Tag: pemandu bas

  • 7 pemandu bas di bawah pengaruh dadah berdepan tindakan gantung lesen – JPJ

    7 pemandu bas di bawah pengaruh dadah berdepan tindakan gantung lesen – JPJ

    LESEN memandu tujuh pemandu bas yang dikesan berada di bawah pengaruh dadah sepanjang Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri (HRA) boleh digantung di bawah Seksyen 36 dan atau Seksyen 56 Akta 333 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua pemandu berkenaan yang ditahan di beberapa lokasi berasingan termasuk di Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Perlis telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

    Dalam masa sama, ujar beliau, syarikat bas terlibat juga akan diaudit menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ bagi melihat tahap kepatuhan mereka.

    “Tindakan susulan seperti cadangan penggantungan atau pembatalan permit akan turut dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Ops Motosikal sempena Ops HRA berhampiran tol menuju ke Jambatan Pulau Pinang malam tadi yang turut dihadiri Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa.

    Dalam pada itu, Lokman mengingatkan pemilik syarikat kenderaan komersial memastikan kenderaan mereka tidak rosak ketika berada di jalan raya kerana boleh mengganggu aliran trafik.

    Ujar beliau, pemilik syarikat kenderaan berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana dianggap gagal menyelenggara kenderaan masing-masing dengan baik.

    Sementara itu, mengulas berkenaan operasi malam tadi, Lokman berkata, sebanyak 47 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta beberapa kesalahan teknikal lain.

    Secara keseluruhan pula, jelas beliau sebanyak 71,688 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta peraturan di bawahnya sepanjang kempen dan Ops Bersepadu HRA dijalankan antara 18 April hingga semalam.

    Beliau berkata, sebanyak 729 buah kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh itu melalui aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan di koridor penguatkuasaan yang melibatkan 291 lokasi ‘point of duty’ (POD) di seluruh negara.

    “Kesemua kesalahan ini telah didaftarkan di dalam sistem mySikap sebagai kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan OKS (orang kena saman) perlu hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan notis saman,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, katanya, JPJ turut menerima sehingga 1,700 aduan daripada orang awam sepanjang Ops HRA itu yang dihantar menerusi aplikasi [email protected] dengan kesalahan tertinggi yang dilaporkan ialah memandu di lorong kecemasan dengan 580 aduan.

  • Pemandu bas tular guna telefon disaman

    Pemandu bas tular guna telefon disaman

    TINDAKAN pemandu bas menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tular di media sosial mengundang padah apabila polis mengeluarkan saman ke atas lelaki itu.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, tindakan diambil ke atas pemandu bas berkenaan mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

    “Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Namun katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu bas itu didapati ia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Terdahulu tular video berdurasi 21 saat pada Jumaat lalu memaparkan seorang pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu dan perbuatan itu mendapat reaksi warga net yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.

  • Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    SEORANG pemandu bas sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lalu.

    Tertuduh K.Ravichandran, 53, selain itu minta kesnya agar dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

    Dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di atas motosikalnya yang dinaiki budak perempuan tersebut ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di sini, antara pukul 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

    Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamini Karunananthan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept depan untuk sebutan semula kes.