Tag: pecat

  • Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    Tun Faisal dipecat UMNO berkuat kuasa serta-merta

    BEKAS Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

    Lapor Berita Harian, Tun Faisal memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada pukul 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp.

    Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu menerusi akaun Facebooknya.

    Mengikut surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

    Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.

    Tun Faisal yang sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepemimpinan UMNO berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana mendakwa MKT dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka menerima kritikan.

    Beliau bagaimanapun menegaskan, ‘penentangan’ yang dilakukannya selama ini bukanlah terhadap UMNO itu sendiri namun lebih kepada kepemimpinan dan individu.

    “Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya tetapi yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Ahmad Zahid yang menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) dan surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

    “Itu adalah punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Ahmad Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap beliau bermulanya daripada terbongkarnya pengkhianatan terbabit,” katanya.

    Pada masa sama, Tun Faisal turut melahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan UMNO selama ini dalam memajukan rakyat dan negara.

    Malah katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Islam dan ummah namun dalam kapasiti dan wadah yang lain di luar UMNO.

    UMNO dalam ‘pembersihan’ parti itu sebelum ini bertindak memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Selain itu, mesyuarat MKT Jumaat lalu turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

  • Pecat, gantung pemimpin, UMNO berdepan tugas besar urus persepsi-MB Johor

    Pecat, gantung pemimpin, UMNO berdepan tugas besar urus persepsi-MB Johor

    UMNO bakal berdepan tanggungjawab besar mengurus persepsi akar umbi parti dan rakyat kesan daripada keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara peribadi berpandangan, ramai ‘terkejut’ dan ‘sedih’ dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi.

    “Sudah tentu kena urus peringkat ahli parti dan peringkat rakyat secara umum. Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar untuk pucuk pimpinan melihat pada persepsi dan apa yang berlaku di bawah.

    “Di peringkat negeri Johor, saya ingin menekankan fokus membangunkan negeri Johor dengan semangat perpaduan Bangsa Johor. Kita nak jadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030,” lapor Astro Awani.

    Pada 20 November, Onn antara pemimpin awal menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) yang mencatat prestasi terburuk, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Malam tadi, MKT bertindak memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

    Selain itu, MKT juga menggantung keahlian bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif, dan pemipin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

    MKT juga bertindak memecat lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang serta 26 ahli UMNO dari Pahang.

    Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan membantu parti lawan ketika PRU15.

  • Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    Pengerusi Muda Perak dipecat kerana ‘Langkah Tapah’

    PENGERUSI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak, Mutalib Uthman yang juga pengasas bersama parti itu dipecat dan keahliannya digantung selama tiga tahun berkuatkuasa semalam.

    Pemecatan penggiat buku Indie itu susulan tindakannya mengumumkan bertanding untuk Parlimen Tapah dalam pilihan raya umum lalu, ketika parti itu masih berunding kerusi pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH).

    Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi berkata, tindakan Mutalib itu melanggar perlembagaan parti yang menetapkan supaya anggotanya menghormati keputusan dan memelihara nama baik serta maruah parti.

    Mutalib pada 20 Oktober lalu dalam hantaran Facebook mengumumkan akan bertanding di Tapah, kubu kuat BN yang disandang oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan selama tiga penggal.

    Sebelum itu Naib Presiden PKR K Saraswathy dijangka bertanding di kerusi itu.

    “Keputusan ini dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi mengenai status kerusi Tapah dan Sg Siput (Perak) serta Sembrong (Johor) adalah untuk kerjasama politik dengan Muda dan PSM,” katanya.

    Muda bagaimanapun menafikan akan meletakkan calon di situ kerana ia kerusi PH.

    Mutalib bagaimanapun kemudian mendapat kerusi parlimen Masjid Tanah, Melaka tetapi akhirnya kecundang di tangan tokoh Perikatan Nasional (PN) Mas Ermieyati Samsuddin yang telah berkhidmat dua penggal di situ.

    ‘Ada niat mahu sabotaj’

    Sementara itu, Amir juga menuduh Mutalib “menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti” dengan menukar kata laluan akaun rasmi Muda Perak.

    “Beliau juga, selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan, dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” dakwanya, lapor Malaysiakini.

    Amir bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Mutalib yang telah bersama parti itu sejak hari pertama.

    “Untuk itu, Muda mengucapkan ribuan terima kasih. Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP (Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) ini, akan diputuskan usai rayuan diterima,” katanya.

    Sementara itu, Mutalib dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini menyifatkan keputusan itu sebagai “keras”.

    Bagaimanapun, katanya ringkas, “parti sudah pun bersuara”.

  • ‘Gurauan’ pecat 12  menteri Kabinet: Ismail Sabri permain Perlembagaan – Lim

    ‘Gurauan’ pecat 12 menteri Kabinet: Ismail Sabri permain Perlembagaan – Lim

    DAP menganggap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersenda Perlembagaan negara apabila mendakwa kenyataannya mahu memecat 12 menteri Kabinet sebagai sekadar gurauan.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, isu pemecatan anggota Kabinet dan pembubaran Parlimen adalah sesuatu yang serius dan sangat tidak wajar dijadikan bahan jenaka.

    Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, Ismail Sabri perlu membuat keputusan dengan mendasarkan tindakannya kepada kepentingan rakyat serta negara.

    “Tiada siapa yang dapat memahami logik pelik Ismail Sabri bahawa 12 menteri PN (Perikatan Nasional) yang masih berada dalam Kabinet bermakna dia hanya bergurau (dengan cadangan memecat mereka),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

    Pada 17 Okt lalu Ismail Sabri berkata beliau sepatutnya memecat semua 12 menteri yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta agar Parlimen hanya dibubarkan pada tahun depan.

    Ia dibuat ketika pemimpin tertinggi UMNO mendesak Ismail Sabri segera menghadap Agong bagi mencadangkan pembubaran parlimen, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

    12 menteri itu membabitkan ahli Parlimen serta senator dari PN.

    “Saya sebagai abang tua, kalau kamu semua tak setuju, saya bubarkan Kabinet ini, pecat saja semua orang.

    “Saya boleh buat. Silap, patut saya pecat semua sekali.

    “Tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, bukan lembut… ” katanya semasa berucap di majlis bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak.

    Persoal kelayakan Ismail Sabri

    Semalam selepas salah seorang daripada menteri terbabit, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, memberikan reaksinya, Ismail Sabri menjelaskan, beliau hanya berseloroh apabila berkata demikian.

    “Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet.

    “Saya tak pecat itu maksudnya saya berselorohlah,” katanya.

    Menurut Guan Eng, apa yang berlaku itu menunjukkan Ismail Sabri keliru serta tidak jujur kerana membuat pusingan U beberapa kali.

    Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan itu menjelaskan, pada 11 Okt lalu Ismail Sabri menyalahkan 12 menteri PN kerana menghantar surat kepada Agong, namun menyatakan sebaliknya sehari kemudian dengan mendakwa mereka hanya mengikut arahan pemimpin parti.

    “Pada 17 Okt Ismail Sabri membuat pusingan U kedua dengan berkata dia sepatutnya memecat 12 menteri PN kerana menulis surat kepada Agong.

    “Kemudian pada 19 Okt, Naib Presiden UMNO itu membuat pusingan U ketiga dengan mengatakan dia hanya bergurau tentang cadangan memecat 12 menteri PN.

    “Adakah Ismail Sabri layak menjadi perdana menteri dengan membuat tiga pusingan U dalam tempoh satu minggu?” katanya.

    Guan Eng juga mengiringi kenyataan tersebut dengan petikan serangkap lagu I Was Only Joking nyanyian Rod Rod Stewart:

    I was only joking my dear (my dear)
    Looking for a way to hide my fear (my fear)
    What kind of fool was I? (Was I)
    I could never win (never win)

  • TDM pertimbang serap kembali anggota yang dipecat jika terima vaksin

    TDM pertimbang serap kembali anggota yang dipecat jika terima vaksin

    ANGGOTA Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dipecat kerana menolak vaksin COVID-19 akan dipertimbangkan untuk diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin itu, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

    Beliau berkata namun, keputusan memberhentikan anggota berkenaan masih kekal setakat ini.

    Zamrose berkata anggota tentera berkenaan sebelum ini telah menjalani empat sesi kaunseling selepas dia enggan menerima suntikan vaksin dan keputusannya masih sama iaitu tidak mahu menerima suntikan vaksin.

    “TDM akan pertimbangkan (serap semula bertugas) jika dia mahu menerima suntikan vaksin dan saya yakin pegawai pemerintah mengambil tindakan sewajarnya.

    “Segala apa yang patut anggota itu dapat kita akan serahkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada 83 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

    Zamrose berkata TDM mempunyai 86,000 anggota dan tidak mahu sebarang implikasi berlaku terhadap anggota lain yang bekerja dalam pasukan.

    “TDM merasakan dia tidak sesuai dengan tentera darat kerana TDM bekerja dalam kumpulan dan TDM tidak mahu sebarang implikasi kepada anggota lain kerana dia seorang sahaja yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan seorang tentera berpangkat Sarjan dipecat kerana menolak vaksin COVID-19 dan menyebabkan dia kehilangan kelayakan untuk menerima skim pencen.- BERNAMA

  • CNN pecat 3 pekerja hadir ke pejabat tanpa divaksin

    CNN pecat 3 pekerja hadir ke pejabat tanpa divaksin

    CNN memecat tiga pekerjanya kerana hadir ke pejabat tanpa divaksinasi COVID-19 dan menangguhkan kehadiran petugas ke pejabat sehingga pertengahan Oktober, lapor Sputnik.

    “(Presiden CNN) Jeff Zucker dalam memo kepada staf CNN berkata, pada minggu lalu kami dimaklumkan mengenai tiga pekerja yang datang ke pejabat tanpa divaksin.

    Ketiga-tiganya telah diberhentikan. Saya tegaskan di sini – kami tidak akan bertoleransi mengenai hal ini,” tulis wartawan kanan Oliver Darcy di akaun Twitternya pada Khamis

    Menurut memo itu, pejabat CNN sepatutnya dibuka semula pada 7 September namun berikutan insiden itu ia terpaksa ditangguhkan sehingga pertengahan Oktober.

    Semua petugas diminta sentiasa mengikuti perkembangan terkini.- BERNAMA