Tag: pemandu lori didenda

  • Pemandu lori didenda RM6,000 selepas ugut `memotong’ bapa seorang wanita bergelar Datuk

    Pemandu lori didenda RM6,000 selepas ugut `memotong’ bapa seorang wanita bergelar Datuk

    SEORANG pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini selepas mengaku salah mengugut dua wanita termasuk seorang anak Datuk.

    Tertuduh, R. Thiruselvam, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda tersebut, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dan sepupunya, dengan kata-kata mahu `memotong’ bapa wanita tersebut.

    Kesalahan dilakukan di sebuah kedai makan di Taman Kinrara, Puchong di sini pada pukul 2.30 pagi, 10 November 2019.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa keluar membeli makanan dengan kakak sepupunya, mereka didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali.

    Lelaki berkenaan kemudiannya mengugut mahu `memotong’ bapa mangsa yang juga seorang Datuk.

    Mendengar ugutan tersebut, kedua-dua wanita berkenaan melarikan diri dan memasuki kereta dengan segera.

    Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan dengan alasan insaf atas perbuatan yang dilakukan.

    “Dia perlu menanggung ibu bapanya, malah ibunya baru sahaja menjalani pembedahan mata,” katanya.

  • Pindah 4 ekor babi tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM2,000

    Pindah 4 ekor babi tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM2,000

    SEORANG pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan empat ekor babi hidup tanpa kebenaran pada November lalu.

    Tertuduh, Tan Jie Xuan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi dalam bahasa Mandarin.

    Mengikut pertuduhan, Jie Xuan didakwa memindahkan empat ekor babi dengan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sembelihan di No. 2976, Tingkat Selamat 10, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini kira-kira pukul 11.50 pagi pada 24 November lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 di baca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika disabit kesalahan.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut manakala memerintahkan hasil jualan babi bernilai RM1,200 dilucut hak dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

    Selain itu, mahkamah turut mengarahkan lori milik sebuah syarikat turut diserahkan kembali selepas tertuduh membayar denda hari ini.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin dan tertuduh tidak diwakili peguam.