Tag: PATI diusir

  • 208 PATI Filipina diusir pulang

    208 PATI Filipina diusir pulang

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan program pengusiran pulang seramai 208 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, semalam.

    Pengarahnya, SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berusia antara 23 bulan hingga 69 tahun itu melibatkan 97 lelaki, 60 wanita dan 51 kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Sandakan.

    Beliau berkata, kesemua PATI itu sebelum ini ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara.

    “Oleh itu semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja (untuk bekerja di Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sitti Saleha berkata, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

    “Operasi pengusiran ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah.

    “JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pengusiran PATI etelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya.

  • Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    Tiga kanak-kanak antara 12 PATI diusir dari Sarawak

    SERAMAI 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari Sarawak selepas cuba masuk melalui lorong tikus di kawasan Tebedu hari ini.

    Dalam kejadian sekitar 5.30 pagi itu, semua PATI berjalan kaki memasuki kawasan Malaysia dari arah Indonesia.

    Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kehadiran mereka dikesan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan serkap.

    “Setelah ditahan dan disoal siasat, lima individu lelaki berusia antara 35 hingga 45 tahun, empat individu wanita berusia antara 34 hingga 39 tahun bersama tiga kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga 14 tahun disahkan sebagai PATI.

    “Ini kerana mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menggunakan laluan haram untuk masuk mencari pekerjaan.

    “Kesemua PATI diusir dan laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

    Jelas pasukan 1 Divisyen lagi, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kes-kes melibatkan PATI cuba memasuki Sarawak untuk mencari pekerjaan dilihat semakin meningkat.

    Pelbagai taktik dan kaedah digunakan PATI yang cuba masuk ke Malaysia termasuk cubaan menyelinap di awal pagi, namun berjaya digagalkan, jelas kenyataan itu lagi.

    1 Div menambah, Tentera Darat khususnya anggota-anggota yang bertugas di persempadanan Sarawak-Kalimantan Barat akan terus kekal siaga dalam mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.