Tag: pelajar sekolah

  • Pelajar 14 tahun di Kelantan bayar zakat perniagaan RM10,000

    Pelajar 14 tahun di Kelantan bayar zakat perniagaan RM10,000

    SIAPA sangka pada usia seawal 14 tahun, seorang pelajar sudah mampu membayar zakat perniagaan berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Khamis, lalu.

    Bayaran zakat bagi tahun lalu itu dibuat oleh Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

    Menurut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang merupakan pengasas produk pemakanan Bebycurf, dia terkejut mampu mencapai jualan sebanyak RM400,000 sejak berada di pasaran pada September tahun lalu.

    “Sepanjang empat bulan, produk saya sudah mencecah jualan sebanyak itu (RM400,000),” katanya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya, melihat kepada nilai jualan, ibunya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin dan ayahnya, Mustaman Che Yusof memberi nasihat supaya menunaikan tanggungjawab dengan mengeluarkan zakat.

    Katanya, tanpa berlengah dia terus berbuat demikian dengan melaksanakan salah satu Rukun Islam iaitu berzakat dengan MAIK.

    “Alhamdulillah, saya lega dapat berbuat demikian dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

    Mengulas lanjut Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya berkata, dia tidak menyangka perniagaan yang bermula di TikTok itu mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

    Katanya, dia berterima kasih kepada pelanggan yang memberikan sokongan penuh kepada produk keluarannya itu.

    Sementara itu, Bibi Hasnalinda berkata, beliau terharu dengan usaha yang ditunjukkan oleh anaknya itu untuk berzakat.

    Tambahnya, beliau berharap usaha tersebut dapat menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama berzakat.

  • PICK Remaja: 5,887 pelajar sekolah kem tentera dijangka terima vaksin – Hishammuddin

    PICK Remaja: 5,887 pelajar sekolah kem tentera dijangka terima vaksin – Hishammuddin

    SERAMAI 5,887 pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah di dalam kem Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara dijangka diberikan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula hari ini.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebagai permulaan, 255 pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan dos pertama vaksin hari ini, manakala baki 675 lagi dijangka menerima suntikan mereka pada Khamis ini.

    Vaksinasi bagi pelajar di empat lagi sekolah menengah di dalam kem ATM iaitu Maktab Rendah Sains Mara Kem Terendak dan SMK Kem Terendak di Melaka, SMK Pangkalan TLDM, Lumut (Perak) serta SMK Tanjung Pengelih (Johor) akan dilaksanakan secara berperingkat di pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran.

    “Pemberian vaksin kepada pelajar sekolah rendah (SK) pula melibatkan 330 orang pelajar di SK Kem Kementah dan SK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur juga dijangka dilakukan pada Khamis ini.

    “Sementara itu, PICK Remaja untuk pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur akan dilaksanakan sebaik sahaja kesemua 504 pelajar kembali melaporkan diri pada 27 Sept ini,”  katanya.

    Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin selepas meninjau Program Vaksinasi Back To School di SMK Desa Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

    PICK Remaja yang bermula secara serentak di seluruh negara hari ini menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun divaksin untuk memastikan rakyat terus dilindungi dari wabak COVID-19 dan membentuk imuniti kelompok yang lebih kukuh.

    Ditanya mengenai pendekatan yang bakal diambil Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya terdapat ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka divaksin, Radzi berkata kementerian belum membuat sebarang ketetapan buat masa ini, sebaliknya ia bergantung kepada perkembangan PICK Remaja.

    “PICK Remaja baharu kick-off  (bermula) hari ini dan sebelum kita buat ketetapan, kita lihat dahulu apakah penerimaan ibu bapa serta keadaan program ini… dalam satu tempoh kita akan perincikan keputusan terbaik,” katanya.- BERNAMA