Tag: pemilihan UMNO

  • Presiden UMNO beritahu beliau ‘ready to fight’ – KJ

    Presiden UMNO beritahu beliau ‘ready to fight’ – KJ

    BEKAS ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa Presiden UMNO sendiri menyatakan beliau sedia untuk dicabar di sebalik kenyataan 140 Ketua Bahagian UMNO yang mendesak jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti.

    Beliau berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kepadanya bahawa beliau sedia untuk berentap dalam pemilihan parti.

    Menurut Khairy, kenyataan itu dikeluarkan Ahmad Zahid ketika beliau bertembung dengannya ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    “Maknanya beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan UMNO, maksudnya Presiden sendiri berani.

    “Datuk Seri Zahid, saya salute (tabik hormat) kepada beliau, beliau tidak takut. Tadi beliau sebut kepada saya, ready to fight.

    “Maknanya kalau ada sebarang usaha untuk menutup demokrasi dalam UMNO dengan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan maka ia bertentangan dengan keberanian Presiden sendiri.

    “Ayuh menjadi lebih berani. Buka ruang demokrasi dalam UMNO, buka ruang semua jawatan untuk dipertandingkan,” katanya menerusi video dimuat naik dalam TikTok beliau hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka Mei nanti.

    Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

    Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

  • Seeloknya tiada pertandingan jawatan Presiden, tapi Tok Mat sedia dicabar

    Seeloknya tiada pertandingan jawatan Presiden, tapi Tok Mat sedia dicabar

    DATUK Seri Mohamad Hasan berpandangan jawatan presiden disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seeloknya tidak dipertandingkan selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU-15) lalu.

    Kata Timbalan Presiden UMNO itu, jika jawatan berkenaan dipertandingkan akan menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti, namun terpulang kepada ahli UMNO sekiranya mahukannya.

    “Kalau boleh dalam keadaan kita (UMNO) jatuh terduduk begini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain eloklah menang tanpa bertanding. Itu sebaiknya.

    “Kalau bertanding sedikit sebanyak ada perpecahan, jadi tak tahu terpulang kalau nak dipertandingkan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata kepada media selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Wanita dan Pemuda UMNO, Mohamad di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ditanya sama ada jawatan timbalan presiden yang disandangnya perlu dipertandingkan, Mohamad berkata beliau terbuka dan sedia mempertahankan jawatan itu.

    “Saya tidak ada isu. Saya terbuka siapa nak bertanding lawan timbalan presiden, saya mempertahankan, saya tak ada isu,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun berkata UMNO mengamalkan demokrasi dan setiap jawatan terbuka untuk dipertandingkan jika ada pencadang dan penyokong.

    “Kita (UMNO) tak macam dulu, nak bertanding presiden, timbalan presiden mesti ada kuota. Sekarang senang sahaja ada seorang penyokong, seorang pencadang terpulang kalau nak tanding,” katanya.

    Sebelum ini Ahmad Maslan mengesahkan UMNO perlu membuat pemilihan di semua peringkat jawatan tertinggi sebelum 19 Mei depan.

    Jelas setiausaha agung UMNO itu, ia ekoran permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 baru-baru ini.

  • “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    “Mudarat lebih besar menanti jika tiada pertandingan 2 jawatan tertinggi UMNO”

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ALASAN kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan demi kestabilan parti hanya akan digunakan oleh golongan tidak tahu malu yang hanya gilakan kuasa serta kemaruk jawatan dan kepentingan.

    Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Yusof Ismail, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas kian hampir, semakin banyak pandangan yang menyokong dan menyanggah agar kedua-dua jawatan tersebut dipertandingkan.

    Katanya, mereka yang tidak mahu pemilihan untuk dua jawatan tersebut mempunyai pelbagai alasan kononnya walak kepada pemimpin dan setia kepada Presiden.

    “Paling mual, nak pastikan kestabilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Alasan itu juga turut digunakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) konon untuk memastikan parti kuat dan menang.

    “Menang apanya? Kalah teruk lagi adalah. Paling teruk dalam sejarah, 26 kerusi saja berbanding 54 kerusi dalam PRU-14.

    “Paling tidak sebelum PRU-15, UMNO kuasai kerajaan dan menjadi Perdana Menteri. Pergi desak PRU-15 diadakan atas alasan kestabilan, sudahnya lagi porak-peranda,” katanya dalam satu status dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

    Yusof turut mempersoalkan adakah UMNO masih mahu menyekat demokrasi dengan alasan ‘kestabilan’ selepas semua itu berlaku?

    “Hanya yang gila kuasa dan kemaruk jawatan serta kepentingan saja tak tahu malu guna alasan konon suci macam ini. Jutaan lagi ahli UMNO tahu sangat agenda masing-masing.

    “Kalau betul dua jawatan ini tidak dipertandingkan, tunggulah UMNO akan ditimpa mudarat lebih besar. Bukan ahli UMNO saja hilang kepercayaan tetapi rakyat juga akan berpaling muka dari UMNO.

    “Mana lagi kita sanggup tengok? UMNO kekal dihormati ahlinya sediri walaupun segelintir akan menyalak kerana hilang kuasa atau UMNO dikuburkan rakyat buat selama-lamanya?” soalnya.