Tag: pelajar tahfiz

  • Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    Pengawal keselamatan, pelajar tahfiz didakwa sebabkan kematian seorang lelaki

    SEORANG pengawal keselamatan dan seorang pelajar tahfiz lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan mencederakan sehingga menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, pada 29 Januari lalu.

    Lapor Harian Metro, tertuduh, Mohamad Sabri Yusoff, 33, dan pelajar tahfiz berusia 17 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Syhakahalaf Akram Mohd Zakuwan, 28, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian kepada mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kampung Pulau Melaka, pukul 6.55 petang, pada 29 Januari 2023.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala pesalah kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-kanak 2001.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Zamri Mat Nawang.

    Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Mohamad Sabri, manakala Zamri memohon anak guamnya dibenarkan jaminan.

    Mahkamah membenarkan Mohamad Sabri dijamin sebanyak RM20,000 dan pelajar tahfiz pula RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga menetapkan 19 Mac depan sebagai sebutan tarikh semula kes.

  • Video pelajar tahfiz ditampar, ditendang tular

    Video pelajar tahfiz ditampar, ditendang tular

    SATU rakaman insiden beberapa pelajar tahfiz dipukul sekumpulan lelaki tular menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, rakaman berdurasi pendek itu di muat naik oleh pemilik akaun Instagram dikenali act431_775.

    Video itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian separuh bogel telah berteriak memanggil pelajar berkenaan sebelum bertindak menampar, menendang dan memukul mereka bersama rakannya.

    act431_775 berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku.

    Video dan entri yang dimuat naik itu menerima banyak tontonan dan pelbagai reaksi serta komen dari warganet terutama artis tanah air.

    Pelakon, Sharnaaz Ahmad berkata, “Gangster kampung, selamat bermalam dan menjadi lauk pari masak dalam lokap ya sayang”.

    Tidak ketinggalan di ruang komentar, pelakon Wak Doyok turut mempersoalkan tindakan lelaki itu terhadap pelajar tahfiz yang disifatkan keterlaluan.

    “Kejap je ni dapat cari, apa salah anak- anak tahfiz sampai diperlakukan sedemikian rupa,” tulisnya.

    “Allahuakbar, kau rasa besar sangat ‘lepuk’ budak-budak tahfiz ya. Tak mengapa, kau tunggu nasib kau nanti. Ingat kau boleh lepas,” kata pelakon, Zulhuzaimy yang turut berkongsi reaksi sama pada komentar berkenaan.

    Berkongsi pandangan yang sama Pencetus Ummah (PU), Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali PU Amin menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku dalam video tersebut.