MAHKAMAH Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lelaki yang bertindak menumbuk seorang pelanggan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau pada 5 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd. Isa Ramliee, 21, yang merupakan pekerja restoran, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.
Harian Metro melaporkan, jika gagal membayar denda itu, tertuduh boleh dikenakan penjara sembilan bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 30 tahun sebuah restoran nasi kandar di Bahau, pada jam 1 pagi, 5 Mei lalu.
Oleh yang demikian tertuduh dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.