Tag: pemuda

  • 7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    7 lelaki disyaki pukul 2 pemuda kerana Mobile Legend ditahan

    POLIS mehahan tujuh lelaki yang disyaki memukul dua pemuda berumur 20an dalam pergaduhan yang berpunca daripada permainan video dalam talian Mobile Legend, di Telok Mas di Melaka petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pergaduhan berlaku semasa pengadu bersama seorang rakannya yang berada di sebuah stesen minyak, didatangi sekumpulan lelaki bermotosikal yang kemudian bertindak memukul mereka.

    Beliau berkata pengadu menerima 10 jahitan di dahi dan patah tulang hidung akibat dipukul dengan topi keledar.

    “Siasatan awal mendapati pergaduhan itu tercetus berikutan rasa tidak puas hati kerana maki hamun ekoran keengganan bermain mobile legend,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya semua tujuh lelaki berumur 16 hingga 28 tahun itu ditahan di Jalan Kota di sini sekitar tengah malam tadi, dan kes disiasat mengikut 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera, serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

    Ketujuh-tujuh suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    Pemuda ketepi soal jodoh demi jaga ibu bapa sakit

    SEORANG pemuda di Kedah sanggup melupakan dulu hasratnya untuk mencari teman hidup serta mencari pekerjaan tetap semata-mata untuk menjaga ibu bapanya yang menderita sakit.

    Bagi Mohd Yusri Haiqal Mohd Yusop, 32, dia sanggup berhenti kerja untuk pulang ke kampungnya di Kampung Chegar, Kuala Mawa di Pendang kerana ingin menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak tunggal.

    Katanya yang pernah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, ibunya Mahani Saleh, 57, menghidap kanser payu dara tahap tiga sejak dua tahun lalu dan baru menjalani pembedahan membuang payu dara kanan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 27 Oktober lalu.

    Bapanya pula, Mohd Yusop Sulaiman, 62, diserang angin ahmar sejak 2017 akibat tekanan darah tinggi mendadak menyebabkan dia kini tidak dapat bergerak.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia mengakui agak tertekan kerana terpaksa menjaga kedua ibu bapanya walaupun pada masa sama terpaksa bekerja sebagai mekanik secara sambilan untuk menyara kehidupan mereka.

    “Saya bukan mengeluh untuk menjaga mereka tapi saya agak tertekan kerana terpaksa tinggalkan ayah seorang diri di rumah kalau hendak bawa emak ke Hospital Lama di Alor Setar.

    “Bimbang juga apa-apa berlaku padanya kerana ayah tak boleh bergerak tetapi dalam masa sama saya perlu menguruskan emak ke hospital mengikut temu janji doktor kerana emak juga sudah tidak larat.

    “Adakalanya saya menangis memikirkan mereka selain mengenangkan ujian dari Allah yang saya perlu saya tempuhi,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mohd Yusri Haiqal berkata, dia amat berhasrat untuk mencari pekerjaan tetap, namun terpaksa melupakannya kerana tidak mahu berpisah dengan ibu bapanya selain mahu menjaga mereka sepenuhnya.

    Katanya, setiap hari dialah yang menguruskan untuk memandikan bapanya menggunakan kerusi roda serta menukar lampin pakai buang selain menyuap ubat.

    “Emak masih boleh bergerak tetapi dia perlu banyak berehat kerana awal Januari tahun depan, dia akan menjalani rawatan kemoterapi yang pertama.

    “Bukan saya tak mahu berkahwin, tapi saya perlu uruskan emak dan ayah dulu malah gaji yang saya peroleh hasil kerja sambilan juga tidak menentu bergantung pada permintaan. Kalau ada rezeki, adalah duit untuk saya,” katanya.

    Sementara itu, ibunya Mahani berkata, dia menghidap kanser selepas terdapat ketulan di payudara kanan sebelum membuat pemeriksaan di klinik kesihatan berhampiran.

