Tag: parti politik

  • PRN: Polis kawal keselamatan ibu pejabat SPR, parti politik

    PRN: Polis kawal keselamatan ibu pejabat SPR, parti politik

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak bagi mengawal keselamatan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, ini termasuk beberapa lokasi di ibu kota menempatkan ibu pejabat parti politik yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

    “Biarpun Kuala Lumpur tidak terlibat dalam PRN ini namun ia akan menjadi tumpuan penyokong parti politik yang bertanding.

    “Kuala Lumpur dijangka menjadi tumpuan parti-parti politik untuk mengadakan perjumpaan selain penyokong parti negeri bersempadanan untuk mengadakan perhimpunan atau perarakan.

    “Keputusan PRN ini akan dibuat Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, oleh itu kawalan keselamatan akan digerakkan bagi mengelakkan sebarang kekacauan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

    Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir sebelum hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan melaksanakan risikan keselamatan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang ancaman.

    Katanya, pengawasan akan dibuat sepanjang tempoh PRN berlangsung dan pengumuman keputusan undian bagi mengelakkan sebarang himpunan atau perarakan dilakukan pihak tertentu.

    “Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dijalankan di kawasan yang dikenal pasti bagi menghentikan apa-apa perancangan perarakan atau berkaitan ancaman keselamatan di Kuala Lumpur,” katanya.

    Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir sebelum hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, ‘Team Cantas’ IPK Kuala Lumpur diletakkan dalam keadaan siap siaga dan terus digerakkan sekiranya terdapat keperluan bagi mematahkan sebarang perancangan menimbulkan kekacauan.

    Beliau menasihatkan semua parti yang bertanding agar sentiasa memastikan keharmonian dan tidak meraikan kemenangan di tempat awam sebaliknya aktiviti tersebut dijalankan di premis tertutup atau premis parti.

    “Tiada kompromi terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang yang dikesan serta tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengingkarinya,” tegasnya, lapor Sinar Harian.

  • Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    Pemimpin jaga kewangan sebuah parti politik akan dipanggil SPRM – Laporan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti dalam usaha menjejaki sejumlah wang tunai yang dikaitkan dengan seorang menteri.

    Sumber dipetik Utusan Malaysia berkata, beberapa saksi baharu yang terdiri daripada pegawai di kementerian, syarikat kontraktor dan agensi di bawah kementerian terbabit turut akan dipanggil bagi mengukuhkan siasatan.

    Katanya, siasatan SPRM memfokuskan pelbagai sudut untuk mengesan dakwaan pemberian wang tunai menerusi orang tengah sebagai jaminan untuk syarikat berkenaan terus mendapat kontrak.

    “Mungkin juga akan ada pemimpin sebuah parti politik yang menjaga kewangan parti yang dikaitkan dengan menteri itu juga akan dipanggil, namun ia bergantung kepada siasatan selepas ini.

    “Setakat ini, difahamkan, keterangan menteri itu juga telah diambil SPRM sekali lagi, selepas beliau hadir ke pejabat SPRM pada Ahad lalu,” katanya.

    Semalam, SPRM dilaporkan terus menjejaki wang tunai jutaan ringgit yang didakwa diserahkan orang tengah kepada menteri berkenaan.

    Ini susulan penggeledahan di pejabat dan kediaman menteri terbabit yang tidak menemui wang itu atau bukti wang tersebut diterima menteri berkenaan.

    Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad lalu, susulan penahanan dua pegawai kanannya yang dipercayai berkaitan isu pengambilan pekerja asing.

    Jumaat lalu, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan ke atas kelulusan kuota pekerja asing.

    Sehari sebelumnya, agensi antirasuah itu menahan seorang pegawai kanan Sivakumar bersama seorang ejen pengambilan pekerja asing.

  • Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    Dakwaan pihak hilang kuasa tiup sentimen kaum tak sepatutnya timbul

    KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menggesa semua parti politik bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum di negara ini dan tidak menuding jari kepada pihak tertentu, termasuk pembangkang jika timbul isu yang menyentuh sentimen kaum dan agama.

    Menurut beliau, semua ahli politik tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti Islam boleh mengundang kemarahan umat, seperti program ziarah gereja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dibatalkan baru-baru ini.

    Sehubungan itu katanya, tidak seharusnya timbul dakwaan ada pihak yang hilang kuasa menggunakan program itu untuk meniupkan sentimen kaum dan agama, malah orang miskin didakwa digunakan untuk membuat kekacauan, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

    “Pihak yang membuat laporan polis adalah NGO dan mereka antara yang lantang bersuara dalam isu ini. Parti politik tidak terbabit di luar dan hanya bercakap mengenainya di Parlimen.

    “Bukan saja NGO, malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengeluarkan kenyataan membantah program itu.

    “Jadi, kenyataan Perdana Menteri bahawa ada pihak yang hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman, seolah-olah mahu merujuk kepada pembangkang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri. Beliau sepatutnya mencari jalan meredakan keadaan, bukan lebih mengeruhkan suasana,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri menegaskan, ada usaha orang kehilangan kuasa menggunakan isu program ziarah rumah ibadah untuk meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

    Beliau berkata, biarpun ia masih terkawal ketika ini, jika tindakan itu melampau sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak.

    Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dijadualkan hari ini di sebuah gereja di Klang, menimbulkan kontroversi dan dibatalkan pihak penganjur, semalam.

    Program itu adalah inisiatif diterajui Impact Malaysia, NGO yang bernaung di bawah KBS.

    Jumaat lalu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya.

    Mengulas program berkenaan, Razali berkata, prosedur operasi program (SOP) bagi program seumpama itu perlu diperketat.

    “Kita boleh mengunjungi gereja dan menganjurkan program dengan yang bukan Islam tetapi SOP perlu ketat, tidak boleh lebih kurang.

    “Jika program dibuat secara terbuka seperti mempromosi agama lain, dengan SOP yang tidak ketat, ia dibimbangi boleh menjejaskan akidah anak muda Islam,” katanya.

  • Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    Agong tolak gaji sejak Covid-19 melanda – PM

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah lebih awal tidak mengambil gaji, iaitu sejak COVID-19 melanda negara kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak COVID-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak COVID-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini  hari ini.

    Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

    Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov.

    Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing sebanyak 20 peratus setiap bulan atas atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

    Sementara itu, Anwar menyatakan keyakinan pemimpin parti politik Kerajaan Perpaduan akan menyokong usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Parlimen 19 Dis ini.

    “Ketua parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain telah beri komitmen.

    “Insya-Allah, kita dapat teruskan dengan baik…minta doakan sebaiknya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat ketika usul undi percaya itu dibentangkan pada persidangan Parlimen itu, Isnin depan.

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri. – BERNAMA

  • Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    Ceramah politik kecoh: Polis Johor terima 5 laporan

    POLIS Johor telah menerima lima laporan polis setakat hari ini berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran parti MUDA di Parit Jawa, Muar, Ahad lalu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

    “Kita akan maklum nanti (perkembangan). Buat masa ini, polis akan jalankan siasatan,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada Bernama, hari ini. 

    Terdahulu, ceramah yang membariskan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA itu diganggu oleh sekumpulan anak muda menaiki motosikal yang didakwa cuba menimbulkan provokasi.

    Difahamkan beberapa parti politik telah membuat laporan polis berhubung insiden kekecohan tersebut. – BERNAMA

  • Hujung minggu yang padat dengan agenda parti politik

    Hujung minggu yang padat dengan agenda parti politik

    SEMASA tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terus jadi tajuk utama perbualan dalam kalangan ramai pemerhati politik, parti-parti politik dan gabungannya pula dilihat berlumba-lumba mengadakan konvensyen dan perhimpunan, sekali gus membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

    Esok sahaja, ada lima pertemuan politik melibatkan pelbagai parti dan gabungan masing-masing iaitu UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Warisan (Warisan), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dan Perikatan Nasional (PN).

    Di ibu negara, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan Taklimat Khas Presiden bersama ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bagi membincangkan kesiapsiagaan UMNO menghadapi pilhan raya, selain menyentuh isu semasa melibatkan parti.

    Dua hari lepas Biro Politik UMNO sudah pun mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti, difahamkan bagi membincangkan perkembangan semasa, termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    PN pula buat julung kalinya akan mengadakan Konvensyen PN 2022 bagi menetapkan hala tuju dalam menghadapi PRU15 serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan rakyat pasca COVID-19, di samping majlis sambutan ulang tahun keduanya.

    Konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu akan dihadiri 1,800 perwakilan daripada semua parti komponen PN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan sebelum ini berkata konvensyen itu akan menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan dan mengukuhkan kerjasama parti sekutu PN secara keseluruhannya.

    PKR, parti utama dalam Pakatan Harapan pula akan menganjurkan Konvensyen Pilihan Raya 2022 sebagai persediaan untuk menghadapi  PRU15 di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Sukan Selangor, Shah Alam. 

    Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 G.Manivanan dalam kenyataan berkata kovensyen itu melibatkan semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, Angkatan Muda Keadilan, Wanita, Srikandi, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, aktivis parti, akar umbi dan sukarelawan parti. 

    Konvensyen bermula 2 petang itu terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen pertama suara akar umbi dan segmen kedua, suara pimpinan terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim serta amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli.

    Sementara itu dianggarkan 2,000 pimpinan Berjasa, yang baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan beberapa parti lain di bawah gabungan Gerakan Tanah Air (GTA), akan menyertai Himpunan Nasional 2022 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Bank Rakyat, di sini.

    Presiden Parti Zamani Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan himpunan itu akan mengetengahkan aspirasi perjuangan serta tawaran parti Berjasa dalam rangka mengangkat agenda memperkasakan negara.

    Pengerusi GTA merangkap pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucapan di majlis itu.

    Di Sabah, Parti Warisan (Warisan) dijadual mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan parti di Dewan Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA), