Tag: PBM

  • Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    Zuraida, setiausaha agung antara 11 pemimpin dipecat PBM

    BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad antara 11 individu yang digugurkan jawatan dan dipecat dari parti itu.

    Lapor Free Malaysia Today, pemecatan mereka kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

    Mereka antara 13 individu yang diberi surat tunjuk sebab oleh Jawatankuasa Disiplin PBM pada 19 Dis lalu.

    Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

    Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

    Bagaimanapun PBM hanya memecat Timbalan Presiden 1 Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dari jawatan, dan mereka berdua masih kekal sebagai ahli biasa.

    Menerusi kenyataan, unit penerangan PBM memaklumkan bahawa tindakan ke atas 13 individu itu dibuat selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut Perlembagaan parti.

    “Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

    “Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27hb Disember 2022,” menurut kenyataan itu.

    Zuraida sebelum ini turut menyifatkan Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

    Susulan itu Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada pilihan raya umum ke-15.

    Kemelut melanda PBM semakin parah apabila Sng menggantung keahlian dan jawatan 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kerana mendakwa penglibatan individu berkenaan didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

  • 2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    2 lagi ahli Parlimen sertai PBM

    AHLI Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar hari ini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). 

    Bakal Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan perkara itu berkata dengan kemasukan Xavier yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bebas dan Santhara dari Parti Bersatu, PBM kini mempunyai enam orang Ahli Parlimen termasuk Zuraida sebagai Ahli Parlimen Ampang; Steven Choong (Tebrau); Larry Sng (Julau) dan Mohammadin Ketapi (Lahad Datu).

    “Dua orang lagi yang berpotensi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dari Negeri Sembilan, insya-Allah kita sedang meneliti sedikit perkara dan akan membuat pengumuman,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan 2022 PBM di sini hari ini. 

    Beliau berkata susulan kemasukan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ke dalam PBM, secara automatiknya beliau telah keluar dari Parti Bersatu. 

    Mengenai permohonan PBM yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata perbincangan masih berjalan dan maklum balas yang diterima adalah positif.  – BERNAMA

  • Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    Dr S. Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan

    CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 2019, Dr S.Streram yang mengumumkan keluar PKR pada 8 Sept lepas, mendakwa beliau berbuat demikian kerana dipinggirkan parti itu.

    Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau itu juga berkata beliau kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR, bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, sejak bulan lepas.

    “Saya sudah 14 tahun dengan PKR dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat tetapi selepas PRK Rantau, saya dan ramai lagi rakan saya dipinggirkan di Negeri Sembilan.

    “Saya membuat keputusan menyertai PBM untuk berkhidmat kepada rakyat, itu adalah matlamat penting saya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Pakar bius itu berkata beberapa rakan lain dalam PKR juga mendakwa mereka tidak bersefahaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun selain tidak bersetuju dengan pemilihan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

    Sementara itu Setiausaha PKR Negeri Sembilan Aliudin Mohamed berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang pemakluman dari PKR pusat mengenai surat keluar parti daripada Dr Streram.

    “Saya belum menerima apa-apa surat daripada beliau, mungkin juga dia (Streram) boleh ajukan surat berkenaan kepada PKR pusat, namun setakat ini tiada pemakluman daripada mana-mana pihak,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan sebelum ini Streram tidak mempunyai sebarang isu bersama PKR negeri, namun parti berkenaan tetap menghormati keputusannya.- BERNAMA

  • Mohamaddin diterima masuk PBM, ambil kira Akta Anti Lompat Parti – Zuraida

    Mohamaddin diterima masuk PBM, ambil kira Akta Anti Lompat Parti – Zuraida

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) menerima kemasukan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi selepas mengambil kira Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Presiden Penggantinya, Zuraida Kamaruddin berkata, penerimaan bekas pemimpin Bersatu itu turut mengambil kira keadaan politik negara yang masih tidak menentu.

    “Kita terbuka memandangkan keadaan politik yang tidak stabil dan ambil kira Akta Anti Lompat Parti. Jadi, ahli politik ada perkiraan mereka sendiri,” katanya selepas melawat makmal Orion Biosains sempena pelancaran perkhidmatan ujian DNA benih sawit.

    Ahad lalu, Mohamaddin yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya mengumumkan penyertaannya dalam PBM pada sidang media yang turut dihadiri Presiden PBM, Larry Sng.

    Dalam pada itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, penyertaan Mohamaddin yang beberapa kali melompat parti tidak akan menjejaskan kredibiliti parti itu.

    “Sebagai parti baharu, PBM mengalu-alukan sesiapa yang nak datang, tapi sudah tentu kena ikut polisi yang ada,” katanya.

    Mohamaddin yang bertanding atas tiket Warisan, memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada pilihan raya umum ke-14 dan kerusi Dewan Undangan Negeri Segama pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.

    Pada 26 Nov 2021, beliau meninggalkan Warisan dan menyertai Bersatu.

    Dalam pada itu, Zuraida berkata, kedudukan Sng akan ditentukan dalam mesyuarat agung tahunan pada Oktober ini, selepas dirinya mengambil alih sepenuhnya jawatan presiden PBM daripada Sng nanti.

    Sng menyertai PBM dan dilantik sebagai presiden Januari lalu.

    Mengenai permohonan PBM menyertai Barisan Nasional, Zuraida yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata, perkara itu masih tergantung.

    “Belum ada jawapan lagi, kalau ada, BN akan keluarkan kenyataan,” tambahnya.

  • PRN Johor: Calon PBM mesti lulus ujian antirasuah

    PRN Johor: Calon PBM mesti lulus ujian antirasuah

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan memastikan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lulus Ujian Psikometrik Anti-Rasuah (RBTAG) seperti yang disyorkan #RasuahBusters.

    Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, ini selaras dengan aspirasi pengundi yang mahukan pemimpin bersih dan bertanggungjawab, selain arahan parti itu juga seiring enam teras digariskan #RasuahBusters.

    “Johor akan menjadi pilihan raya pertama PBM dan kami mahu calon kami bersih dan bebas rasuah, supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sekiranya mereka menang,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

    Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya berkata, langkah itu, bukan sahaja dapat meningkatkan integriti semua calon yang berpotensi, tetapi juga membantu mewujudkan pemimpin yang lebih baik.

    Pada Khamis lepas, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid dilaporkan berkata parti itu akan bertanding dua kerusi pada PRN itu, yang akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon pada 26 Feb, manakala pengundian awal pada 8 Mac. – BERNAMA