Tag: pemerasan

  • Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    Lelaki ditahan disyaki lakukan pemerasan sebar video bogel

    SEORANG lelaki ditahan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur selepas disyaki melakukan pemerasan dengan menyebar video bogel sehingga memaksa mangsa membayar sejumlah wang kepadanya.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah dalam kenyataan berkata lelaki berusia 23 tahun itu ditahan pada 28 Ogos lepas dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan kemudian dibawa ke IPD Batu Pahat semalam untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun pada Julai lepas  berkaitan satu ugutan membabitkan video bogel yang didakwa melibatkan dirinya.

    Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan ‘video bogel’ terbabit sekiranya mangsa tidak membayar wang.

    Mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM1,900 ke akaun lelaki berkenaan.

    “Lelaki itu direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • 25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    25 lelaki jadi mangsa pemerasan seksual, rugi RM150,000

    SEBANYAK 25 kes melibatkan sindiket pemerasan menggunakan taktik panggilan video lucah dan langganan perkhidmatan  seks melalui platform media sosial dilaporkan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari lalu hingga semalam.

    Kesemua kes itu melibatkan mangsa lelaki berumur antara 17 hingga 50 tahun dengan nilai kerugian sebanyak RM150,000.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan langganan seks dan membuat panggilan video lucah selepas berkenalan menerusi medium media  sosial seperti Facebook, Wechat, Michat, Line, Tinder dan banyak lagi.

    Jelasnya, bagi kes yang menawarkan langganan seks, suspek akan meminta  mangsa membuat bayaran tertentu sebagai wang deposit dan akan terus meminta bayaran tambahan.

    Katanya, jika mangsa enggan suspek akan  mengugut dengan menghantar gambar  atau video orang yang dicederakan  kononnya mereka akan melakukan perkara yang sama kepada mangsa.

    “Selain itu, suspek juga akan memuat  turun gambar mangsa yang terdapat di  media sosial dan mengugut mangsa  untuk menyebarkan gambar dengan ‘caption’ jelik serta boleh menjatuhkan maruah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagi  kes panggilan video lucah pula, ujar Soffian, suspek akan membuat panggilan video menggunakan wanita yang beraksi lucah serta meminta mangsa berbogel.

    Katanya, pnggilan video itu akan dirakam oleh suspek dan kemudiannya akan mengugut mangsa untuk membuat sejumlah bayaran sekiranya tidak mahu  video tersebut disebarkan kepada kenalan  mangsa atau ditularkan di media sosial.

    “Suspek akan terus cuba menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon  tempatan atau luar negara serta akan  menggunakan lebih daripada satu nombor  telefon bagi mengugut dan menakutkan  mangsa,” katanya.

    Tambah beliau, sindiket itu turut menggunakan beberapa cara pembayaran  antaranya melalui pembelian Razer Gold, pemindahan wang dalam talian dan Pay Pal.

    Katanya, kesemua kes yang dilaporkan  disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, Seksyen 385  Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan  ketakutan bagi tujuan melakukan pemerasan dan Seksyen 233 Akta  Kesalahan Multimedia dan Komunikasi  1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan  rangkaian.

    “Sehubungan itu, kita menasihatkan orang  ramai agar lebih berhati dalam menggunakan apa-apa jua aplikasi atas  talian dan jangan sesekali terpedaya  dengan tawaran perkhidmatan seks serta  langganan urut atas talian. 

    “Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkelakuan lucah semasa membuat  panggilan video dengan mana-mana individu yang baru dikenali bagi mengelakkan dari menjadi  mangsa  sindiket ini,” katanya.