Tag: pembakaran terbuka

  • Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    PENDUDUK Kampung Johan Setia, Klang mahu tindakan diambil terhadap segelintir petani haram warga asing yang bertindak menceroboh tanah secara sesuka hati sekali gus mengundang keresahan mereka.

    Mereka didakwa bukan sahaja menceroboh tetapi melakukan pembakaran secara terbuka turut menyebabkan kawasan itu sering berlaku pencemaran udara.

    Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia, Muhamad Kamal Ismail, 48, berkata, isu pencerobohan tanah oleh petani warga asing di kawasan itu semakin berleluasa sejak empat tahun lalu.

    Malah katanya, kejadian kebakaran juga kerap berlaku disebabkan oleh tindakan mereka.

    “Kebanyakan petani haram di sini terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia.

    “Kebiasaannya mereka melakukan pembakaran tersebut bagi meneroka tanah untuk melakukan aktiviti pertanian secara haram namun tindakan berkenaan telah menyebabkan berlakunya pembakaran tidak terkawal sehingga sering mengundang risiko pencemaran udara kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Kamal berkata, aktiviti pembakaran haram oleh pihak terlibat kebiasaannya dilakukan pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan itu dikesan orang awam.

    “Untuk tahun ini sahaja, dianggarkan lima kejadian kebakaran berlaku antaranya melibatkan kawasan stor pembuangan sisa pepejal yang ditinggalkan, kebun petani, tapak pelupusan sampah haram dan lain-lain,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Sri Nadi, di sini, Othman Baharuddin, 64, berkata, insiden kebakaran tanah lapang berhampiran rumahnya pada Sabtu lalu turut mengundang kebimbangan berikutan jarak lokasi kejadian hanya terletak sekitar 60 meter.

    Othman berkata, ketika kejadian itu, dia amat risau sekiranya api kebakaran merebak sehingga ke kawasan rumah kediamannya.

    “Nasib baik angin ketika itu tidak ke arah rumah kami dan pasukan penyelamat segera tiba bagi melakukan kerja pemadaman,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Rahman Tahir, 65, berkata, kawasan Kampung Johan Setia sememangnya kerap berlaku kejadian kebakaran terbuka dan disebabkan itulah pemantauan perlu dilakukan secara berkala.

    Tambahnya, kebanyakan tanah yang diceroboh adalah berstatus hak milik persendirian malah kebanyakan pemilik juga tidak mengetahui mengenai keadaan yang berlaku itu.

    “Kebanyakan pemilik tanah hanya mengetahui tanah mereka diceroboh selepas menerima notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Disebabkan itulah, kami sebagai penduduk berharap agar pemilik tanah di kawasan ini dapat bersama-sama membantu dengan memastikan tanah mereka tidak diceroboh,” katanya.

    Ahad lalu, JAS Selangor berjaya mengesan aktiviti pembakaran terbuka di Kampung Johan Setia bersebelahan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini menerusi pemantauan menggunakan dron.

  • Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pemerhatian JAS Pulau Pinang mendapati pembakaran terbuka itu melibatkan sebahagian kawasan kebunnya yang tidak diselia dan berpotensi merebak ke kawasan lain.

    JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung berlakunya pencemaran udara ekoran aktiviti pembakaran terbuka di kebun tersebut.

    Katanya, mengikut seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Kompaun minimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar terutama ketika cuaca panas dan kering.

    “Ini kerana selain mencemar dan mengganggu masyarakat sekeliling, aktiviti pembakaran terbuka juga mudah merebak ke kawasan belukar atau hutan,” katanya.

    Sementara itu beliau menambah, JAS Pulau Pinang merekodkan sebanyak 547 aduan rasmi aktiviti pembakaran terbuka  sepanjang tahun ini setakat hari ini.

    Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat tentang pencemaran ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.