Tag: Pas

  • [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    [VIDEO] Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN akan sertai PN

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

    “Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Rusila di sini, malam ini.

    Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama dengan PAS sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

    Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

    Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

    Abdul Hadi berkata rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan PAS dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

    Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    [VIDEO] Shahidan, Ismail diumum tanding tiket PN di Arau dan Maran

    MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN), kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam ini.

    Abdul Hadi turut mengumumkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran di Pahang, juga atas tiket PN.

    Shahidan dan Ismail telah digugurkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.

    Terdahulu, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15, mengumumkan dua bakal calon baharu mewakili PN bagi kerusi Parlimen di negeri itu.

    Mereka adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak yang akan bertanding di Parlimen Kuala Nerus dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

    Ahmad Samsuri turut mengumumkan lima penyandang daripada PAS bakal mempertahankan kawasan masing-masing termasuk Abdul Hadi yang bertanding semula di Parlimen Marang.

    Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal mempertahankan Parlimen Kuala Nerus; Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu); Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun); dan Che Alias Hamid (Kemaman).

    Selain itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Rosol Wahid disahkan mewakili PN bagi Parlimen Hulu Terengganu.

    Sementara itu, selepas diumumkan sebagai bakal calon PN bagi Parlimen Arau, Shahidan dalam ucapannya berkata beliau membuat keputusan untuk mewakili PN kerana menyifatkan Abdul Hadi memahami dirinya dan mereka tetap bersahabat walau berbeza pendapat.

    “Saya idamkan perpaduan ummah. Saya nak PAS dan UMNO di Arau sokong saya. Biar Muafakat Nasional bermula di Arau. Saya akan gempur Arau habis-habisan. Sekali saya masuk gelanggang saya nak menang,” katanya.

    Berikut senarai calon PN bagi PRU15 di Terengganu:

    P033 Besut – Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh  

    P034 Setiu – Shaharizukirnain Abd Kadir 

    P035 Kuala Nerus –  Datuk Dr Alias Razak 

    P036 Kuala Terengganu – Datuk Ahmad Amzad Hashim

    P037 Marang – Tan Sri Abdul Hadi Awang 

    P038 Hulu Terengganu – Datuk Rosol Wahid 

    P039 Dungun –  Wan Hassan Mohd Ramli 

    P040 Kemaman – Che Alias Hamid 

    — BERNAMA

  • Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    Perjuangan akan sentiasa diuji – Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli parti itu bahawa perjuangan mereka akan sentiasa diuji dan menuntut mereka bersikap rasional dan berjiwa besar.

    Berikut kenyataan penuh Tuan Ibrahim yang disiarkan dalam akaun Facebook rasmi beliau hari ini:

    Masa ini kita semua sedang diuji dalam perjuangan. Waktu ribut tengah kuat, ikat tali keledar, duduk di tempat masing-masing, dengar dan ikut arahan.

    Jangan ada yang buka tali keledar kerana merasa selamat dan kuat. Jangan ada yang cuba membantah arahan dan merasa lebih tahu. Jangan tinggal tempat duduk masing-masing kerana merasa kuat untuk melawan gelombang ribut ini.

    Telah banyak kapal yang karam,
    telah ramai yang terhumban,
    telah ramai yang menderita penyesalan,
    telah ramai yang dilaknat Tuhan.

    Berada dalam bahtera besar perjuangan akan sering diuji. Menuntut kesabaran tinggi. Kekuatan rohani, ketabahan jasmani dan aqli. Rasional dalam tindakan, jiwa besar sebagai anggota haraki.

    Tiada kebahagiaan selain merasa aman dan tenteram bilamana ribut berlalu, badai menghilang sedang kita terus berada dalam medan perjuangan untuk bertemu Tuhan sekalian alam.

    Nasihat buat diri dan anggota jamaah.

  • Kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah – Hadi

    Kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah – Hadi

    PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang mengkhianat kepada parti tersebut akan dilaknat oleh Allah.

    Menjawab soalan berhubung bai’ah (perjanjian) yang digunapakai oleh Pas, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata bahawa bai’ah sedia ada tidak seperti zaman dahulu.

    “Bersifat kesetiaan kepada parti, kepada perjuangan, tak boleh khianat

    “Kita punya wadah Islam kita, tak boleh salah laku, tak boleh khianat pada parti, kalau khianat pada parti akan dilaknat oleh Allah… ini adalah bai’ah PAS,” katanya dalam sidang di bilik gerakan utama Perikatan Nasional di Arau, Perlis malam tadi.

    Terdahulu, beliau ditanya jika parti komponen PN – Bersatu perlu mengguna pakai bai’ah seperti yang diamalkan oleh Pas, Hadi menjawab terpulang kepada parti masing-masing kerana kedua-dua parti itu lebih kepada bersifat kerjasama.

    “Terpulang kepada Bersatu… bai’ah ni untuk Pas saja.

    “Dia parti Bersatu ada ‘aku janji’ yang dibuat. Terpulang kepada parti masing-masing, tak terikat. Kita lebih kepada bekerjasama,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Sementara itu, dia turut diminta mengulas kenyataan bekas pemimpin Pas Datuk Khairuddin Aman Razali dua hari lalu yang menyeru supaya ahli Pas memberikan undi mereka kepada BN dan bukannya PN. Pas merupakan sebahagian daripada PN.

    “Dia (Khairuddin) bukan orang Pas lagi. Kita (Pas) tak perlu jawab,” katanya.

