Tag: pelawak

  • Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    Pelawak veteran Richard Ng meninggal dunia

    PELAKON dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng Yiu Hon dilaporkan meninggal dunia, semalam.

    Lapor DimSum Daily yang dipetik Astro AWANI, Ng meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berkaitan usia.

    Dikenali dengan peranan komedinya pada tahun 80-an dan 90-an, pemergian lelaki berusia 83 tahun itu juga disahkan oleh ahli keluarganya.

    Richard Woo atau Richard Ng mempunyai kerjaya berjaya dalam industri filem dan televisyen serta pernah muncul dalam lebih 80 buah filem.

    Beliau pernad dinominasikan untuk Anugerah Pelakon Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong sebanyak dua kali menerusi lakonannya dalam Winners and Sinners sebelum menjayakan drama bersiri Lucky Stars dan Beyond the Sunset.

    Ng juga pernah bekerja bersama beberapa nama terbesar dalam filem-filem Hong Kong termasuk Datuk Jackie Chan, Tan Sri Michelle Yeoh, Andy Lau dan Jet Li.

    Nama Ng melonjak selepas membawa watak penting pada tahun 1983 sebagai ‘Exhaust Pipe’ dalam filem Winners and Sinners arahan Sammo Hung.

    Beliau juga dikenali dengan peranannya dalam filem komedi Pom Pom, siri filem komedi Lucky Stars bersama rakan Lucky Star dan John Shum.

    Ng meninggalkan seorang isteri Susan dan empat orang anak iaitu Alex, Zoe, Louise dan Carl.

    Hong Kong, Richard Ng, pelakon hong kong, meninggal dunia,

  • Pemerdagangan manusia:Pelawak tidak didakwa di mahkamah esok

    Pemerdagangan manusia:Pelawak tidak didakwa di mahkamah esok

    SEORANG selebriti yang sebelum ini ditahan setelah dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia tidak didakwa berhubung kes itu yang perbicaraannya bermula, esok.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, lelaki yang juga pelawak berkenaan hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan tidak didakwa.

    Namun katanya, dua individu, seorang lelaki dan wanita yang dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks baru-baru ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, esok.

    “Mereka dijangka akan didakwa pada pukul 9 pagi mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

    “Penahanan selebriti itu hanya membantu siasatan dan akan menjadi saksi kes sahaja,” katanya hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan beberapa individu ditahan termasuk seorang selebriti lelaki berumur 40-an pada 1 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia dipercayai bagi tujuan eksploitasi seks.

    Berikutan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk menempatkan mangsa di sebuah rumah perlindungan di Johor.

    Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pelawak berkenaan bagaimanapun dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

  • Pelawak disyaki terbabit pemerdagangan orang dibebas dengan jaminan polis

    Pelawak disyaki terbabit pemerdagangan orang dibebas dengan jaminan polis

    SEORANG pelawak yang ditahan disebuah hotel dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.

    “Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya, hari ini.

    Media melaporkan lelaki berumur 40-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, Ahad lalu.

    Polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

    Hasil pemeriksaan pihak polis juga merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang dan empat buah telefon bimbit.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).