Tag: PBB

  • PBB: ‘Muhyiddin tetap kawan GPS’

    PBB: ‘Muhyiddin tetap kawan GPS’

    PERIKATAN Nasional (PN) pada dasarnya bersetuju dengan persefahaman dicapai dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, perkara berkenaan dipersetujui dalam beberapa pertemuan yang diadakan antara pemimpin dua gabungan parti politik itu.

    Beliau bagaimanapun berkata, apabila PN meletakkan calon di Sarawak pada PRU-15, GPS menerimanya sebagai cabaran dalam amalan demokrasi.

    “Memang ia dipersetujui (persefahaman untuk PN tidak meletak calon di Sarawak) di dalam beberapa mesyuarat yang diadakan.

    “Soal sama ada beliau (Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin) mungkir atau tidak, itu saya tidak tahu tetapi apabila mereka letak calon, kita lawanlah,” katanya kepada media selepas sidang media pelancaran ‘Sarawak Fair in Singapore’ di Kuching, hari ini.

    Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam bahawa persetujuannya dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg ialah PN tidak akan bertanding pada PRN12 Disember tahun lalu, tetapi ia tidak termasuk PRU15.

    Sementara itu, Naib Presiden PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, GPS tetap menganggap Muhyiddin sebagai kawan meskipun Presiden Bersatu itu meletak tiga calon partinya dan seorang calon Pas di Sarawak pada PRU-15.

    “Walaupun tidak ada perjanjian bertulis berhubung perkara itu (PN tidak meletak calon) saya percaya ada persefahaman (secara lisan) mengenainya kerana ia amalan biasa dalam politik.

    “Ini demokrasi, kalau mereka hendak bertanding di Sarawak kita terima, walaupun berat sedikit (untuk menerimanya) tetapi kita tetap melihat Muhyiddin sebagai kawan dan kita memang tahu beliau adalah kawan baik Premier (Abang Johari),” katanya, lapor Berita Harian.

    Abdul Karim berkata, kini terpulang kepada pengundi di empat kawasan terbabit iaitu Parlimen Saratok, Lubok Antu dan Bintulu yang ditandingi BERSATU, manakala PAS di Batang Lupar untuk menilainya.

    Menurutnya lagi, pelbagai perkara boleh berlaku dalam politik termasuk di Sarawak apabila Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menjadi rakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen tetapi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada tahun 1980-an hingga awal 1990-an.

    Semalam, Muhyiddin pada majlis di Pendang, Kedah menafikan beliau memungkiri janji dengan GPS.

    Menurut Muhyiddin, sebelum PRN12 Sarawak tahun lalu, Abang Johari menemui beliau untuk mendapatkan sokongan penuh BERSATU dengan menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

    Sementara itu, Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (STATOS) akan menganjurkan Sarawak Fair 2022 pada 21 hingga 27 November ini di Singapura.

    Ia diadakan bagi mempromosikan perkhidmatan dan produk Sarawak di republik itu dengan 31 pempamer dari Sarawak akan menyertainya.

  • Malaysia mahu kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

    Malaysia mahu kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dihapuskan

    MALAYSIA hari ini meminta kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

    Segak memakai baju Melayu hitam dan berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di sini pada Jumaat, Ismail Sabri berkata konflik dan krisis yang berlaku di dunia seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

    Menurut beliau, masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

    “Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut,” katanya pada penampilan kali kedua di UNGA, perhimpunan agung tahunan yang dihadiri lebih 150 pemimpin dunia.

    Perdana Menteri berkata konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia dan memberi contoh pelbagai masalah yang wujud sekarang, antaranya kekurangan zat dan sumber makanan.

    Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua negara perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.  

    Beliau berkata tema sesi kali ini iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dilalui dunia.

    “Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.

    “Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa,” kata beliau. dalam ucapan selama 20 minit itu.

    Dalam ucapan selama 20 minit itu, Perdana Menteri berkata apabila komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama disuarakan pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia.

    “Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita,” katanya.

    Malaysia, kata beliau, tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang tidak membantu orang awam.

    Sementara itu, situasi di Ukraine, kata beliau, membuktikan peperangan menelan kos yang tinggi.

    “Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan,” kata beliau.

    Sambil mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine, Ismail Sabri mengulangi gesaan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak dari mewujudkan blok pengasingan  yang akan hanya mendorong dunia ke kancah Perang Dingin.

    Pada sesi ke-76 tahun lepas, Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara maya berikutan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PBB bukan lagi parti kampung – Abang Johari

    PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berjaya mengatur langkahnya dalam membawa Sarawak ke era pembangunan yang seiring dengan perkembangan semasa dunia.

    Presidennya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, parti itu kini tidak lagi terhad kemampuannya dalam memperjuangkan isu tempatan negeri tetapi sedang memacu potensi baharu yang boleh meningkatkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

    “PBB bukan lagi parti kampung. PBB hari ini melangkah satu langkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia… dunia telah mengiktiraf potensi Sarawak di Malaysia,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan PBB kali ke-15 di Kuching hari ini.

    Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, PBB telah melalui beberapa cabaran getir sewaktu beliau mengambil alih tampuk kepimpinan namun dengan niat ikhlas untuk memastikan negeri ini terus maju, cabaran berkenaan telah berjaya diatasi.

    Ini termasuk menghadapi ketidaktentuan politik nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dengan PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

    Abang Johari berkata, tindakan yang dibuat PBB bersama-sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membolehkan mereka membuat keputusan tanpa terikat dengan konsensus yang perlu diikuti sewaktu masih dalam BN.

    Menurutnya, ini turut membawa PBB memperjuangkan agenda ‘Sarawak Diutamakan’ dengan lebih berkesan khususnya dalam mendapatkan kembali hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

    Katanya, beberapa kejayaan dalam mendapatkan kembali hak-hak tersebut telah ditempa dalam tempoh lima tahun lepas yang membolehkan Sarawak meningkatkan pendapatannya seterusnya digunakan untuk membantu seluruh rakyat negeri ini.

    Beliau berkata, pendapatan yang meningkat juga membolehkan kerajaan GPS membuat perancangan pembangunan jangka panjang termasuk cadangan menubuhkan dana berdaulat untuk manfaat rakyat Sarawak.

    “Daripada sumber yang kita ada, kita tambah nilai kepada sumber kita (untuk meningkatkan pendapatan) dan seterusnya kita bangunkan seluruh Sarawak. Niat mesti betul. Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat yang betul. Tapi kalau niat tak betul, Tuhan pun memerhati kita juga,” katanya. – BERNAMA

  • Dr Annuar umum pertahan jawatan Naib Presiden PBB

    Dr Annuar umum pertahan jawatan Naib Presiden PBB

    NAIB Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee akan bertanding mempertahankan jawatannya pada Konvensyen PBB Sarawak, Jun depan.

    Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka membuat pengumuman tersebut pada mesyuarat agung tiga tahun sekali PBB Cawangan Nangka, hari ini.

    Selain itu, selaku ADUN Nangka beliau secara automatik memegang jawatan pengerusi di kawasan itu mengikut Perlembagaan parti.

    Sebelum ini, beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah memenangi jawatan Naib Presiden di Konvensyen PBB Sarawak pada 2018 dengan mendapat 764 undi.

    “Saya akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden yang saya sandang sejak 2018. Saya tidak akan bertanding jawatan lain,” katanya. – Bernama

  • Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    Malaysia sokong penyelesaian politik dipimpin, dikawal rakyat Afghanistan

    MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah menekankan sokongan Malaysia ke atas proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk dengan penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

    Saifuddin berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

    Menteri Luar Negeri itu turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Aghanistan.

    Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

    Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, Setiausaha Agung PBB ini bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

    Setiausaha Agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

    Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan solidariti Malaysia ke atas rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.- BERNAMA

  • Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    Korea Utara uji peluru berpandu jarak jauh baharu

    KOREA Utara mengumumkan kejayaannya melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh yang baharu hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Agensi Berita Korea Utara (KCNA) hari ini.

    Peluru berpandu itu terbang selama lebih 7,500 saat atau kira-kira dua jam di atas ruang udara Korea Utara dan mengenai sasaran pada jarak 1,500 kilometer.

    Bagaimanapun, ujian peluru berpandu jenis cruise itu dipercayai diadakan tanpa kehadiran pemimpin Kim Jong-un dan dipercayai bertujuan untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan negara itu tanpa melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Korea Utara dilarang menggunakan teknologi balistik di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB.

    Bagaimanapun, peluru berpandu cruise tidak dikenakan sekatan kerana dianggap kurang memberi ancaman berbanding balistik.

    Peluru berpandu “dengan kelajuan 7,580 saat itu mampu mengenai sasaran sejauh 1,500 kilometer,” lapor KCNA.

    Ujian peluru berpandu itu adalah yang ketiga untuk tahun ini.

    Pada 21 Mac, Korea Utara menyasarkan dua peluru berpandunya ke pantai barat, menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).

    Empat hari kemudian, dua peluru berpandu balistik disasarkan ke Laut Timur, dipercayai versi yang ditambah baik dari jenis KN-23 Iskander.

  • PBB sambut baik pelantikan menteri Brunei sebagai duta khas ASEAN

    PBB sambut baik pelantikan menteri Brunei sebagai duta khas ASEAN

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, pada Rabu menyambut baik pelantikan Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof sebagai Duta Khas ASEAN ke Myanmar.

    Pelantikan itu satu lagi langkah penting ke arah pelaksanaan konsensus yang dipersetujui dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April lalu, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

    PBB berharap dapat terus bekerjasama dengan ASEAN ke arah mencari jalan penyelesaian krisis di Myanmar dengan melihat peranan yang saling melengkapi antara duta khas ASEAN serta utusan PBB, lapor Xinhua.