Tag: pemandu e-hailing

  • Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    MALANG tidak berbau. Seorang pemandu e-hailing maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di parkir kawasan perumahan di Presint 5, di Putrajaya hari ini.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 29, sedang menukar minyak hitam dan membaiki brek tayar hadapan di sebelah kanan kereta Perodua Bezza miliknya sebelum dihempap kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

    “Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta menambah pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA

  • Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    Bertengkar sebelum pemandu e-hailing dibunuh di ladang sawit

    TIDAK berpuas hati akibat pertengkaran di sebuah pusat hiburan dipercayai punca pembunuhan seorang pemandu e-hailing yang dikaitkan dengan penahanan lapan pegawai dan anggota polis di Tawau, Sabah, kelmarin.

    Harian Metro memetik sumber berkata, salah seorang suspek wanita sebelum itu terbabit dalam pertengkaran bersama mangsa, lelaki bergelar Datuk dan beberapa individu lain di sebuah pub pada awal Januari lalu.

    “Punca pertengkaran dipercayai akibat mangsa tidak berpuas hati dengan pegawai kanan itu menjalin hubungan dengan wanita berkenaan yang masih isterinya ketika itu.

    “Mangsa dipercayai ditikam di kawasan ladang sawit sebelum mayatnya ditinggalkan pada 13 Januari lalu.

    “Suspek wanita itu mengaku membuat perancangan bersama beberapa individu lain untuk membunuh mangsa,” katanya.

    Sebelum ini, empat anggota dan empat pegawai kanan polis direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dipetik berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman bagi menjalankan siasatan kes terbabit.

    Menurutnya, pihaknya menyifatkan terlalu awal untuk sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan.

    “Kes ini lebih bersifat peribadi. Setakat ini, kes masih di peringkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.

    Terdahulu, pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki berusia 61 tahun ditemui dalam kawasan semak di Tawau, dipercayai mangsa bunuh.

    Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa, kereta Perodua Myvi putih.

  • Polis buru pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita

    Polis buru pemandu e-hailing tunjuk kemaluan kepada wanita

    PADAH tayang kemaluan kepada wanita, seorang pemandu e-hailing kini menjadi buruan polis.

    Lelaki berkenaan disyaki melakukan kemaluan tidak senonoh itu kepada seorang pelanggan wanita dalam satu kejadian pada Selasa di hadapan pejabat mangsa di Subang Jaya.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 6.36 petang Selasa lalu.

    Beliau berkata, berdasarkan kenyataan pengadu, dia pergi berjumpa pemandu e-hailing berkenaan untuk mengambil barang yang dipesannya.

    “Namun sejurus tiba, dia ternampak zip seluar suspek dalam keadaan terbuka sehingga menampakkan kemaluannya. Lelaki itu juga memegang pergelangan tangan kiri wanita berkenaan semasa dia mahu mengambil barang yang dipesannya.

    “Wanita itu kemudian menarik tangannya dan terus beredar dari lokasi sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Abd. Khalid berkata, suspek didapati menggunakan Perodua Bezza yang berbeza daripada rekod syarikat e-hailing terbabit.

    Sehubungan itu beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.