Tag: pekebun kecil getah

  • Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    Bayaran BKKA pesawah, pekebun getah, nelayan, sukarelawan juga pada 14 April

    GOLONGAN pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform turut menerima bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang diawalkan pada 14 April selain penjawat awam.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    “Ini akan manfaat hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, BKKA kepada kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah juga diawalkan pada 14 April.
    Mengulas lanjut tambah Anwar, selain BKKA sebanyak RM1.26 bilion diperuntukan menerusi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) yang telah diawalkan mulai 5 April lalu.

    Ia melibatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.
    “Saya turut serta turun padang hari ini bagi melihat proses penunaian STR2 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Meru Raya.

    “Alhamdulillah, proses dimudahkan dengan pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima, manakala penerima yang tiada akaun boleh membuat penunaian di semua cawangan BSN,” katanya lagi menurut laporan Astro AWANI.

    BKAA, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri, tarikh bayaran, pesawah,

  • 232,000 pekebun kecil getah RISDA layak terima Bantuan Musim Tengkujuh

    232,000 pekebun kecil getah RISDA layak terima Bantuan Musim Tengkujuh

    SEJUMLAH 232,000 pekebun kecil getah berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, BMT tahun ini akan dibayar kepada pekebun kecil sebanyak RM300 sebulan bagi bulan November dan Disember.

    “Sekarang dah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu dah ada, cuma kita tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. InshaAllah kita bayar.  
    “Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela di Lipis, Pahang hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

    Jelas Mahdzir, bayaran BMT tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.

    Sementara itu Mahdzir berkata, Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10 ribu hektar melibatkan 7,180 Pekebun Kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

    Tahun ini katanya RISDA menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

    “Walaupun sektor getah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini adalah berikutan peningkatan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung Malaysia berbanding RM9,230 sebelum ini yang telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah”.

    Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang yang berjumlah lebih RM39 juta.

    Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh RISDA Plantation Sdn Bhd kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang.