Tag: pembahagian kerusi

  • PN selesai agih kerusi di empat negeri

    PN selesai agih kerusi di empat negeri

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERIKATAN Nasional (PN) selesai mengadakan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen itu di empat negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang antara negeri yang selesai menjalani proses itu.

    Manakala, kerusi DUN di Negeri Sembilan dan Selangor hanya berbaki beberapa kawasan sahaja lagi untuk dimuktamadkan menjelang Ahad ini.

    “Ada sedikit lagi (belum selesai) iaitu dua ke tiga kerusi di Negeri Sembilan dan dua tiga kerusi juga di Selangor. (Rundingan untuk) Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu selesai. Kita bagi masa seminggu kepada kepimpinan PN negeri itu sehingga Ahad ini dan akan jumpa semula.

    “Bukan pasal apa sebab hang nak (kerusi), aku pun nak jadi kita rundinglah. Itu sebab rundingan tak selesai kita jumpa mereka dan suruh runding lagi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Para Sukma XX di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar.

    Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, perbincangan agihan kerusi DUN dalam kalangan parti dalam PN sudah mencapai 80 peratus yang dibuat secara muafakat.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi menafikan kelewatan rundingan kerusi di kedua-dua negeri tersebut disebabkan ura-ura penyertaan bekas pemimpin daripada parti lawan sebelum ini.

    “(Punca) lambat bukan sebab pemimpin UMNO nak sertai kita dan kita bukan runding calon lagi, cuma runding kerusi sahaja dahulu. Bukan kerusi panas sangat pun, biasa sahaja. Ahad selesai semua,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu menegaskan beliau tidak berkecil hati walaupun tidak mendapat jemputan untuk ke majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Petani, hari ini yang diketahui bukan program rasmi Kerajaan Persekutuan.

    “Tak ada jemputan, saya pun tak tau apa. Depa tak jemput saya tak pergi. Itu benda kecil, buka puasa sahaja tak jemput tak apa. Bukan program rasmi kerajaan walaupun berbuka puasa. Kalau program untuk pentadbiran kerajaan itu betullah kena panggil saya. Tak ada berkecil hatilah,” katanya.

    Tambah Muhammad Sanusi, beliau turut mempunyai program berbuka lain yang harus dihadirinya pada masa yang sama.

    Anwar akan menghadiri beberapa program di Pulau Pinang sebelum berkunjung ke Kedah untuk Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri di Sungai Petani.

    Pada 5 April lalu, Muhammad Sanusi dan beberapa pimpinan kerajaan negeri memenuhi undangan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke majlis berbuka puasa di Masjid A’Ala Pekan Jitra di Kubang Pasu.

  • PRN: MCA akui rundingan pembahagian kerusi lebih kompleks

    PRN: MCA akui rundingan pembahagian kerusi lebih kompleks

    PRESIDEN MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan PH-BN dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada pertengahan bulan hadapan.

    Beliau berkata, setakat ini mesyuarat mengenai perkara itu telah diadakan dua kali, yang terbaharu pada 19 Mac lalu.

    Menurutnya, beliau mengakui rundingan itu lebih kompleks kerana banyak perkara perlu diberikan penelitian agar pembahagian kerusi benar-benar menggambarkan semangat bersatu padu di kalangan parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

    “Ini jadi cabaran utama kepada setiap pemimpin parti kerana kita tahu, kalau dulu, tiga orang makan satu pinggan berkongsi satu dulang makan nasi ambeng.

    “Jika BN (Barisan Nasional) bertanding, maka pembahagian hanya bersama parti kompenan BN.

    “Senario sekarang berbeza, lebih kompleks kerana melibatkan gugusan parti yang ada BN dan PH (Pakatan Harapan).

    “Jadi semangat perpaduan perlu digambarkan sepenuhnya dalam konteks pembahagian kerusi ini,” katanya hari ini, lapor Astro AWANI.

    Beliau ditemui media selepas merasmikan Pusat Khidmat ADUN Chenderiang di Tapah.

    Enam PRN yang dimaksudkan ialah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

    Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, banyak lagi aspek perlu diambil kira dan diperincikan termasuk kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi setiap parti.

    Menurutnya, sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, semua percaturan politik jadi berlainan dan ia akan menjadi satu topik hangat yang dibincangkan semua parti.

    “Dulu PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang melawan jadi kawan… jadi kita nak memikirkan pergerakan bersama supaya nanti mereka yang sudah menjadi kawan tidak menjadi lawan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ka Siong berkata, Pusat Khidmat ADUN Chenderiang yang dibuka berdekatan Dewan Bukit Pagar di sini penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

    Katanya, ini kerana di kawasan Tapah, Ahli Parlimennya dan dua ADUN, semuanya daripada BN.

    Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Tapah dimenangi Datuk Seri M Saravanan dari MIC, kerusi DUN Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin (UMNO) dan DUN Chenderiang, Choong Shin Heng (MCA).

  • Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi hampir semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara parti-parti komponen dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit.

    “Kami akan muktamadkan tidak berapa lama lagi dan semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah saya dapati parti-parti komponen dalam PN satu hati dan apabila keputusan dibuat nanti semua akan akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

    “Terlalu sikit yang bertindih yang memerlukan kami mengadakan lagi rundingan. Jika masih lagi bertindih ia akan kami bawa dan sampaikan ke peringkat mesyuarat antara presiden parti-parti komponen,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan PN Peringkat Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

    Ditanya mengenai jentera pilihan raya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata parti-parti komponen PN sudah bersiap siaga menghadapi PRU15.- BERNAMA