Tag: pemantauan

  • Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    POLIS akan menumpukan pemantauan sekitar kawasan Pagoh dan Lenga, di sini, berikutan kawasan tersebut dilihat berisiko berhadapan dengan banjir yang lebih buruk sekiranya cuaca hujan berterusan dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata seramai 150 pegawai dan anggota di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan tersebut. 

    Beliau berkata ini termasuk membantu operasi pemindahan mangsa banjir, pemantauan rumah yang dikosongkan serta berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan terjejas banjir.

    “Banjir di sekitar kawasan Pagoh dan Lenga akan menjadi buruk sekiranya air sungai di sekitar Segamat dan Labis menuju ke sini, ditambah dengan keadaan geografi yang rendah selain parit-parit sekitar yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

    “Selain 150 anggota yang dikhususkan itu, kita juga mempunyai anggota tambahan yang lain, selain turut mensiap siagakan aset-aset yang ada termasuk pacuan empat roda,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata setakat ini hanya dua jalan dinaiki banjir dengan Jalan Muar-Labis berhampiran Jambatan Sungai Tui ditutup untuk semua kenderaan manakala Jalan Kebun Kelapa Sawit -Jalan Tekam Pagoh berhampiran Lenga, masih boleh dilalui semua kenderaan.

    Setakat jam 4 petang ini, seramai 28,099 mangsa banjir direkodkan di Johor dengan Muar merekodkan seramai 2,259 mangsa yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.

    Sementara itu, beberapa sungai di Segamat dan Muar masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Muar di Segamat Kecil (Segamat) berada pada paras 37.35 meter (m); Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) 20.56m manakala Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar)pada paras 4.48m. – BERNAMA

  • Polis tingkat pemantauan terhadap penunggang basikal di jalan raya

    Polis tingkat pemantauan terhadap penunggang basikal di jalan raya

    POLIS akan meningkatkan pemantauan terhadap pengguna jalan raya terutamanya penunggang basikal dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang lalu lintas, sekali gus mengelakkan kemalangan yang membahayakan nyawa masyarakat.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata pihaknya mendapati semakin ramai individu yang berbasikal di jalan raya bagi aktiviti riadah, selari dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Meskipun beriadah, kita minta semua pihak patuhi peraturan jalan raya untuk elak sebarang perkara tidak diingini berlaku, sekali gus membahayakan nyawa,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan seorang penunggang basikal mengekori rapat sebuah treler yang dipercayai berlaku di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada 17 Sept lalu, yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

    Tambah beliau, polis sedang mencari maklumat lanjut berhubung video berkenaan dan akan memanggil individu tersebut untuk membantu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 54/42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020), iaitu menunggang basikal secara melulu dan merbahaya selain boleh dikompaun di bawah Kaedah 42 LN166/59. – BERNAMA