Tag: pembangkang

  • Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik ganti sidang khas, libatkan pembangkang

    Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik ganti sidang khas, libatkan pembangkang

    DATUK Seri Ismail Sabri berkata, Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 kini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan semasa Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

    “Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring
    dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan bulan lalu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

    Perdana Menteri menjelaskan, kerjasama rentas parti yang ditawarkan itu bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik menerusi kebersamaan.

    Tawaran itu kemudiannya menyaksikan satu pertemuan antara Perdana Menteri dan pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) di Putrajaya.

    Mereka kemudiannya mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

    Dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu, Ismail Sabri berkata, kesemua mereka sepakat mencari titik persamaan demi agenda kepentingan rakyat.

    “Ia tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” kata Ismail Sabri.

    Menurutnya, inisiatif pertemuan itu adalah sebagai menzahirkan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu meredakan suhu politik negara.

  • Tiada pembangkang dalam Kabinet – Ismail Sabri

    Tiada pembangkang dalam Kabinet – Ismail Sabri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PEMBANGKANG tidak akan dilibatkan sama sekali dalam barisan Kabinet baharu kerana kerajaan sedia ada kini bukan sebuah kerajaan perpaduan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Kerjasama yang saya sebutkan sebelum ini tidak semestinya memerlukan keberadaan mereka dalam Kabinet.

    “Kalau betul nak bantu berkaitan Covid-19, kita ada Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 manakala untuk pemulihan ekonomi pula, kita ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya jemput mereka sertai sebelum ini,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku selepas kejadian kepala air, baru-baru ini.

    Yang turut hadir dalam lawatan kerja tersebut, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

    Ismail Sabri turut berterima kasih terhadap maklum balas menggalakkan dibuat pembangkang termasuk kesudian mengadakan perbincangan.

    “Insya-Allah saya akan berjumpa mereka untuk bincang apa yang boleh terutamanya mengenai peranan dimainkan mereka,” katanya.

    Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri semalam menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

    Perdana Menteri berkata, kemelut politik melanda negara menimbulkan keresahan rakyat, justeru kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.

    Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dalam perjumpaan bersama ketua parti politik baru-baru ini, supaya semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

    Tawaran Perdana Menteri kepada pembangkang untuk terlibat secara langsung dalam MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 adalah sangat baik dan membuktikan beliau berjiwa besar dan inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia.

    Sementara itu, beliau berkata, barisan Kabinet dijangka akan diumumkan minggu ini selepas beliau mempersembahkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mendapat perkenan Seri Paduka.

    “Sekarang ini setiap hari ada keluar senarai nama baharu di media sosial. Yang itu jangan percaya kerana semuanya palsu,” katanya.

  • 206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    206 laporan polis diterima berhubung perhimpunan ahli Parlimen pembangkang – KPN

    Oleh: Bernama

    POLIS menerima 206 laporan di seluruh negara berhubung perhimpunan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka semalam susulan penangguhan Sidang Khas Parlimen.

    Ketua Polis Negara Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata satu kertas siasatan telah dibuka bagi kesemua laporan yang diterima dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

    Sehubungan itu katanya polis meminta semua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu supaya memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan juga Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata pihaknya mengambil maklum bahawa pada 30 Julai lepas, Setiausaha Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021 telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

    Acryl Sani berkata penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan COVID-19, dan kementerian berkenaan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan wabak itu.

    Beliau berkata pada 1 Ogos lepas pihaknya telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di kawasan Parlimen pada 2 Ogos 2021.

    “Mengambil kira bahawa pada tarikh berkenaan tiada sidang Parlimen berlangsung kerana sidang telah ditangguhkan dan tiada kewajaran untuk ahli-ahli Dewan Rakyat berada di Parlimen, maka pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan sebarang perhimpunan daripada diadakan,” katanya.

    Jelasnya tindakan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U (A) 293), bertarikh 4 Julai 2021, dan berhimpun serta berarak merupakan aktiviti yang dilarang dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

    Semalam Bernama melaporkan polis telah menghalang cubaan Ahli Parlimen pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun sidang itu telah ditangguhkan atas nasihat KKM berikutan penularan COVID-19.

    Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen. – BERNAMA