo sehingga ke Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut dipantau polis sejak pukul 8 pagi tadi.

  • Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    Tampung perbelanjaan harian dan bulanan jadi pilihan utama pencarum mohon i-Citra

    MENAMPUNG perbelanjaan harian dan bulanan menjadi pilihan utama kira-kira 62 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam menyatakan tujuan permohonan i-Citra yang dibuka Julai lalu.

    Menurut Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein berkata, pilihan kedua terbanyak ialah menyelesaikan hutang pencarum dengan 16 peratus permohonan

    Selain itu katanya, sebanyak lapan peratus permohonan i-Citra memilih tujuan membantu ahli keluarga terjejas akibat pandemik dan tujuan lain (perbelanjaan bekerja dari rumah, keusahawanan, pendidikan, bukan keperluan penting, pelaburan)

    “Baki enam peratus lagi menyatakan mereka mengeluarkan i-Citra untuk tujuan menambah simpanan kecemasan,” katanya hari ini.

    Permohonan i-Citra dibuka pada 15 Julai lalu selepas diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) 28 Jun lalu.

    Bayaran pengeluaran telah dibuat secara berperingkat bermula 2 Ogos lalu.

    Ia membolehkan ahli yang layak membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

    Dalam pada itu, Nurhisham berkata, sejumlah RM2.3 bilion pembayaran i-Citra disalurkan kepada 4.57 juta pemohon setakat 4 Ogos lalu.

    Ujar beliau, pihaknya menerima 4.62 juta permohonan membabitkan jumlah RM19.3 bilion dengan RM19.1 bilion diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

    “Sebanyak 551 permohonan bernilai RM2.16 juta pula ditolak disebabkan oleh simpanan tidak mencukupi, melebihi had usia 55 tahun dan pemohon membatalkan permohonan,” tambahnya.