Tag: pemerdagangan orang

  • Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

    POLIS Malaysia dan Tailand melumpuhkan sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan empat mangsa yang ditahan di Malaysia.

    Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej berkata empat wanita, dua warga Thailand dan dua warga Indonesia, diselamatkan di sebuah hotel di Selangor pada Sabtu.

    Beliau berkata polis Thailand menahan dua lelaki, seorang di Chachoengsao dan yang kedua di Chonburi pada Sabtu manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia menangkap tiga wanita di Selangor pada hari yang sama.

    “Kami sedang menyiasat lebih lanjut sama ada lebih ramai yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berterima kasih kepada polis Malaysia atas bantuan mereka dalam menyelesaikan kes itu.

    Dua lelaki yang ditahan di Thailand kini dalam tahanan polis.

    Mereka berdepan sembilan pertuduhan termasuk pemerdagangan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Jirabhop berkata penahanan itu susulan siasatan berbulan-bulan selepas polis Thailand dan Malaysia menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dipaksa melacur di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur pada Julai.

    Katanya gadis muda itu dihubungi seorang lelaki di media sosial memintanya untuk bekerja di rumah urut di Malaysia dengan gaji antara 20,000 dan 200,000 baht sebulan.

    Gadis berkenaan menerima tawaran itu dan menyelinap masuk ke Malaysia secara haram di Sungai Kolok di Narathiwat.

    Beliau berkata gadis itu kemudiannya diselamatkan dan dihantar pulang ke Thailand pada Julai selepas keluarganya membuat laporan polis. – BERNAMA 

  • Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Lelaki disyaki ejen pemerdagangan manusia ditahan rasuah anggota polis

    Menurut sumber, individu berusia 20 tahun itu telah memberi rasuah berjumlah RM2,500 kepada seorang anggota polis di sekatan jalan raya snap check, susur Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) menghala ke Jalan Bakar Batu di sini pada 5 Ogos lepas.

    “Individu itu ditahan selepas dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan, lelaki berkenaan memberikan wang rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan tangkapan ke atasnya yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya.

    Sehubungan itu, individu terbabit ditahan pada 1 tengah hari tadi di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu. – BERNAMA

  • Pelawak disyaki terbabit pemerdagangan orang dibebas dengan jaminan polis

    Pelawak disyaki terbabit pemerdagangan orang dibebas dengan jaminan polis

    SEORANG pelawak yang ditahan disebuah hotel dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.

    “Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya, hari ini.

    Media melaporkan lelaki berumur 40-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, Ahad lalu.

    Polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

    Hasil pemeriksaan pihak polis juga merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang dan empat buah telefon bimbit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).