    Katanya, selepas itu kesnya dirujuk di Hospital Lama Alor Setar dan selepas mengambil sampel, doktor mengesahkan dia menghidap kanser payu dara tahap tiga.

    “Sejak itu saya kerap berulang alik ke hospital di Alor Setar untuk menjalani rawatan sebelum malah doktor memberitahu kanser itu sudah merebak menyebabkan payu dara kanan terpaksa dibuang.

    “Dalam masa sama, saya berharap Mohd Yusri Haiqal bertemu jodoh kerana bimbang melihat keadaannya menguruskan kami serta bekerja secara sambilan dengan upah yang tidak menentu,” katanya.

    Mahani berkata, bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu digunakan sepenuhnya untuk kos ulang alik ke hospital, membeli susu formula serta lampin pakai buang suaminya selain membeli barangan keperluan dapur setiap bulan tetapi tidak mencukupi untuk menyara mereka tiga beranak.

    Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi 011-36035968 (Mohd Yusri Haiqal) atau ibunya, Mahani di talian 017-5803849 untuk maklumat lanjut.

  • [VIDEO] Pemuda 19 tahun lamar nenek 76 tahun

    [VIDEO] Pemuda 19 tahun lamar nenek 76 tahun

    SEORANG pemuda berumur 19 tahun menjadi tular setelah melamar kekasihnya yang jauh lebih tua dan mungkin sebaya dengan neneknya.

    Memetik laporan Mirror, Giuseppe D’Anna melamar seorang wanita berusia 76 tahun.

    Dia seterusnya memuat naik video melamar buah hatinya dalam TikTok.

    Video yang dikongsi melalui akaun @milina_gatta itu setakat ini telah ditonton lebih 23 juta kali dan memaparkan kapsyen ‘La nostra promessa’ yang bermaksud ‘janji kita’.

    pemuda lamar nenek la nostra promessa
    Tangkap layar video Tiktok @milina_gatta.

    Walaupun ramai netizen mempersoalkan tindakan Giuseppe itu, dia sedikit pun tidak kisah.

    “Dan ini hanyalah permulaan bagi siri yang panjang,” ujarnya dalam kapsyen.

    Dalam video yang sama, Giuseppe turut berkongsi gambar-gambarnya bersama wanita warga emas terbabit serta cincin pertunangan mereka.

    Ada netizen yang berseloroh mendakwa pemuda itu hanya ingin mengejar harta kekasihnya manakala yang lain yakin Giuseppe mahu Sony PlayStation 5.

    Walau apa pun yang netizen kecam, perasaan Giuseppe terhadap kekasihnya tetap tidak berubah.

    “Cinta saya adalah indah,” katanya.

    Semoga jodoh Giuseppe dan pasangannya kekal berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

  • Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    Pemuda menyamar doktor diarah jalani khidmat masyarakat 120 jam

    SEORANG pemuda dari Bandar Baru Semariang diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 120 jam atas kesalahan menyamar sebagai doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zubaidah Sharkawi terhadap Shah Hairil Izman Dave, 20, setelah meneliti laporan sosial dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

    Tertuduh pada 6 Julai lalu mengaku bersalah di atas pertuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

    Oleh itu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya memutuskan tertuduh dijatuhi hukuman Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam agregat dalam tempoh satu tahun mengikut Seksyen 293(1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh didakwa menyamar sebagai pegawai perubatan (doktor) pada 16 Jun sehingga 1 Julai 2021 di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini.

    Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas kakitangan palsu Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Difahamkan, tertuduh pernah pergi ke HUS kira-kira 32 kali untuk menyamar sebagai doktor.

    Dia juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, stetoskop, oksimeter nadi dan menempah cap atas nama Dr. Shah Hairil Izwan.

    Tertuduh bagaimanapun ditahan polis di PPV Stadium Perpaduan Petra Jaya kira-kira pukul 3 petang pada 1 Julai 2021.

    Ini selepas seorang doktor lelaki berusia 25 tahun yang juga pengadu mendapati tertuduh mempamerkan perbuatan mencurigakan di PPV tersebut.

    Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.