Tag: pasir mas

  • Buruh didakwa tikam hingga mati lelaki di restoran makanan segera

    Buruh didakwa tikam hingga mati lelaki di restoran makanan segera

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Rantau Panjang, Kelantan pada 2017.

    Tertuduh, Saw Kim San, 37 yang juga seorang buruh bagaimanapun hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

    Memetik laporan Astro AWANI, mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lee Boon Guan, 39.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Rantau Panjang sekitar jam 5.58 petang pada 17 Ogos 2017.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut ditikam di sebuah premis makanan segera di Gual Tinggi, Pasir Mas.

    Mangsa dikatakan sedang menikmati makanan segera bersama seorang wanita berusia 30-an di tingkat satu premis berkenaan sebelum didatangi suspek yang terus menikam mangsa.

    Mangsa yang cedera akibat tikaman di belakang dan dada meninggal dunia di lokasi kejadian.

    tuduhan bunuh, Rantau Panjang, restoran makanan segera, Seksyen 302 Kanun Keseksaan,

  • Banjir: Pesakit asma kronik ditemukan lemas dekat rumah

    Banjir: Pesakit asma kronik ditemukan lemas dekat rumah

    SEORANG lelaki dari Kampung Chenerai, Alor Pasir dekat Pasir Mas yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui lemas di sekitar rumahnya pagi ini.

    Mangsa, Allahyarham Mohd Razawi Ahmed, 45, ditemukan pukul 10.45 pagi tadi selepas kehilangannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

    Saudara kepada Mohd Razawi, Wan Habsah Wan Yusof, 53, berkata, Allahyarham hilang sejak kelmarin selepas jiran melihatnya turun meredah air setinggi 0.4 meter pada 5 petang dan tidak muncul sehingga pukul 8 malam.

    Katanya, dia dimaklumkan arwah turun untuk mengangkat kayu daripada dibawa arus banjir di bawah rumahnya sebelum dia hilang.

    “Arwah tinggal seorang diri di rumah berkenaan. Selepas dia hilang, paras banjir di kawasan rumahnya juga semakin bertambah hampir satu meter menyebabkan kami sukar untuk mencarinya.

    “Kemudian, kehilangan Mohd Razawi dilaporkan kepada polis sebelum mereka mengesyaki bahawa dia lemas. Beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kemudian menjalankan operasi mencari mangsa sejak semalam.

    “Saya terkejut apabila pagi ini menerima khabar dia ditemui lemas di sekitar rumahnya namun bersyukur jasadnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa,” katanya hari ini, lapor Harian Metro.

    Wan Habsah berkata, mangsa juga mempunyai penyakit asma kronik dan mungkin jatuh ke air selepas penat mengangkat kayu di bawah rumahnya.

    Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siram, di sini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

    “Penduduk terjejas banjir dinasihatkan agar berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini sehingga meragut nyawa

    “Polis bersiap siaga selama 24 jam untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan,” katanya.

  • Pengadil bola sepak diserang penyokong di Pasir Mas

    Pengadil bola sepak diserang penyokong di Pasir Mas

    SEORANG pengadil berdepan detik cemas diserang beberapa lelaki semasa mengendalikan perlawanan bola sepak di Stadium Mini Pasir Mas Ahad lalu.

    Sinar Harian melaporkan, tindakan itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati penyokong berkait dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan selepas video berdurasi 39 saat itu tular apabila dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Kongsi Segala Info.

    “Dalam insiden berkenaan tiada sebarang kecederaan dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

    Beliau berkata, bagaimanapun insiden tersebut telah berjaya dileraikan secara aman oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang secara kebetulan berada di kawasan berkenaan semasa kejadian.

    Menurutnya, video berdurasi 39 saat itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang mengasari pengadil perlawanan dalam pertandingan bola sepak antara mukim dalam daerah Pasir Mas.

    Mohd Nasaruddin berkata, polis menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menghadiri apa jua jenis perlawanan sukan yang dianjurkan.

    “Hal ini bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kesalahan yang lebih serius dari berlaku pada masa akan datang.

    “Orang ramai juga dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham dalam kalangan orang awam,” katanya.

    Beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di talian 09-793 2222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.