Tag: Pas Perak

  • Boleh tumbang sendiri, Pas nafi gerakan gulingkan kerajaan Perak

    Boleh tumbang sendiri, Pas nafi gerakan gulingkan kerajaan Perak

    PESURUHJAYA Pas Perak, Razman Zakaria menafikan parti itu ada menggerakkan usaha menumbangkan Kerajaan negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, tidak lama lagi.

    Jelas beliau, pihaknya berpandangan kerajaan negeri gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) Perak boleh tumbang dengan sendiri kerana ia tertubuh atas apa yang disifatkannya sebagai ‘kahwin paksa’.

    Menurutnya, keadaan itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir pihak dalam blok kerajaan negeri sekarang tanpa perlu ada hubung kait dengan mana-mana gerakan mengguling.

    “Kita (Pas) nampak kesan ini sebab sudah pasti dia (kerajaan negeri) tidak boleh puaskan hati semua ADUN mereka. Contoh, tak boleh bagi jawatan EXCO kepada semua memandangkan jawatan-jawatan itu terhad.

    “Kalau itu jadi natijah kepada wakil rakyat atau ADUN mereka (blok kerajaan negeri), maka rasa tidak puas hati mungkin dalam bentuk mengugut pimpinan mereka. Kalau memang benar berlaku, kita tunggulah,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Perak di Lawin, di Lenggong hari ini.

    Mengulas lanjut Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata, atas sebab itu, Pas melihat kerajaan negeri boleh tumbang sebelum tempoh matang.

    “Kita tiada usaha ke arah itu (menumbangkan kerajaan negeri), tapi apa yang kita tahu seperti mana yang dikatakan kahwin paksa, iaitu bila kahwin paksa, boleh bercerai pada bila-bila masa.

    “Perjuangan mereka (PH dan BN) tak sama dan kita nampak tuntutan-tuntutan daripada DAP tidak boleh dipenuhi oleh UMNO-BN,” katanya.

    Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol ditanya dakwaan ada usaha menggulingkan kerajaan Perak dengan desas-desus tiga ADUN dari UMNO serta seorang daripada DAP merancang meletak jawatan, sekali gus menyebabkan PH-BN hilang majoriti dalam DUN dan terpaksa mengadakan semula PRN.

    Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu, kerajaan Perak ditubuhkan dengan gabungan 24 ADUN daripada PH bersama sembilan ADUN BN yang membentuk majoriti 33 kerusi DUN.

    DUN Perak mempunyai 59 kerusi DUN, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah. Perikatan Nasional (PN) yang PAS sebagai parti komponennya menang 26 kerusi DUN pada PRU15 lalu.

  • Tangkap pemimpin pembangkang tindakan politik tidak bertamadun, kata Razman

    Tangkap pemimpin pembangkang tindakan politik tidak bertamadun, kata Razman

    TINDAKAN menangkap pemimpin politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang didakwa ‘direka cipta’ disifatkan Pas Perak sebagai tindakan politik yang tidak bertamadun.

    Dakwa Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, ‘plot drama’ itu dilihat secara jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan kepada parti pembangkang sejak hari pertama memasuki pejabat.

    Razman mendakwa, tindakan berkenaan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

    “Kenyataan media Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih menjurus kepada apa yang disifatkan ‘pembongkaran’ kerja keras kerajaan lalu yang dengan wajah yang hodoh.

    “Angka-angka yang sentiasa berubah dan akhirnya di ‘serahkan’ kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan polis adalah tindakan menekan badan penguatkuasaan agar menerima tuduhan dan mencari serta mencipta apa apa sahaja yang boleh disifatkan sebagai ‘tidak betul’,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol meminta mana-mana pihak untuk tidak menjadikan tindakan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.

    Menurutnya, setiap parti politik yang berdaftar dalam negara ini sewajarnya menampilkan kematangan bersesuaian dengan tempoh kemerdekaan negara yang sudah menjangkau usia 70 tahun.

    Justeru beliau meminta agar kerajaan ketika ini untuk bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.

    Katanya tindakan sebagai pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara.

    “Memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara adalah tugas utama kerajaan. Serahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.