Tag: pegawai

  • Segerakan pendakwaan terhadap Sivakumar, pegawai

    Segerakan pendakwaan terhadap Sivakumar, pegawai

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk mendedahkan hasil siasatan skandal rasuah terhadap Menteri Sumber Manusia (KSM), V. Sivakumar dan lima bekas pegawainya.

    Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), K. Vasantha berkata, sekiranya SPRM mempunyai bukti kukuh, pendakwaan di mahkamah perlu disegerakan.

    “Saya yakin SPRM telah melengkapkan siasatan dan boleh meneruskan proses undang-undang seterusnya tanpa mengambil masa yang lama,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan ibu pejabat SPRM, hari ini.

    Menurutnya, rakyat kini memerhati integriti dan komitmen SPRM dalam membasmi rasuah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang ada dalam Kerajaan Madani ataupun pengaruh luar.

    “Sudah hampir 90 hari siasatan tetapi kita belum tahu apa hasil,” ujar beliau.

    Vasantha berkata, kelewatan pendakwaan Sivakumar di mahkamah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

    “Kita nampak kalau kes Jana Wibawa laju sahaja membuat pendakwaan tetapi mengapa Tan Sri Azam Baki tidak membuat pendakwaan ke atas kes Sivakumar ini,” katanya.

    Tambah beliau, penglibatan terus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi pandangan berhubung Jana Wibawa melibatkan pembangkang adalah terlalu lantang.

    “Sebaliknya kes rasuah melibatkan prokerajaan khususnya ahli Kabinet memberi gambaran pendakwaan terpilih,” katanya lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar susulan siasatan suruhanjaya itu membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing pada April lalu.

    Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

    PTTK itu dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

    Beberapa hari kemudian, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar.

    Sepanjang proses siasatan, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah hadir dua kali ke SPRM bagi memberi keterangan.

  • Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    SEORANG pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden serta dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal antara 152 individu ditahan kerana positif terhadap dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di Kuching, Ahad lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di Kuching hari ini berkata, ketiga-tiganya yang berusia antara 45 hingga 49 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM197,458 selain menyita harta yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

    Katanya, serbuan pada 1.20 hingga 6 pagi itu memeriksa seramai 204 pengunjung sebelum hasil pemeriksaan mendapati 152 daripadanya positif terhadap dadah.

    “Mereka yang positif dadah ini berusia antara 19 hingga 54 tahun dan disiasat di bawah seksyen sama,” katanya.

  • Pegawai, anggota tentera maut kereta langgar belakang lori

    Pegawai, anggota tentera maut kereta langgar belakang lori

    SEORANG pegawai dan anggota tentera maut dalam nahas selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 48 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, mangsa yang berusia 28 dan 49 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Katanya, kaunter aduan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori pada pukul 3.20 petang.

    “Siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun baru menjalani kerja pembersihan jalan dan dalam keadaan mengundur untuk mengutip kon selepas selesai kerja pembersihan jalan.

    “Setiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Sabak Bernam menghala ke Klang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Agus Salim memberitahu, akibat kemalangan itu, pemandu kereta yang juga Lans Koperal dan penumpang berpangkat Leftenan Kolonel mengalami cedera parah di bahagian kepala, manakala pemandu lori tidak cedera.

    Ujarnya, dua mangsa maut yang beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Kuala Lumpur itu dipercayai dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Port Dickson.

    “Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    Pegawai, 6 anggota polis ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

    SERAMAI tujuh anggota polis termasuk seorang pegawai di sebuah balai polis di daerah Timur Laut, George Town, Pulau Pinang ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

    Selain mereka, turut ditahan ialah lima orang awam.

    Kesemua mereka ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Sabtu lalu yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

    Difahamkan, ketika ditahan kesemua mereka sedang bermain judi ekor haram dan polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

    Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

    Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mengesahkan penahanan anggota dan pegawai polis terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

    “Saya sahkan, namun tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

  • Hampir 7,000 pegawai, pakar perubatan letak jawatan sejak 2018

    Hampir 7,000 pegawai, pakar perubatan letak jawatan sejak 2018

    SERAMAI 6,036 pegawai perubatan dan 890 pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) meletak jawatan sejak 2018 hingga 2022.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam tempoh sama juga seramai 1,651 pegawai farmasi KKM meletakkan jawatan.

    Beliau berkata, antara alasan peletakan jawatan itu ialah untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun, atas sebab peribadi, menerima tawaran menjadi pensyarah institusi pengajian awam dan swasta, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berhijrah ke luar negara serta membuka klinik atau farmasi sendiri.

    “KKM turut ambil maklum isu berbangkit peletakan jawatan ini disebabkan suasana atau persekitaran kerja di kementerian. Saya lihat isu ini adalah universal, kita tidak dapat halang mereka berhijrah untuk pendapatan yang lebih baik dan persekitaran kerja yang lebih kondusif,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Md Nasir Hashim yang mahu kementerian menyatakan apakah punca doktor dan ahli farmasi mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan di hospital kerajaan dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Negara.

    Lukanisman pada masa sama, mengakui terdapat juga pegawai menyatakan alasan peletakan jawatan mereka kerana merasakan diri dibuli ketika bertugas, selain tekanan tugas berat sehingga merasakan KKM tidak mampu menjaga kebajikan pekerja.

    “Bagaimanapun untuk kes-kes seperti ini, kita sedia membantu mereka dan beri peluang untuk bertugas.. KKM juga sedang mencari solusi berkaitan insiden buli sehingga membawa kepada peletakan jawatan.. buat masa ini kita sudah ada sistem iaitu pegawai boleh memanjangkan aduan mereka sekiranya terdapat masalah atau isu dalam fasiliti KKM,” katanya.- BERNAMA