Tag: PAU

  • ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    ROS boleh tentukan usul tambahan sah atau tidak, kata Ismail Sabri

    KEPUTUSAN Perhimpunan Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang dilihat sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

    Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

    Katanya, beliau mengakui dalam UMNO sendiri terdapat dua pandangan berbeza mengenai status dan kedudukan usul itu dari segi Perlembagaan parti, dengan ada yang berpandangan ia bertentangan dengan ketetapan Perlembagaan.

    “Kalau lihat fasal 8.1 Perlembagaan UMNO sendiri mengatakan PAU adalah kuasa tertinggi dalam menentukan perjalanan parti, namun ia tertakluk kepada Perlembagaan.

    “Dalam Perlembagaan dari segi memilih jawatan, ia hendaklah dibuat secara pemilihan tiga tahun sekali atau pun penangguhan seterusnya yang dilaksana di peringkat bahagian.

    “Itu dalam Perlembagaan (yang mana) apabila disebut pemilihan hendaklah dipilih. (Maknanya) jawatan seperti pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli MKT (Majlis Kerja Tertinggi) hendaklah dipilih (ada pemilihan) tiga tahun sekali atau (dibuat) penangguhan di peringkat bahagian,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 hari ini.

    Mengulas lanjut Ismail Sabri menegaskan, ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

    Beliau turut menjelaskan, usul itu masih terikat dengan notis usul seperti ditetapkan dalam fasal 10.1 perlembagaan UMNO.

    “MKT mungkin boleh mencadangkan satu-satu usul. Ada yang berpandangan usul asalnya adalah membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden iaitu ada tujuh perkara yang dicadangkan, tetapi (ada) tambahan satu lagi usul.

    “Jadi ada yang berpandangan tidak boleh ditambah seperti itu, kerana dari segi notis usul dalam fasal 10.1, usul dari bahagian mesti 14 hari notis dan usul dari MKT mesti tujuh hari.

    “Usul tadi cuma semalam dibawa dan masukkan terus. Walaupun ada sebut pindaan (terhadap usul asal), pindaan kalau di bawah fasal 20.3 pun, mengatakan jika ada pindaan ke atas usul sama, kalau nak perbetulkan dari perkataan dan ayat, memang boleh, tapi bukan ditambah, itu pun ada pandangan berbeza.

    “Ada yang kata kalau pengerusi benarkan, pun boleh. Ada kata tak boleh, sebab tertakluk kepada notis apa yang boleh dipinda, bukan ditambah macam itu saja,” katanya, lapor Berita Harian.

    Ismail Sabri berkata, tidak pernah berlaku sehingga perwakilan membawa usul sedemikian dalam PAU kerana ia dilihat seolah-olah mengenepikan pandangan akar umbi.

    “Zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) pun, 22 tahun dia jadi presiden tidak ada arahan yang keluar (dari PAU) tak boleh jawatan presiden dan timbalan presiden tak boleh dipertandingkan.

    “Walaupun tidak ada yang lawan Dr Mahathir waktu itu, tidak bermakna (kena) keluar arahan tidak boleh ditandingi,” katanya.

  • 140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    SEBANYAK 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara hari ini menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.

    Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

    Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini. 

    “Seramai 126 Ketua UMNO Bahagian hadir malam ini meskipun ada lagi 14 tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (malam ini), tetapi semua sepakat jawatan-jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan.

    “Untuk berdepan enam lagi PRN tahun ini, kita perlu parti UMNO yang kuat, justeru kami berharap presiden (Ahmad Zahid) mengambil kira pandangan ini dan tiada jawatan tertinggi dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Terdahulu, pertemuan 126 ketua-ketua bahagian itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, ketika perhimpunan sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

    Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung hari ini hingga Sabtu, dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini. – BERNAMA

  • ‘Survival’ UMNO merosot teruk jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

    ‘Survival’ UMNO merosot teruk jika tiada pertandingan jawatan presiden, timbalan

    “SURVIVAL” dan imej UMNO akan merosot teruk jika dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang, kata penganalisis politik.

    Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ini kerana parti Melayu itu kini berpecah kepada dua kem iaitu satu mahukan Presiden Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas kekalahan terburuk mereka dalam PRU15, sementara satu pihak lagi kekal menyokong kepimpinan beliau.

    “Sebelum ini akar umbi menyuarakan agar presiden letak jawatan demi untuk memulihkan imej kepartian agar disenangi dan diterima semula oleh orang ramai, dan paling penting membuka ruang dan laluan kepada proses demokrasi.

    “Adalah baik jika dua jawatan tertinggi itu dipertandingkan, jika tidak ia akan memberi impak dan kesan serius kepada ‘survival’ UMNO itu sendiri,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Sebelum ini Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mencadangkan satu usul dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bulan depan, agar jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Bagaimanapun, Ariff tidak menolak Zahid akan kekal memimpin Umno untuk sepenggal lagi jika jawatan itu dipertandingkan, kerana sukar baginya bergerak sebagai timbalan perdana menteri sekiranya tidak lagi menjadi sebahagian pemimpin tertinggi parti.

    “Kemungkinan besar beliau mempertahankan jawatannya sepenggal lagi kerana jika kita lihat dalam konteks hari ini, sekiranya tidak mempertahankan jawatan presiden, agak sukar untuk beliau bergerak dalam konteks kerajaan perpaduan.

    “Dalam konteks kerajaan perpaduan walaupun beliau dipilih sebagai TPM, pada waktu sama beliau perlulah dilihat sebagai dominan bukan saja dalam konteks kepartian tetapi dalam Jemaah Menteri itu sendiri,” katanya menambah kemungkinan besar Zahid mengekalkan jawatannya dan status quo kembali seperti sebelumnya.

    Beliau berkata, sudah tentu penolakan dari akar umbi terhadap Zahid akan berlaku, namun hanya membabitkan kelompok kecil memandangkan sebahagian besar akar umbi dan pemimpin Umno akur keputusan mengejut PRU15 lalu, manakala keutamaan parti kini adalah menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

    Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata agak sukar untuk usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diluluskan memandangkan ia memerlukan suara majoriti akar umbi dari 191 bahagian.

    “Bagi saya sukar untuk dapat kelulusan melalui PAU kerana ia memerlukan hampir sebulat suara. Saya tak nampak perkara itu boleh berlaku,” katanya.

    PAU 2022 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Dis ini ditangguhkan kepada 10 hingga 13 Jan depan. Bagaimanapun, tiada pemilihan parti diadakan dalam tempoh persidangan itu.

    Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno yang diputuskan parti itu sebelum ini. Kelulusan itu menyaksikan pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih dari enam bulan selepas pilihan raya umum.