Tag: pelabur asing

  • Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    PELABUR asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM512.3 juta sekali gus menjadi minggu kelima berturut-turut menjual bersih, menjadikan jualan bersih setakat ini kepada RM119.9 juta, demikian menurut MIDF Research.

    Dalam laporan aliran dananya bagi minggu dagangan singkat berakhir 10 Februari 2023, firma penyelidikan itu berkata, jualan bersih terbesar di bursa tempatan adalah pada Selasa sebanyak RM220.57 juta dan jualan bersih terendah pula pada Khamis iaitu RM40.84 juta.

    Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Thaipusam.

    MIDF Research berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih oleh pelabur asing pada minggu lalu ialah sektor tenaga iaitu RM26.4 juta dan sektor hartanah sebanyak RM3.9 juta.

    Sebaliknya, sektor pembinaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu lalu iaitu masing-masing pada RM724.6 juta, RM115.9 juta dan RM111.2 juta.

    Sementara itu, institusi tempatan terus memperoleh ekuiti Malaysia dengan belian bersih berjumlah RM121.0 juta pada minggu lalu.

    “Ini menandakan minggu kelima berturut-turut mereka membeli bersih. Insitusi tempatan membeli bersih pada setiap hari dengan belian bersih terbesar pada Selasa iaitu RM85.80 juta, diikuti Jumaat (RM34.63 juta) dan Khamis (RM25.74 juta).

    “Setakat ini, institusi tempatan membeli bersih sebanyak RM937 juta,” katanya.

    Peruncit tempatan turut kembali sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan belian bersih terbesar pada Selasa berjumlah RM134.78 juta, diikuti pada Rabu dan Jumaat dengan masing-masing pada RM57.15 juta dan RM56.76 juta, manakala belian bersih terendah dicatatkan pada Khamis iaitu RM15.09 juta .

    Menurutnya, dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh dengan peruncit tempatan (-24.9 peratus), institusi tempatan (-22.5 peratus) dan pelabur asing (-22.3 peratus).-BERNAMA

  • Pelabur asing teruskan penjualan saham di Bursa Malaysia

    Pelabur asing teruskan penjualan saham di Bursa Malaysia

    PELABUR asing terus menjadi penjual bersih pada minggu lalu, menandakan aliran keluar dana asing bersih minggu ketiga berturut-turut daripada Bursa Malaysia, mengeluarkan RM562.61 juta berbanding RM186.2 juta aliran keluar bersih pada minggu sebelumnya.

    Menurut MIDF Research (MIDF), sebahagian besar daripada aliran keluar bersih asing dilihat pada Rabu, Khamis dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM193.63 juta, RM123.36 juta dan RM218.03 juta.

    “Warga asing turut mencatatkan jualan bersih RM17.40 juta pada Isnin dan RM10.19 juta pada Selasa,” katanya dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini.

    MIDF turut mendedahkan bahawa sehingga kini, dana antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 38 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7.36 bilion.

    Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 38 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.56 bilion, bagaimanapun, institusi tempatan mencatatkan belian bersih RM351.23 juta minggu lalu.

    “Mereka mencatatkan jualan bersih RM52.15 juta pada Isnin sebelum menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu itu. Kebanyakan daripada belian bersih dilihat pada Rabu dan Jumaat, masing-masing sebanyak RM172.03 juta dan RM147.94 juta.

    “Mereka turut mencatatkan belian bersih RM5.35 juta pada Selasa dan RM78.06 juta pada Khamis,” katanya.

    Peruncit tempatan mengekalkan pendirian belian bersih mereka pada minggu lalu sebanyak RM211.38 juta dan menjadi pembeli bersih pada setiap hari, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu masuk pada Isnin sebanyak RM69.55 juta dan Jumaat sebanyak RM70.09 juta.

    “Mereka turut mencatatkan belian bersih RM4.84 juta pada Selasa, RM21.60 juta pada Rabu dan RM45.30 juta pada Khamis,” menurut MIDF.

    Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 23 daripada 38 minggu pada 2022 serta peruncit dan institusi telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.19 bilion setakat ini pada tahun ini.

    Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian secara menyeluruh, diterajui oleh peruncit sebanyak 15.66 peratus, pelabur asing (15.20 peratus) dan institusi tempatan (8.00 peratus).-BERNAMA