Tag: Pelakon

  • Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    Pelakon, pengarah drama sokong calon Bebas DUN Tendong

    PELAKON dan pengarah drama terkenal tanah air, Fauzi Nawawi hadir memberikan sokongan kepada Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri yang bertanding di bawah tiket Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Fauzi berkata, kehadirannya itu sebagai tanda sokongan kepada Suzainal.

    “Saya sudah lama mengenali beliau (Suzainal) seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup prihatin kepada ahli.

    “Sikap prihatin memang ada pada beliau. Saya rasa dia mempunyai ciri-ciri sebagai seorang pemimpin di Tendong,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, Suzainal sudah lama bekerja membantu rakyat di Pasir Mas dan pengundi perlu memberi sokongan kepada beliau.

    Beliau berharap Suzainal akan menang.

  • Tuntutan cerai: Puteri Sarah tiba di Kompleks Mahkamah Syariah KL

    Tuntutan cerai: Puteri Sarah tiba di Kompleks Mahkamah Syariah KL

    PELAKON, Puteri Sarah Liyana tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada pukul 10.25 pagi hari ini bagi memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof.

    Puteri Sarah yang berpakaian serba hitam tiba ditemani dua adiknya dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.

    Ketibaan Puteri Sarah disambut kira-kira 20 orang awam yang turut berada di lobi mahkamah untuk memberikan sokongan.

    Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.

    Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Syamsul sebelum ini memaklumkan sedang berusaha membaiki hubungannya dengan Puteri Sarah, malah meminta isteri pertamanya itu pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan melalui video di Instagram dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar Saisi.

    Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3, lapor SatuBerita.

  • Pelakon, pengarah Ahmad Idham dilantik Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan

    Pelakon, pengarah Ahmad Idham dilantik Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan

    PELAKON, pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham, dilantik sebagai Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.

    Menurut Ahmad Idham, pelantikan tersebut diumumkan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Zamani Ibrahim, sewaktu mesyuarat gerakan berkenaan di Seremban, semalam.

    Ahmad Idham atau nama penuhnya Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengakui terharu dengan pelantikan tersebut.

    “Saya terharu apabila dimaklumkan gerak kerja Hab Pendidikan Khas Dr Ahmad Idham yang saya asaskan dan gerakkan di Port Dickson melalui Pertubuhan Briged Prihatin dimaklumkan memberi impak di mata masyarakat.

    “Mungkin atas dasar itu menjadi antara faktor yang dinilai kepimpinan tertinggi GTA Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini,” katanya kepada media, lapor Berita Harian.

    Ahmad Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), bagaimanapun berkata pelantikan itu bukan untuk dibanggakan, sebaliknya jawatan diberikan adalah amanah dan tanggungjawab yang harus digalas sebaiknya.

    “Melalui pelantikan ini, ia memberi gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik, sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu,” katanya.

    Ahmad Idham berkata, lantikan beliau juga adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Pertubuhan Briged Prihatin dan beliau tidak perlu menyertai mana-mana parti politik.

    “Saya komited untuk terus menyampaikan kepada masyarakat bahawa GTA bukan hanya gabungan retorik parti politik seperti digembar-gemburkan.

    “GTA sebaliknya adalah gerakan rakyat untuk rakyat bagi mengangkat pemimpin Melayu Muslim yang berwibawa tanpa terikat kepada politik kepartian,” katanya.

    Sebelum ini, Ahmad Idham dilapor kerana kerap berada di Port Dickson selain diuar-uar bakal bertanding di kerusi Parlimen itu.