Tag: pelarian

  • 183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    183,000 pelarian, pemohon suaka di Malaysia

    SEBANYAK 182,990 pelarian dan pemohon suaka dari 59 negara berada di Malaysia ketika ini dengan Myanmar merupakan golongan tertinggi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 74 peratus atau 135,440 merupakan pelarian, manakala baki ialah pemohon suaka.

    “Pelarian dan pemohon suaka dari Myanmar merupakan golongan tertinggi, iaitu 158,165 orang (86.43%),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Armizan berkata, statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan etnik Rohingya membentuk 58 peratus daripada keseluruhan jumlah pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

    Malaysia merupakan destinasi utama untuk pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan dan penghapusan etnik di Myanmar.

    Baki terdiri daripada warga Pakistan (6,876), Afghanistan (3,391), Yemen (3,346), Somalia (3,033), Syria (2,809), Sri Lanka (1,507), Iraq (750), Palestin (639), Iran (393), Sudan (278) dan negara lain (1,803).

    Antara 2019 dan 2022, Armizan berkata, sejumlah 7,557 pelarian ditempatkan semula di negara lain seperti US, Australia dan New Zealand.

  • Sindiket seludup etnik Rohingya ke Malaysia ditumpaskan Polis Indonesia

    Sindiket seludup etnik Rohingya ke Malaysia ditumpaskan Polis Indonesia

    POLIS Indonesia menumpaskan sindiket penyeludupan pelarian etnik Rohingya dari Aceh ke Malaysia yang didalangi lelaki warga Myanmar etnik Rohingya. 

    Menurut laporan media tempatan, lelaki berumur 24 tahun itu ditahan pada 6 Feb lepas ketika hendak memasuki kem pelarian di Yayasan Mina Raya Pidie, Aceh. 

    Ketua Polis Pidie Imam Asfali berkata lelaki itu mengaku menjadi agen kepada ‘bos besar’ yang berada di Malaysia untuk membawa keluar tujuh orang pelarian. 

    “Semakan mendapati individu berkenaan masuk ke Indonesia secara tidak sah pada 24 Januari melalui Dumai, Riau dan telah diserahkan kepada Imigresen Indonesia untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sebelum ini, sindiket itu cuba membawa keluar pelarian di kem Lhokseumawe, Aceh ke Medan untuk diseludup ke Malaysia dengan kerjasama seorang etnik Rohingya, Bodu Zaman. – BERNAMA

  • Mahkamah ketepi perintah larangan hantar pulang 114 pelarian Myanmar

    Mahkamah ketepi perintah larangan hantar pulang 114 pelarian Myanmar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengetepikan perintah penggantungan yang melarang kerajaan Malaysia menghantar pulang 114 pelarian warga Myanmar ke negara asal.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri selaku responden untuk mengetepikan perintah larangan yang diputuskan sebelum ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili kesemua responden, dan peguam Lim Wei Jeit, yang mewakili dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Asylum Access Berhad serta Aimal Sdn Bhd selaku pemohon, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Ketiga-tiga responden memfailkan permohonan itu pada 12 Mei lepas atas alasan tahanan Myanmar telah berulang kali merayu dan meluahkan hasrat kepada pegawai yang bertugas di depot tahanan Imigresen supaya membenarkan mereka pulang ke negara asal.

    Perintah sementara sebelum ini dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 24 Feb 2021, yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar pulang pendatang Myanmar ke negara asal berkuat kuasa sehingga 9 Mac 2021.

    Pada 9 Mac, NGO terbabit memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan penghantaran pulang 1,200 pelarian warga Myanmar ke negara asal.

    Kedua-dua NGO memfailkan permohonan pada 22 Feb 2021 bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menghantar pulang kesemua pelarian termasuk kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan Imigresen ke Myanmar melalui kapal.

    Dalam permohonan itu, NGO terbabit mendakwa jika kesemua pelarian dihantar pulang ke Myanmar, kehidupan mereka akan terancam dan dalam bahaya.

