Tag: pelepasan cukai

  • Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    Pertimbang semula pembatalan pelepasan cukai SSPN – Syed Saddiq

    KERAJAAN didesak mempertimbangkan semula pembatalan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Beliau berkata, perkara itu bukan perkara kecil kerana memberi kesan kewangan yang agak besar kepada golongan pertengahan.

    Menurutnya, simpanan SSPN adalah untuk pendidikan anak-anak, bukan untuk membeli barangan mewah dan kerana itu, beliau berpendapat pelepasan cukai harus dikekalkan.

    “Saya merayu kepada kerajaan, kepada keprihatinan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan semula keputusan ini.

    “Saya teliti sebab mengapa pelepasan itu tidak dilanjutkan, mereka kata kerana sudah ada insentif pelepasan cukai yang lain seperti pembelian perubatan daripada RM8,000 ke RM10,000. Itu hanya RM2,000.

    “RM8,000 (pelepasan cukai SSPN) ini adalah untuk tujuan pendidikan dan akan berterusan untuk tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, keputusan seperti itu akan mengundang kemarahan rakyat khususnya golongan pertengahan yang terkesan.

    Malah katanya, niat mereka untuk melabur bagi pendidikan anak-anak juga mungkin menurun disebabkan tiada lagi insentif sebegitu buat mereka.

    Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong pada Isnin dilaporkan berkata, bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Steven Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    Tiada lagi pelepasan cukai bagi pencarum SSPN tahun ini

    PEMBAYAR cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000, bermula tahun ini kata Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

    Memetik laporan Nanyang Siang Pau, Sim mengesahkan, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi melanjutkan insentif pelepasan cukai ke atas simpanan SSPN atas pelbagai sebab.

    “Ini adalah disebabkan tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.

    “Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik untuk peminjam yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM1,800,” kata Sim.

    Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.

  • Jangan ‘double standard’, bonus pekerja swasta juga wajar dapat pelepasan cukai – MTUC

    Jangan ‘double standard’, bonus pekerja swasta juga wajar dapat pelepasan cukai – MTUC

    KERAJAAN sepatutnya memperluaskan pelepasan cukai bagi ‘bonus’ pekerja swasta sebagai jaminan tidak berlakunya “double standard”, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

    Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, apa diumumkan Anwar suatu langkah wajar dalam memahami kepayahan dihadapi pekerja, namun ia juga wajar diperluaskan kepada semua pekerja termasuk sektor swasta.

    “MTUC melihat perkara ini (memperluas pelepasan cukai) sebagai satu langkah kecil daripada kerajaan, namun memberi kesan besar kepada pekerja.

    “Dengan ini, tiada lagi soal (layanan) ‘double standard’ kerajaan antara penjawat awam dan swasta,” lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi pelepasan cukai untuk bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam, di Kuching, semalam.

    Kamarul berkata, pelepasan cukai itu membolehkan pekerja membelanjakan wang untuk merancakkan ekonomi negara.

    “Bonus adalah penghargaan majikan kepada pekerja dan ia amat dinantikan setiap tahun oleh pekerja yang berdepan kepayahan berkhidmat di pelbagai sektor dan industri dalam negara

    “Jadi, adalah wajar bagi kerajaan memberi pelepasan cukai untuk mengiktiraf sumbangan pekerja ini,” katanya.