    Khairuddin sebelum ini mengumumkan keluar daripada Pas dipercayai susulan isu-isu berkaitan dengan usaha menyatukan UMNO dan Pas semua selepas parti itu menyertai PN.

    Beliau yang adalah bekas setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu berkata, cara untuk menghalang kemenangan PH pada PRU15 hanyalah dengan memberi sokongan kepada BN.

  • Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    USAHA mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis akan menjadi satu daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya Abu Bakar Hamzah.

    “Sebelum ini, pasukan bola sepak negeri Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006, jadi kita ingin kembalikan semula detik nostalgia kegemilangan pasukan Singa Utara kepada rakyat negeri ini setelah sekian lama mengalami kejatuhan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata PN Perlis akan mengumumkan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Nov ini.

    “PN Perlis akan bertanding di semua 15 kerusi DUN iaitu sembilan kerusi bagi calon PAS dan enam kerusi untuk Bersatu,” katanya.

    Beliau berkata bagi peringkat Parlimen, PAS akan bertanding di dua kerusi iaitu Padang Besar dan Arau manakala Bersatu di Kangar.

    Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata PAS akan memperkasakan penggunaan media sosial sebagai ‘senjata’ baharu bagi menarik pengundi khususnya golongan muda pada PRU15 selain mengekalkan kaedah konvensional iaitu ceramah politik.

    Ketua Pemuda PN Negeri Perlis itu berkata PAS juga tidak lagi memberi tumpuan kepada ceramah secara besar-besaran sebaliknya akan menganjurkan kempen dalam bentuk skala kecil bagi memberi tumpuan mengikut bahagian atau kawasan.

    “PN Perlis telah memilih cogan kata ‘Perlis Baharu’ bagi mendekati generasi muda dalam media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan juga Twitter,” katanya kepada pemberita pada majlis sama.

    Asrul Aimran berkata selain media sosial, PN Perlis juga menganjurkan program sukan dan juga mengedar ‘Kad Keluar Mengundi’ sebagai sentuhan pertama mendekati golongan muda di negeri ini. – BERNAMA

  • PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PRU-15: Pas kekalkan lebih 10 penyandang kerusi Parlimen

    PAS akan mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penyandang kerusi Parlimen termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci nama penyandang terbabit.

    “Pada PRU14, PAS memiliki 18 kerusi Parlimen, jadi untuk pilihan raya kali ini kita akan kekalkan lebih 10 penyandang untuk sekali lagi bertanding kerana kita percaya mereka boleh menang di kawasan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi Majlis Ramah Mesra bersama Kelab Media Kelantan di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional optimis untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan rekod pencapaian yang baik di negeri itu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan  pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MB Terengganu beri bayangan tak tanding kerusi Parlimen

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Setakat ini Alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi Parlimen?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

    Spekulasi Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, dikatakan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus adalah susulan penyebaran poster yang memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Parlimen di Terengganu.

    Sementara itu Ahmad Samsuri berkata rundingan akhir agihan kerusi bagi parti komponen dalam PN untuk PRU15 akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini, manakala pengumuman calon-calon PN pula dijangka dibuat pada 30 Okt, kecuali Terengganu pada 3 Nov.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov. – BERNAMA

  • Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    Bersatu sokong MB Pas jika PN tawan Perlis

    BERSATU Perlis akan menyokong pentadbiran yang dipimpin PAS dan calon menteri besarnya sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah.

    Abu Bakar berkata PAS telah lebih lama bertapak di Perlis berbanding Bersatu yang merupakan parti politik baharu di negeri itu dan pastinya PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti.

    “Kita (Bersatu Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon menteri besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.

    Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.

    Abu Bakar berkata beliau tidak melihat perkara itu merugikan Bersatu kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

    “Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

    Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya Bersatu akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.

    Untuk Parlimen, Bersatu hanya akan meletakkan calon di satu kerusi Parlimen iaitu Kangar manakala dua lagi adalah PAS.

    Abu Bakar berkata PN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam masa terdekat.- BERNAMA

  • Gelaran ‘penyamun’ lebih hina daripada ‘pak lebai’

    Gelaran ‘penyamun’ lebih hina daripada ‘pak lebai’

    PAS sama sekali tidak tersinggung digelar “parti pak lebai” kerana merasakan ia bukan gelaran yang hina.

    Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ini kerana Pas dianggap “parti pak lebai” dan “parti kampung” sejak dahulu lagi.

    “Bagi kita, gelaran ‘parti pak lebai’ bukan satu gelaran yang hina.

    “Gelaran sebagai penyamun politik itu lebih hina,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah & Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu malam tadi.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar mengingatkan pengkritik bahawa Pas yang digelar “parti pak lebai” itu akan mengubah politik negara pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, gabungan itu menolak sebarang bentuk rundingan bersama Pas selepas PRU15 kerana menganggap parti berkenaan tidak setia.

    Malah katanya, pemimpin Pas dilihat sering berubah-ubah pendiriannya.

    “Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak. Pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain.

    “Apabila ada situasi politik baharu mereka keluar fatwa baharu, bila untuk dirinya keluar fatwa baharu, bila nak salahkan orang keluar. Guna ayat al-Quran dan hadis yang maknanya tetap sama, tetapi ditafsir berlainan. Cukuplah pak lebai, bertaubatlah cepat,” katanya pada satu acara di Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini lapor Berita Harian.