    Dalam kenyataan media pada 23 Feb 2021, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lepas dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

    Program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan dan Kedutaan Myanmar. – BERNAMA

  • Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    Jangan campur urusan Malaysia hantar pulang pelarian – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta  Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mana-mana kumpulan hak asasi manusia supaya jangan campur tangan dalam urusan penghantaran pulang pelarian dari Myanmar ke negara asal mereka.

    Beliau berkata warga asing yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal bermakna mereka telah melanggar undang-undang Malaysia.

    “Bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang dari sesuatu negara tetapi seluruh dunia yang datang sini melanggar undang-undang ada kesalahan dan sudah sampai tempoh untuk kita hantar balik, kita hantar balik.

    “Jadi UNHCR, United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ke atau mana-mana sekalipun kalau orang yang kita tangkap itu masuk ikut cara sah dan mempunyai dokumen , kemudian melanggar undang-undang dan dihukum, kita akan hantar balik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kita Demi Negara – Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Dataran Lembah Sireh, di sini hari ini.

    Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang pencari suaka politik dari Myanmar kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut memahami ada warga asing yang datang ke negara ini sebagai pelarian dan pencari suaka politik.

    “Kita pun faham dan sedar, dari segi kemanusiaan kita tidak akan hantar orang yang akan menyebabkan mereka nanti ‘hilang’ di negara asal. Kita tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang,” katanya.

    Mengenai cadangan untuk menutup pejabat UNHCR, Hamzah berkata perkara itu masih diteliti.

    “Kita sedang meneliti dan akan buat keputusan sama ada UNHCR patut ada di sini atau tidak. Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya patut jaga negara kita dulu sebelum menjaga orang luar,” katanya. – BERNAMA

  • Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    KERAJAAN sedang merancang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal tersebut, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad dikeluarkan oleh agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

    “Sepatutnya Malaysia yang tentukan sama ada seseorang itu boleh tinggal di negara ini atau tidak… dengan kad yang dikeluarkan agensi kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Tiba-tiba ada pula agensi lain yang buat pendaftaran (keluarkan kad) di negara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini.

    Pada April 2020, Hamzah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Menurutnya, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

    Hamzah dalam pada itu berkata, ketika ini hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang layak untuk mendaftarkan mana-mana individu untuk tinggal secara sah di Malaysia.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata pihak berkuasa masih memburu baki 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    Beliau berkata ketika ini pihak berkuasa sedang mengenal pasti lokasi sebenar mereka yang dipercayai berada di Selayang, Selangor.

    Pada 20 April lepas, seramai 528 tahanan merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan namun lebih 460 pelarian tersebut berjaya ditahan semula manakala tujuh daripada mereka maut akibat kemalangan dalam cubaan melintas di kawasan Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Sementara itu, Hamzah berkata, penerima taraf kewarganegaraan Malaysia diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, menyokong inisiatif kerajaan dan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan jenayah.

    Beliau memberi peringatan itu pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini kepada 34 penerima dengan mengingatkan mereka agar menjaga nama baik Malaysia dan menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Jadikan penganugerahan ini sebagai permulaan masa depan yang cerah untuk anda,” katanya pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan kepada kesemua penerima berusia antara lima dan 24 tahun itu.

    Beliau berkata pemberian taraf kewarganegaraan itu merupakan satu anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada mana-mana individu yang berkelayakan berpandukan kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara tersebut memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dalam sesuatu keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.

    Hamzah berkata sepanjang tempoh beliau mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihaknya telah meluluskan kira-kira 20,000 permohonan taraf kewarganegaraan.

    “Kelulusan bukan mudah, KDN perlu selidik latar belakang pemohon berdasarkan dokumen yang diserahkan,” katanya.

    Sementara itu, seorang penerima taraf kewarganegaraan, Ngan Chun Kai, 14, berkata dia amat menghargai taraf kerakyatan yang diterima.

    “Syukur sangat. Saya akan jadi warganegara yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – BERNAMA