Tag: pelancong China

  • Hanya benarkan pelancong China negatif COVID-19 masuk negara – MMA

    Hanya benarkan pelancong China negatif COVID-19 masuk negara – MMA

    PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memastikan semua pelancong dari China menunjukkan keputusan negatif Covid-19 sebelum tiba di Malaysia.

    Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya perlu membenarkan pelancong dari China yang lengkap divaksin dan negatif ujian RT-PCR.

    Menurutnya, kerajaan juga disaran menerima kedatangan pengembara dari China secara beransur-ansur dan hanya melonggarkan prosedur itu apabila situasi COVID-19 di republik berkenaan bertambah baik.

    “Apabila tiba di pintu masuk atau dalam tempoh 24 jam, pengembara perlu menjalani saringan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) profesional untuk Covid-19.

    “Perkara yang sama juga perlu dilakukan bagi pelancong dari negara lain yang mengalami peningkatan kes yang ketara (Covid-19),” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Dr Muruga pada masa sama berkata, MMA juga menggesa KKM mengambil semua langkah yang perlu bagi mencegah lonjakan kes di negara ini selain langkah pencegahan semasa.

    Menurutnya, walaupun varian COVID-19 yang dominan di China sudah dikesan di Malaysia, semua langkah berjaga-jaga harus diambil untuk mengelakkan lonjakan.

    “MMA bimbang sistem penjagaan kesihatan kita mungkin terganggu sekiranya kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat sedangkan ada kekurangan tenaga kerja di kemudahan penjagaan kesihatan awam,” katanya.

    Mengakui Malaysia akan mendapat manfaat daripada kunjungan pelancong dari China khususnya dalam aspek ekonomi, Dr Muruga mengingatkan, kesihatan dan keselamatan awam harus dipastikan kekal sebagai keutamaan.

    “Namun dengan pengalaman selama tiga tahun, Malaysia pastinya mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap COVID-19 kini. Apa yang penting rakyat Malaysia juga perlu mengambil langkah pencegahan seperti suntikan penggalak dan pelitup muka,” katanya.

    China dijangka membuka pintu sempadannya 8 Januari ini walaupun republik itu ketika ini berdepan peningkatan jangkitan COVID-19 yang serius.

    Sebelum ini, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar, termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA).

    Sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil untuk ujian PCR di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan seterusnya bagi penjujukan genom sekiranya ada yang dikesan positif COVID-19.

    Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menetapkan kemasukan pengembara asing ke Malaysia akan dikawal dengan lebih ketat, tanpa menumpukan kepada mana-mana negara.

  • Covid-19: Tangguh kemasukan pelancong China buat sementara – Pas

    Covid-19: Tangguh kemasukan pelancong China buat sementara – Pas

    PAS mencadangkan kerajaan agar menangguhkan kemasukan pelancong dari China buat sementara waktu, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak di negara itu.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin juga menyarankan kerajaan supaya waspada dengan penularan varian baharu virus tersebut, memandangkan republik itu membenarkan rakyatnya mengembara ketika ia mencatatkan 62,439 kes dalam seminggu.

    “Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada tahun 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

    “Pas mencadangkan agar ditangguhkan secara sementara kemasukan pelancong dari China, memerhati perkembangan di China dan negara-negara lain yang telahpun menerima pelancong dari China sebelum membenarkan semula mereka masuk ke dalam negara.

    “Bagi pelancong yang telah berada di negara ini, mereka perlu dikenalpasti dan diperiksa tentang status Covid-19,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.

    Beliau berkata, pengembara yang dikesan demam, bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

    Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) juga menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

    Presiden Mata Mohd Khalid Harun berkata lonjakan kes di China itu memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pengusaha industri pelancongan.

    Sementara itu, Khairil Nizam menasihatkan rakyat agar kekal menjaga prosedur operasi standard dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak.