Tag: pemilihan semula

  • Calon Ketua UMNO Bahagian Sik nafi dakwaan tarik diri

    Calon Ketua UMNO Bahagian Sik nafi dakwaan tarik diri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENJELANG pemilihan semula bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik hari ini, ada pihak tampak cuba bermain kotor apabila menyebarkan dakwaan kononnya bekas Ahli Dewan Undangan Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid menarik diri daripada saingan tersebut.

    Mengulas perkara itu Mahadzir berkata, dakwaan tersebut langsung tidak berasas.

    “Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab, tidak profesional dan mencerminkan ketidak matangan individu yang melakukannya.

    “Saya tetap mendokong aspirasi UMNO dan berharap demokrasi dalam UMNO Bahagian Sik aan terus subur tanpa tercemar dengan tindakan segelintir pihak yang suka membuat tohmahan dan fitnah, apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

    Tambahnya, beliau juga berharap penejelasan tersebut dapat memberi gambaran siapa dirinya dan siapa ‘mereka’ yang melakukan perbuatan itu.

    “Allah maha kaya, Allah bersama dengan orang yang benar dan sabar, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Menerusi surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahir Samad pada 27 Mac lalu, pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian itu perlu diadakan semual setelah keputusan sebelum ini didapati tidak sah.

    Pemilihan sebelum ini menyaksikan Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim memenangi jawatan itu dengan majoriti cuma satu undi ke atas penyandang, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah apabila masing-masing 229 dan 228 undi.

    Mahadzir ketika itu cuma mendapat 43 undi manakala bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman memperolehi enam undi.

  • Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    Tiga bahagian UMNO Kelantan adakan pemilihan semula

    SUSULAN terdapat bantahan diterima pusat, tiga bahagian UMNO Kelantan akan mengadakan pemilihan semula kepimpinan bulan ini.

    Setiausaha UMNO Kelantan, Akhbar Salim berkata, ia akan melibatkan UMNO Bahagian Jeli, Kuala Krai, dan Tumpat.

    “Pemilihan UMNO Bahagian Jeli dan Kuala Krai akan berlangsung pada 8 April ini, manakala Tumpat berkemungkinan besar 15 April nanti.

    “Untuk makluman, kedudukan nombor dan senarai calon masih sama sebagaimana pemilihan sebelum ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Menurut Akbar, UMNO negeri berharap pemilihan semula di tiga bahagian itu akan berjalan lancar dalam suasana penuh kekeluargaan.

    “Saya harap berilah mandat kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan peringkat bahagian dengan sebaik mungkin.

    “Pemimpin mana yang menang, teruskan bekerja bagi memastikan UMNO kembali bangkit di bumi Kelantan ini,” katanya.

  • Mesyuarat UMNO bahagian Sipitang tidak sah, buat pemilihan semula

    Mesyuarat UMNO bahagian Sipitang tidak sah, buat pemilihan semula

    SUSULAN ketidakteraturan perjalanan mesyuarat UMNO bahagian Sipitang 18 Mac lalu, satu pemilihan semula perlu diadakan melibatkan bahagian itu dalam masa terdekat.

    Perkara itu disahkan beberapa pemimpin UMNO bahagian Sipitang susulan surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

    Memetik laporan Berita Harian, surat itu antara lain mengatakan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO 2023 membuat keputusan bahawa mesyuarat dan pemilihan UMNO bahagian Sipitang sebagai tidak sah.

    Ini bermakna, semua keputusan pemilihan membabitkan bahagian Sipitang termasuk kemenangan Abdul Rahman Mohd Noh sebagai Ketua UMNO Bahagian yang baharu terbatal.

    Sehubungan itu, penentuan tarikh, masa dan tempat untuk pemilihan semula UMNO bahagian Sipitang akan diputuskan Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri dan Badan Perhubungan UMNO Sabah.

    Difahamkan, ketika proses pemilihan UMNO bahagian Sipitang pada 18 Mac lalu, pengerusi dan jawatankuasa pemilihan didakwa tidak melaksanakan tugas serta tanggungjawab secara telus.

    Ia dikaitkan dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan iaitu 820, melebihi jumlah kehadiran perwakilan yang dilaporkan hanya 705 orang.

    Bahagian Sipitang menyaksikan pertandingan empat penjuru untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian apabila penyandang, Datuk Kamarlin Ombi dicabar bekas Setiausaha UMNO Bahagian, Abdul Rahman Mohd Noh; bekas Ketua Pemuda UMNO Sipitang, Sani Miasin dan Awangku Junaidi Awangku Tinggal.

    Berdasarkan keputusan pemilihan 18 Mac lalu, persaingan sengit berlaku antara Kamarlin dan Abdul Rahman apabila masing-masing mendapat 254 dan 255 undi iaitu perbezaan hanya satu undi yang memihak kepada Abdul Rahman.

    Walaupun berlaku bantahan ketika proses pengiraan undi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Sipitang, Datuk Ahmad Bujang, terus mengumumkan keputusan dengan alasan bimbang berlaku perkara tidak diingini walaupun sudah dikenal pasti terdapat lebihan kertas undi.