Tag: pemandu mabuk

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh Vios, dua budak perempuan parah

    DUA beradik cedera parah selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda dipercayai dipandu lelaki dalam keadaan mabuk dalam kejadian di kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing lewat petang semalam.

    Mangsa, Nur Hana Humaira yang berusia setahun enam bulan parah di kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera pada tulang pinggul, manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira yang berusia enam tahun parah di kepala, mengalami pendarahan pada otak dan bengkak tulang rahang.

    Kejadian melibatkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki keluarga mangsa dari arah Kluang menuju Mersing yang dirempuh Nissan Navara dari belakang sebelum terbabas dan melanggar pokok pada bahu jalan.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh mengesahkan kejadian itu dengan dua beradik berkenaan masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

    Katanya, kejadian turut menyebabkan bapa mereka, 34, yang memandu Toyota Vios bersama isteri cedera dan mendapatkan rawatan di Zon Kuning hospital sama.

    “Tangkapan telah dibuat terhadap lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu Nissan Navara oleh Pegawai Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

    “Suspek dipercayai mabuk semasa kejadian itu dan sampel darahnya telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan toksikologi,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bahrain berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas pemandu Nissan Navara itu untuk siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular klip rakaman video perbuatan suspek yang berjaya dirakam orang awam di media sosial hingga mendapat kecaman ramai kerana memandu melulu dan menjadi punca kemalangan itu.

  • Pemandu mabuk sebabkan kematian rakan

    Pemandu mabuk sebabkan kematian rakan

    SEORANG lelaki terbunuh selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terlanggar pokok di Jalan Stutong berdekatan bulatan menghala ke Taman BDC, Kuching, awal pagi tadi.

    Mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk penumpang bahagian depan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Kenari dinaiki tiga lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu hilang kawalan sebelum terbabas.

    “Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Merbin berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Umum Sarawak esok.

    Katanya, pemandu akan disiasat mengikut Seksyen 44, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000,” tambahnya.

    Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada pukul 2.58 pagi.

    “Setibanya di lokasi didapati pemandu dan penumpang bahagian belakang yang mengalami kecederaan sudah dikeluarkan oleh orang awam manakala penumpang yang duduk di bahagian depan tersepit.

    “Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    Pemandu mabuk lawan arus punca kemalangan di LDP direman

    TINDAKAN lelaki mabuk memandu secara melawan arus mengakibatkan kemalangan dua kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, dekat Petaling Jaya, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 6.09 pagi tadi.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat Honda Civic dipandu secara melawan arus oleh seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 27 tahun.

    “Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terlanggar sebuah Proton Saga yang datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kemalangan itu menyebabkan dua penumpang kereta Honda Civic serta pemandu kereta Proton Saga cedera.

    “Semua mangsa yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

    “Pemandu kereta Honda Civic itu pula direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Juwita Selamat di talian 019-2841667 bagi membantu siasatan.

  • Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    SEORANG lelaki dipercayai mabuk yang merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pagi ini.

    Beliau berkata, lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran dan melanggar pelanggan-pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sarifudin berkata, saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    SEORANG penuntut sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lepas.

    Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

    Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves di sini, pada 3.15 pagi, 12 Mac lepas.

    Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam K.A Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes.

    Pada 12 Mac lepas, media melaporkan pekerja subkontraktor DBKL itu yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk dan mangsa yang berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • 1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur

    POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Supt Zulkafli Chek Lah berkata, pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi.

    Zulkafli berkata, dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

    Sementara itu, katanya, dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita.

    Beliau berkata, dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. – BERNAMA

  • Pemandu mabuk berlagak samseng halang tugas polis

    Pemandu mabuk berlagak samseng halang tugas polis

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIDAK cukup dengan mabuk, seorang lelaki turut berlagak samseng dan cuba melakukan provokasi dengan merakam gambar anggota polis yang mengeluarkan saman terhadapnya kerana memberhentikan lori kontena dipandu di lorong kecemasan, di kilometer 106.4 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Sungai Petani, semalam.

    Dalam kejadian pukul 6 petang itu, sepasukan polis Expressway Mobile Patrol Vehicles (EMPV) Zon Utara pada mulanya ternampak lori kontena berkenaan diberhentikan di lorong kecemasan.

    Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, hasil pemeriksaan lanjut pemandu kontena terbabit gagal memberi alasan yang munasabah dengan tindakannya itu.

    “Pemandu lori kontena terbabit diberikan penjelasan berhubung kesalahan dilakukannya itu mengenai kesalahan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Namun, pemandu itu secara tiba-tiba merakam gambar anggota terbabit menggunakan telefon bimbit sebelum bertindak agresif dengan cuba merampas kad pengenalannya yang dipegang polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd Roze berkata, biarpun sudah diberi amaran supaya tidak mengganggu tugas penjawat awam, suspek masih berdegil dan enggan memberi kerjasama kepada polis yang bertugas,” katanya.

    “Berikutan itu, suspek yang berusia 33 tahun ditahan dan dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda. Ujian dijalankan mendapati dia dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol melebihi had dibenarkan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan alkohol melebihi had ditetapkan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam.

    Tambahnya, jika didapati bersalah, pemandu mabuk boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun, denda minimum RM10,0 00 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan seterusnya kata Mohd Roze, pesalah akan berdepan hukuman penjar tidak lebih lima tahun, denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan lesen minimum lima tahun.

    Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan pula, mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.