Tag: Pemuda Pas

  • Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    Artikel didakwa fitnah Hadi: Pemuda Pas lapor polis, gesa minta maaf

    PEMUDA Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal yang didakwa berunsur fitnah terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

    Beliau berkata, ia susulan laporan artikel yang dimuat naik di sebuah portal pada 6 Mac lalu.

    “Laporan ini cukup-cukup melampau, ia jauh menyimpang daripada apa yang diucapkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) sendiri, kami dapati tulisan ini berniat jahat serta mahu melaga-lagakan antara Tuan Guru dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya, semalam.

    Mohd Harun berkata, pihak terbabit digesa membuat permohonan maaf serta menarik balik artikel yang dikeluarkan itu.

    Katanya, jika perbuatan pihak tersebut menyebabkan kesan tidak baik dan berpanjangan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

    “Kami gesa supaya artikel ini segera dipadamkan dan ditarik balik. Kemukakan permohonan maaf. Sekiranya tiada apa-apa tindakan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka,” tegas beliau.

    Ujarnya, artikel berkenaan didakwa bertujuan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri, Presiden Pas dengan pihak istana.

    “Apa yang berlaku pada hari ini melahirkan api untuk menyemarakkan lagi hubungan tidak baik dan bertujuan melaga-lagakan sehingga merebak kepada hubungan parti politik dengan pihak istana.

    “Kita kesal kerana tohmahan dan provokasi ini termasuk isu Himpit 2023 yang apabila diolah secara tidak wajar oleh sesetengah pihak menyebabkan kita dianggap sebagai pengganas,” ujar beliau.

    Pada 2 Mac lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan kenyataan melarang semua pemimpin dan aktivis politik menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

    Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran.

    Isu tersebut turut mendapat maklum balas daripada Abdul Hadi yang mengakui akan meneruskan ceramah seperti biasa walaupun dilarang berbuat demikian.

    Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, tindakan tersebut tidak menjadi satu kesalahan kerana larangan berkenaan sebelum ini telah dibuat dan katanya dalam Islam sendiri tidak memisahkan politik dan agama. – Sinar Harian

  • Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    Pemuda Pas sokong angkat teks BM jadi versi rasmi Perlembagaan Persekutuan

    DEWAN Pemuda Pas menyokong penuh cadangan Peguam Negara agar kerajaan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu (BM) sebagai versi rasmi menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris.

    Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa sekiranya terdapat percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris, maka teks Bahasa Kebangsaan sepatutnya mengatasi teks Bahasa Inggeris.

    Tambahan pula katanya, teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan telahpun wujud dan telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong semenjak 2003 lagi.

    “Maka, ini bukan lagi persoalan terjemahan. Ini soal perlaksanaan agar menjadikan teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai versi muktamad yang akan dirujuk oleh semua.

    “Pelaksanaan ini adalah suatu tindakan yang baik dan wajar disambut oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Usaha ini selari dengan pemerkasaan Bahasa Kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu menjadi teks rasmi selaras Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

    Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam ucapan pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 berkata, pihaknya juga bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah yang terkini mengikut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, usaha menjadikan versi Perlembagaan Persekutuan edisi Bahasa Melayu sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kekeliruan yang berlaku di mahkamah.

    Katanya, ia juga memberi penafsiran yang lebih tepat terhadap peruntukan Perlembagaan, serta tidak mengenepikan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan, serta aspirasi perjanjian sosial yang sudah lama termeterai.

    “Justeru itu, Pemuda Pas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan penuh kepada usaha yang baik ini,” katanya.

  • Haramkan wanita ke universiti langkah terkebelakang Taliban – Pemuda Pas

    Haramkan wanita ke universiti langkah terkebelakang Taliban – Pemuda Pas

    KEPUTUSAN kerajaan Taliban di Afghanistan untuk melarang wanita belajar di universiti adalah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka, kata Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

    Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pendidikan adalah asas yang amat penting bagi membina sebuah tamadun yang sejahtera bahkan Islam menekankan umatnya untuk mencari ilmu bagi memajukan diri serta masyarakat.

    Menurutnya, pendidikan juga menjadi suatu wadah yang amat penting dalam membina sebuah peradaban, bukan sahaja kaum lelaki, malah golongan wanita juga turut memainkan peranan dalam perkembangan ilmu.

    “Atas sebab itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap polisi Kerajaan Islam Afghanistan, yang menggantung akses wanita negaranya daripada memasuki universiti di negara tersebut.

    “Sebelum ini, Taliban membenarkan pelajar wanita untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat universiti dengan syarat tertentu.

    “Malangnya, polisi ini digantung sementara selepas arahan terbaru yang dikeluarkan tempoh hari. Ini sebuah langkah terkebelakang yang dilaksanakan oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, tanpa sekalipun menafikan kewajipan untuk menutup aurat kepada semua umat Islam, tindakan kerajaan Taliban dilihat sebagai perkara yang tidak tepat pada pelaksanaannya.

    Katanya, langkah itu juga tidak wajar berlaku dalam memastikan budaya keilmuan terus berkembang dari semasa ke semasa.

    “Terdapat kaedah-kaedah perlaksanaan lain yang lebih sesuai, serta boleh dikuatkuasakan dalam memastikan isu hijab ini boleh dilaksana, di samping hak pendidikan kepada seluruh warganegara juga terjaga.

    “Dalam melaksanakan sesuatu perubahan, ianya mestilah dibuat secara berhati-hari dan tidak bersifat drastik sehingga mencemarkan nama Islam.

    “Rasulullah SAW juga pernah mengajar umatnya untuk melakukan perubahan secara berperingkat atau “Tadarruj”. Ini penting bagi memastikan penerapan nilai Islam dalam perubahan tersebut, agar ia mencapai maqasid syariah yang digariskan serta tidak menjadi fitnah yang mencemarkan nama Islam itu sendiri,” jelasnya.

    Pada 20 Dis, kerajaan Taliban mendapat kritikan global kerana menggantung akses untuk pelajar perempuan ke universiti sehingga diberitahu kelak – mendakwa ini kerana mereka tidak mematuhi “kod berpakaian” yang betul.

    Taliban juga berkata beberapa mata pelajaran seperti kejuruteraan dan pertanian, tidak sesuai untuk kaum wanita.