Tag: pemandu lori ditahan

  • Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    Ops Tiris: Pemandu lori ditahan bersama 10,000 liter diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan seorang pemandu lori bersama 10,000 liter diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam, kira-kira pukul 7 petang semalam.

    Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata, serbuan oleh empat anggota penguat kuasa sempena Ops Tiris itu dilakukan hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

    Menurutnya, ketika serbuan, pemandu lori terbabit iaitu lelaki warga tempatan berusia 30-an didapati sedang mengisi minyak bersubsidi diesel ke dalam tangki asal kenderaan terbabit.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan awal terhadap lori berkenaan kemudian mendapati terdapat dua unit nozel ‘dispencer’ diesel telah dimasukkan ke dalam tangki asal kenderaan berkenaan bagi proses pengisian.

    “Pemeriksaan seterusnya di bahagian belakang lori yang ditutupi kanvas pula mendapati, terdapat satu unit tangki fiber tambahan yang diubah suai dan disyaki mengandungi bahan api bersubsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jegan berkata, pasukan serbuan turut menjumpai satu unit pam motor dan hos dalam lori tersebut yang digunakan untuk menyedut minyak diesel daripada tangki asal.

    Jelasnya, siasatan lanjut di tempat kejadian pula mendapati, lelaki tersebut didapati telah membuat pembelian bahan api bersubsidi diesel secara tunai daripada stesen minyak tersebut.

    Ujar beliau, modus operandi kes itu adalah dengan membeli bahan api bersubsidi diesel di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini sebelum dikumpul di suatu tempat penyimpanan sementara bagi tujuan penjualan kepada pihak industri.

    “Siasatan juga akan dilakukan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan sama ada mereka terlibat dan bersubahat dalam kes ini,” katanya.

    Beliau memberitahu, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kesemua rampasan dan sitaan pula dianggarkan bernilai lebih RM60,000.

    Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

    Tambah beliau, bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras, orang awam disaran menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu.

  • Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

    SEORANG lelaki ditahan bersama sebuah lori yang ditutup dengan kanvas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, pada petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

    Menurutnya, operasi itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

    “Semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Astro Awani.

    Oleh itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

    Saifullizan berkata kesemua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM45,850 manakala pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

    “Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

    “Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

    “Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya lagi.

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Beliau turut menegaskan Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

  • Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    Kemalangan 12 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan 12 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura, di Johor Bahru hari ini.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Polis (ACP), Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan yang berlaku pukul 9.25 pagi tadi adalah berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu itu.

    “Lori dipandu individu itu telah hilang kawalan lalu melanggar 11 kenderaan di hadapannya.

    “Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu telah hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek, lalu melanggar kenderaan lain di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, dalam kemalangan itu, enam kenderaan merupakan kenderaan tempatan, manakala enam lagi merupakan kenderaan asing.

    Katanya, selain lori berkenaan, sembilan daripadanya adalah kereta, dan masing-masing satu van dan bas.

    Bagaimanapun, Raub berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan hasil ujian air kencing terhadap pemandu lori itu pula adalah negatif.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama