POLIS menahan tujuh individu yang terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di Kota Bharu dalam Ops Lejang, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,tangkapan suspek berusia di antara 26 dan 58 tahun itu dilakukan dalam serbuan di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh antara pukul 12.15 tengah malam hingga 4 pagi semalam.
“Dengan penahanan tujuh individu itu, pihak polis berjaya menemui lima buah kereta Proton Wira, peralatan memecah rumah dan kereta, serta sejumlah wang tunai.
“Berdasarkan kes kehilangan kenderaan Proton Wira yang ketara sejak awal tahun, 21 kes dilaporkan dan tindakan diambil menjurus kepada penyelesaian kes melalui Ops Lejang,” kata Muhamad Zaki, lapor Astro Awani.
Beliau berkata, kesemua kereta Proton Wira itu dipercayai dicuri sebelum dijual pada harga di antara RM3,000 hingga RM5,000.
Muhamad Zaki berkata, kejayaan tangkapan kumpulan curi kereta dan pecah rumah itu selepas polis menemui cap jari seorang suspek yang dikesan di sebuah rumah yang dipecah masuk.
“Suspek termasuk seorang bekas banduan yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau serta mengaku sebagai ketua sindiket itu, direman bermula semalam hingga 7 Februari,” katanya.
Pihak polis masih mengesan saki-baki ahli dan individu lain yang ada kaitan dengan kumpulan curi kereta itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379a, 325/353 Kanun Keseksaan.
BIMBANG laluan ke rumahnya terjejas akibat fenomena air pasang di sebuah perkampungan atas air di Sandakan, sebuah keluarga enam beranak mengambil langkah bermalam dalam kereta sebagai langkah keselamatan malam tadi.
Riden Abdul Mutalib, 43, berkata dia sekeluarga keluar rumah yang berkedudukan hampir dengan kawasan darat di Kampung Forest kira-kira 9 malam apabila mendapati paras air laut mulai meningkat.
“Sudahlah banyak rumah di laut sudah roboh (malam Sabtu lepas). Jadi, tiada lampu di sana,” katanya ketika ditemui di kampung itu.
Riden berkata dia sekeluarga memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 kerana mahu menyelamatkan barang lain milik keluarganya tetapi pihak keselamatan hanya membenarkannya pulang ke rumah apabila paras air telah surut.
“Mana yang kita boleh selamatkan, kita selamatkanlah…kita sangkakan tiada lagi air pasang kembali begini dalam,” katanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Forest Zulaikah Ali, 23, berkata dia sekeluarga juga memilih tidak berpindah ke PPS malam tadi sebaliknya menumpang rumah saudara yang berada pada paras kedudukan tinggi.
Jelasnya, insiden pecah masuk rumah di kawasan itu menjadi kebimbangan penduduk setiap kali sesuatu bencana berlaku.
Meskipun rumahnya tidak terjejas teruk oleh air pasang, dia berkata bekalan elektrik di kampung itu dimatikan sebagai langkah keselamatan susulan kejadian Sabtu lepas manakala seorang bapa saudaranya bertindak tinggal untuk menjaga rumah bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Pada malam 24 Dis lepas, kira-kira 100 rumah di Kampung Forest roboh akibat fenomena air pasang besar.
Setakat ini, sebanyak 684 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Anib 2. – BERNAMA
TAK serik, seorang penyamun bergelar ‘Petong’ditangkap polis buat kali ke-19 semalam, selepas dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar Ayer Keroh, Melaka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis di kawasan Limbongan, di Ayer Keroh.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, suspek dipercayai melakukan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM50,000.
Menurutnya, susulan daripada laporan diterima, polis melancarkan usaha menjejaki suspek dan berhasil apabila penganggur berkenaan berjaya ditahan di sebuah rumah semalam.
“Turut dirampas bersama suspek adalah hasil pecah rumah, antaranya sebuah beg golf, wang berjumlah kira-kira RM2,190 dan resit jualan barangan kemas berjumlah RM5,351,” katanya.
Christopher berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek adalah bergerak solo dan menyasarkan rumah mewah sekitar Ayer Keroh untuk melakukan jenayah.
“Malah suspek juga dikatakan menggunakan kenderaan sewa bagi menyukarkan dikesan polis. Semakan mendapati sejak 2020 hingga 2022, dia sudah ditahan sebanyak 18 kali dan sudah dituduh dengan 23 pertuduhan, malah perbicaraan di mahkamah membabitkan kes itu belum selesai,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau menambah, suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dijalankan.
EMPAT suspek berusia 24 hingga 62 tahun berjaya diberkas polis selepas terlibat dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru Selatan sejak awal September lalu.
Semua suspek terbabit ditahan hasil serbuan di tiga lokasi berasingan di Taman Pulai Indah Kangkar Pulai, Bandar Selesa Jaya dan Skudai.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin, bagi tangkapan pertama, polis menahan sepasang suami isteri di Taman Pulai Indah sebelum memberkas seorang lelaki di Bandar Selesa Jaya dan warga emas berusia 62 tahun di Skudai.
“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau melibatkan jenayah pecah rumah, curi kenderaan, samun, memiliki barang salah selain rekod kesalahan dadah.
“Suspek pertama (suami) memiliki 33 rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan dan isterinya (suspek kedua) memiliki satu rekod jenayah (curi kenderaan dan pecah rumah).
“Suspek ketiga memiliki 11 rekod lampau dan tujuh kes berkaitan dadah manakala suspek keempat mempunyai sembilan rekod lampau,” katanya pada sidang media di lobi IPD Iskandar Puteri, hari ini.
Rahmat berkata, setakat ini kesemua suspek ditahan reman sehingga Selasa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 475 Kanun Keseksaan (pecah rumah) dan 379A Kanun Keseksaan (curi kereta),
Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kenderaan jenis Naza Citra dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dianggarkan bernilai RM30,000.
Jelas Rahmat, modus operandi yang digunakan kesemua suspek adalah dengan menekan loceng bagi memastikan ketiadaan penghuni di rumah disasarkan.
“Polis tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan dibuat selepas ini melibatkan suspek-suspek lain,” katanya lapor Sinar Harian.
POLIS menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali Geng Batam yang aktif melakukan kegiatan pecah kereta sekitar daerah Melaka Tengah, sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, empat suspek yang juga warga Indonesia berusia 22 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan berasingan sekitar Senai, Johor, pada 14 September lalu.
“Suspek dikatakan mensasarkan kenderaan yang didalamnya mempunyai barangan berharga dan ditinggalkan sebelum memecahkan cermin kenderaan dengan menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh.
“Siasatan dijalankan mendapati kumpulan ini bergerak menggunakan kenderaan yang disewa dari Johor dan menuju ke Melaka untuk tujuan pecah kereta,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah pecah cermin kereta di daerah Melaka Tengah.
Menurutnya, semasa tangkapan ke atas suspek polis merampas pakaian digunakan semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan.
Selain itu katanya, polis turut menjumpai barang beserta ayat jampi serapah, tangkal yang dipercayai digunakan setiap suspek sebagai pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah mereka dikesan polis.
Kesemua suspek kini direman sejak 15 September bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.
Selain itu beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada serta tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan.
POLIS berjaya menahan 12 lelaki warga tempatan masing-masing berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di Petaling Jaya 24 Ogos lalu.
Memetik laporan UtusanTV, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pengadu menyedari kejadian curi itu semasa ingin mengambil peti besi yang disimpan di ruang dapur rumah tersebut.
Jelasnya, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos dan memaklumkan anggaran kerugian sebanyak RM430,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM200,000.
Mohamad Fakhruddin berkata, pengadu memaklumkan wang tersebut adalah hasil pelaburan matawang asing bersama isteri sejak 2020 hingga Januari 2022.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor memulakan operasi pada 31 Ogos jam 3.30 petang.
“Pasukan operasi melakukan serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki warga tempatan yang sedang berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Seremban.
“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek, pasukan telah merampas pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, antara barangan yang dirampas adalah dua buah motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam buah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan satu beg silang jenama Coach.
Tambah Mohamad Fakhruddin, hasil siasatan terhadap suspek telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di Klang, Selangor.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas suspek telah berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.
“Barangan yang dirampas adalah seuah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max, dua utas jam tangan jenama G-Shock, sebuah kamera Insta 360 One X2, sebuah motosikal jenis Kawasaki 150RR, sepasang selipar jenama Skechers, sekeping kad pendaftaran motosikal dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada telefon pintar, barang kemas, aksesori motosikal serta wang tunai yang berjaya dirampas selepas menahan 12 suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan curi ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Siasatan lanjut terhadap 11 orang kena tangkap (OKT) telah pandu arah ke rumah masing-masing di Klang dan membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.
“Barangan itu adalah enam utas gelang tangan emas, satu anting-anting, sebuah kereta jenis Honda Civic FD 2.0, dua set alat ganti motosikal Yamaha (cover set), satu set lampu kereta Perodua, dua beg pelbagai jenama, dua buah motosikal jenama Kawasaki dan NVX, empat buah topi keledar jenama KYT, empat kad pendaftaran kenderaan dan wang tunai berjumlah RM55,950,” katanya.
Mohamad Fakhruddin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua 12 OKT mendapati tiada rekod jenayah lampau dan tiada rekod dikehendaki.
Katanya, anggaran jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM271,209 manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan atas talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 September hingga 7 September untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, dua daripada suspek adalah penganggur, dua bekerja sebagai pemandu lori, seorang bekerja sebagai operator kilang manakala tujuh lagi adalah penghantar makanan (rider).
“Lain-lain wang tunai yang tidak dirampas telah dibelanjakan suspek untuk mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur.
“Wang tunai yang diserahkan keada ahli keluarga mereka juga telah habis dibelanjakan,” katanya.
KES jenayah pecah rumah dijangka meningkat pada musim Aidilfitri tahun ini susulan peralihan ke fasa endemik.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara sejak dua tahun lepas telah menyebabkan penurunan kes jenayah pecah rumah pada musim perayaan.
“Pada 2019 sebanyak 28 kes jenayah pecah rumah dicatatkan di daerah Sentul dan jumlah ini turun kepada 19 kes pada 2020. Pada 2021, hanya 14 kes dicatatkan.
“Setelah dua tahun orang ramai tidak dapat pulang ke kampung, kita jangka tahun ini banyak rumah yang akan ditinggalkan kosong (ketika musim perayaan) dan ini merupakan satu cabaran bagi pihak polis untuk memastikan setiap rumah tersebut selamat dan tidak dipecah masuk pencuri,” katanya ketika ditemu bual Bernama.
Beh berkata, usaha pihak polis menjalankan operasi secara berkala bagi membanteras jenayah pecah rumah akan bermula dengan Kempen Rumah Selamat.
Kempen sempena musim Aidilfitri itu dilancarkan hari ini seluruh negara.
Kempen Rumah Selamat ialah pencegahan jenayah melalui rondaan oleh anggota PDRM di kawasan taman-taman perumahan yang didaftarkan sepanjang musim perayaan.
Seramai 106 pegawai polis akan terlibat dalam kempen ini bagi daerah Sentul dan antara tempat yang disasarkan ialah Jinjang, Kepong dan Sentul.
“Hebahan telah pun dibuat kepada komuniti setempat bagi menggalakkan orang ramai mengisi borang balik ke kampung. Polis akan meronda sekurang-kurangnya sekali sehari bagi setiap rumah yang didaftarkan.
“Borang tersebut boleh diperolehi secara fizikal di Kawasan Rukun Tetangga terdekat atau melalui atas talian menerusi Facebook dan WhatsApp,” katanya.
Beh turut berpesan kepada orang ramai yang hendak pulang ke kampung supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan rumah dikunci dengan baik, memasang lampu di sekeliling rumah serta memasang kamera litar tertutup jika berkemampuan.
“Yang atas jalan raya juga diingatkan supaya berhati-hati, jangan pandu laju lebih-lebih lagi ketika hari hujan. Ingat, walaupun kita dibenarkan beraya di kampung, jaga SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung COVID-19,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Taman Ehsan Kepong, Ahmad Nabil Ismail, 27, berkata beliau dan keluarga telah pun mengisi borang Kempen Keluarga Selamat sebagai antara persiapan pulang ke kampung pada Mei ini.
Ahmad Nabil berkata maklumat tentang kempen tersebut diketahui daripada kumpulan WhatsApp komuniti setempat di kawasan rumahnya.
“Kes jenayah pecah rumah beberapa kali pernah terjadi di kawasan rumah saya. Sebab itulah saya mengisi borang ini sebagai langkah berjaga-jaga sebelum pulang ke kampung untuk jangka masa yang lama,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Manakala seorang penduduk Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Nur Aqilah Aina Aizhar, 26, berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kempen ini dan berharap lebih banyak pendedahan dilakukan.
“Ini kali pertama saya mendengar tentang kempen ini. Lagi pun kebiasaannya jiran tetangga di sini saling bantu-membantu tengokkan rumah, jadi tidak berapa risau sangat apabila pulang ke kampung,” katanya yang dihubungi Bernama. – BERNAMA