Tag: pemimpin DAP

  • Pemimpin DAP puji Wan Saiful

    Pemimpin DAP puji Wan Saiful

    SEORANG pemimpin DAP memuji keputusan Datuk Wan Saiful Wan Jan meletak jawatannya selaku Ketua Penerangan Bersatu, semalam dan menyeru semua pemimpin politik yang mempunyai kes mahkamah melakukan perkara serupa.

    Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau yang dikenali lantang bersuara itu berkata, peletakan jawatan Ahli Parlimen Tasik Gelugor berkenaan tanpa paksaan harus menjadi contoh kepada ahli politik Malaysia daripada semua parti.

    “Ia suatu keputusan bertanggungjawab yang dibuat oleh Wan Saiful bukan sahaja kepada Bersatu, tetapi untuk orang lain yang mahu memulakan kebertanggungjawaban individu baharu sebagai seorang tokoh masyarakat.

    “Terus terang, PH (Pakatan Harapan) juga mempunyai segelintir pemimpin ‘kluster mahkamah’ ini juga. Mereka harus mengikuti teladan Wan Saiful dan berundur daripada jawatan mereka,” kata Dr Boo kepada Malay Mail, semalam.

    Bekas ketua DAP Johor dan Ketua Pembangkang negeri itu mengulas tindakan Wan Saiful yang meminta Bersatu membenarkannya berundur sebagai ketua penerangan parti itu berikutan pertuduhan rasuah ke atasnya kelmarin.

    Dr Boo berkata, walaupun Wan Saiful berasal dari parti politik berbeza, beliau menghargai tanggungjawabnya dan percaya ia perlu dicontohi oleh semua ahli politik.

    “Saya tidak pernah bertemu Wan Saiful secara peribadi, tetapi pernah membaca artikelnya semasa beliau bersama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sebelum 2018.

    “Saya menganggap beliau sebagai seorang intelektual yang berbakat di mana beliau melakukan dengan baik sebagai penyelidik sebelum beliau memasuki politik,” katanya.

    Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan peletakan jawatan Wan Saiful sebagai ketua penerangan parti mulai berkuatkuasa serta merta.

    Bagaimanapun, tegas Muhyiddin, keputusan itu bukanlah satu pengakuan bahawa Wan Saiful bersalah.

    Kelmarin, ahli politik berusia 47 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berhubung program Jana Wibawa kerajaan pada 2022.

  • 2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000 fitnah bekas timbalan menteri

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin yang baharu dipilih, baru-baru ini, membayar ganti rugi RM350,000 kerana memfitnah bekas timbalan menteri, Chew Mei Fun, berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

    Lapor Free Malaysia Today, Hakim Roslan Abu Bakar berkata, Chew juga bekas naib presiden MCA, telah membuktikan kesnya terhadap dua pemimpin DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

    Chew telah menyaman Pua berhubung artikel diterbitkan dalam Malay Mail dan Nanyang Siang Pau serta di FMT, pada September 2017.

    Yeo juga disaman berhubung video yang diterbitkan di Facebook dan Nanyang Sian Pau, pada bulan sama.

    Pua dan Yeo mendakwa Chew, yang menganggotai jawatankuasa tanah daerah, telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

    Dalam keputusannya, Roslan berkata, kedua-dua penerbitan itu memfitnah Chew dan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan Reynolds yang dibangkitkan oleh kedua-duanya telah gagal.

    Pua dan Yeo diperintahkan membayar Chew masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi.

    Chew, yang diwakili Rueben Mathiavaranam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

    Pua dan Yeo diwakili Syahredzan Johan.

    Chew, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

    Beliau dilantik sebagai senator antara 2014 dan 2017.

    Ketika kenyataan menyinggung itu dibuat, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Yeo ADUN Damansara Utama.

    Mereka mendakwa, Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik berkepentingan.

    Bagaimanapun, Chew berkata, beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana perkara melibatkan tanah adalah di luar bidang kuasanya.

    Beliau juga berkata, Yeo mendakwa tanah berkenaan digunakan oleh penduduk setinggan bagi penanaman buah naga pada masa ia dijual kepada MCA.