Tag: Pas Kelantan

  • PAS Kelantan hormat keputusan UMNO putus hubungan

    PAS Kelantan hormat keputusan UMNO putus hubungan

    PAS Kelantan menghormati keputusan UMNO negeri itu untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti politik itu berkuat kuasa semalam.

    Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan keputusan itu dilakukan oleh pihak kepimpinan dalaman UMNO sendiri.

    “Kita secara mesra memahami hasrat UMNO untuk memutuskan hubungan politik ini kerana ia (UMNO) tidak boleh terima Bersatu. Tetapi, pendirian kita masih mahu bersama dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

    “Malah, Islam juga turut mementingkan perpaduan jadi kita berhasrat untuk terus bersama UMNO sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan sambutan dua dekad penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS negeri itu.

    Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan Dewan Harian PAS Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam MN.

    Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata menerusi perbincangan bersama UMNO semalam, PAS meminta hubungan ini tidak diputuskan memandangkan keadaan semasa kedua-dua parti adalah baik.

    “Namun, kita tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia telah diputuskan.

    “Kita juga bersedia untuk berjumpa semula dengan UMNO. Malah, kita turut berharap pada masa akan datang tidak ada pertandingan tiga penjuru, hanya dua penjuru demi kepentingan Melayu dan Islam,” katanya. – BERNAMA

  • PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    PKP:Pas Kelantan ceramah ‘online’ kupas isu semasa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PAS Kelantan akan meneruskan program penerangan secara atas talian bagi menjelaskan isu-isu dan perkembangan semasa dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

    Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, walaupun tidak dapat menyampaikan ceramah secara fizikal, kemudahan media sosial akan dimanfaatkan bagi tujuan itu.

    Katanya, sekarang ceramah, konvesyen dan seminar diadakan menggunakan platform Facebook yang diikuti ramai peserta dan penonton.

    “Sesiapa yang ada Facebook semua boleh tengok ceramah tersebut. Alhamdulilah sambutannya amat menggalakkan. Lagipun apa yang kita bincangkan mengikut perkembangan semasa.

    “Program ceramah secara atas talian diadakan setiap dua minggu sekali bagi mengupas isu-isu semasa manakala program lain turut membabitkan kerjasama dengan Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

    Mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, jentera Pas Kelantan sudah lama menyusun gerak kerja.

    Begitu juga katanya, kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus berlangsung.

    “Secara umumnya 80 hingga 90 peratus penyokong Pas sudah boleh menerima UMNO. Ada pun yang tak suka pun hanya ada segelintir sahaja mungkin mereka masih terasa dengan ‘luka’ lama terutama golongan veteran,” ujarnya.