Tag: Pemilihan UMNO 2023

  • Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    Anak Zahid lapor Jawatankuasa Pemilihan, dakwa wujud pelanggaran etika

    ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan itu berlangsung semalam, sekali gus mengakibatkannya kalah dalam saingan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.

    Menurutnya, pelanggaran itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan UMNO 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar sambil menyertakan tangkap layar perbualan di WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.

    “WhatsApp pada malam pemilihan 10 Mac daripada seorang yang sudah dikenal pasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.

    “Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang. Undi saya 115/268 dan yang ‘masih menang’ 133/268. Ini sudah dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan UMNO,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

    Berdasarkan gambar yang dikongsikan bersama kenyataan itu, yang dipercayai tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp, antara lainnya mengandungi ayat berbentuk arahan, meminta supaya perwakilan Wanita UMNO di bahagian itu supaya menyokong penyandang Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk, Zarozatin Isa.

    Jumlah 268 itu merujuk kepada perwakilan layak mengundi untuk pemilihan Wanita Umno Bagan Datuk.

    Biarpun tewas dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO di bahagian Bagan Datuk semalam, namun Nurulhidayah menang jawatan EXCO Wanita UMNO pusat.

    UMNO Bahagian Bagan Datuk diterajui Ahmad Zahid yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

  • Nurul Amal menang jawatan Ketua Puteri UMNO

    Nurul Amal menang jawatan Ketua Puteri UMNO

    NAIB Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menang jawatan Ketua Puteri pergerakan itu mengetepikan lima calon lain pada pemilihan semalam, berdasarkan keputusan tidak rasmi.

    Memetik laporan Berita Harian, Nurul Amal yang lebih dikenali sebagai Along mendapat 76 undi, mengalahkan pencabarnya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan EXCO Puteri, Dr Masliha Harun.

    Turut tewas Setiausaha Puteri, Nurul Hazwani Haslan; Fadwah Anuwar serta Ketua Puteri UMNO Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin.

    Sementara itu, jawatan Naib Ketua Puteri dimenangi EXCO Puteri, Siti Sokhleha Nordin dengan 97 undi, menewaskan EXCO lain, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani dan Ketua Puteri UMNO Mersing, Rina Farhana Abdullah.

    Bagi jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalannya serta EXCO Puteri, belum ada sebarang kemas kini terbaharu mengenainya setakat ini.

  • Nurulhidayah kecundang di Bagan Datuk, menang di Pusat

    Nurulhidayah kecundang di Bagan Datuk, menang di Pusat

    ANAK kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid gagal memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan kali ini apabila tewas di tangan penyandangnya, Zarozatin Isa.

    Memetik laporan Sinar Harian, Nurulhidayah bagaimanapun berjaya mendapat undi kedua terbanyak bagi jawatan Exco Wanita UMNO Pusat dengan memperoleh 330 undi dalam pemilihan, semalam.

    Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pula dimenangi Zainab Samsudin.

    Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian pula menyaksikan muka baharu apabila Muhammad Nabil Saleh dipilih perwakilan manakala Naib Ketua Pemuda bahagian dimenangi Mohd Izlahudin Shawani Mohd Nordin.

    Sementara itu, Puteri UMNO Bahagian Bagan Datuk mendapat ketua yang baharu selepas Nurul Salina Mohamad memenangi pemilihan pada Sabtu manakala Nurul Azura Ramli pula memenangi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO bahagian berkenaan.

    UMNO Bahagian Bagan Datuk diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menang tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

    Nurulhidayah Ahmad Zahid, Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Pemilihan UMNO, tewas,

  • Noraini halang kemunculan semula Shahrizat, pertahan Ketua Wanita UMNO

    Noraini halang kemunculan semula Shahrizat, pertahan Ketua Wanita UMNO

    KERUSI Ketua Wanita UMNO yang paling mencuri tumpuan pada pemilihan UMNO 2023 dijangka menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menggagalkan kemunculan semula pencabarnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu saingan sengit.

    Memetik laporan Berita Harian, ini setelah keputusan tidak rasmi yang diterima awal pagi ini menyaksikan Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong memperoleh 106 undi daripada 189 bahagian yang terbabit dalam pemilihan di seluruh negara.

    Dalam saingan sengit pemilihan sayap yang berlangsung semalam, kedua-dua pemimpin terbabit saling kejar mengejar dalam jumlah undi yang diterima mereka daripada peringkat bahagian.

    Shahrizat, 70, yang bersara daripada politik selepas 11 tahun menerajui Wanita UMNO pada 2018, memutuskan kembali ke gelanggang selepas mendakwa mendapat permintaan daripada kalangan pemimpin akar umbi.

    Shahrizat mengetuai sayap itu sejak 2009, selepas menewaskan Tan Sri Rafidah Aziz yang memegang jawatan berkenaan mulai 1999.

    Noraini kemudiannya mengambil alih jawatan itu, selepas Shahrizat berundur pada 2018.

    Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 membuka tirai semalam dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.

    Para perwakilan akan mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

  • Dr Akmal menang jawatan Ketua Pemuda UMNO – Asyraf Wajdi

    Dr Akmal menang jawatan Ketua Pemuda UMNO – Asyraf Wajdi

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, untuk sesi 2023-2026 berdasarkan kiraan tidak rasmi.

    Perkembangan itu dikongsikan penyandangnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook malam ini.

    “Keputusan tidak rasmi Dr Akmal Saleh berjaya memenangi jawatan KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA untuk Sesi 2023-2026.

    “Setakat ini undi yang diperolehi 103 Bahagian; melepasi 96 undi untuk majoriti mudah daripada keseluruhan 191 Bahagian,” katanya.

    Keputusan itu menyaksikan beliau mengetepikan saingan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dengan 16 undi manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula mendapat enam undi.

    Seorang lagi calon iaitu Meor Hassan Mat Ali, gagal mendapat sebarang undi.

    Berdasarkan infografik yang dikongsikan Asyraf Wajdi, antara bahagian yang memberikan undi kepada Dr Muhamad Akmal antaranya Gerik, Sembrong, Bagan Serai, Kampar, Alor Setar,Lumut dan Parit Sulong.

    Bahagian lain yang memberikan undi kepada beliau ialah Shah Alam, Indera Mahkota, Masjid Tanah, Iskandar Puteri, Keningau, Ipoh Timur dan Petaling Jaya.

    Sementara itu, Dr Akmal dalam reaksinya mengucapkan syukur di atas kemenangan berkenaan dan memohon ahli UMNO membantunya menggalas amanah dan tanggungjawab tersebut.

    “Alhamdulilah Alhamdulilah Alhamdulilah. Saya mohon sahabat-sahabat semua bantu saya untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar ini. Demi sebuah pengharapan, Pemuda cara kita,” katanya di Facebook.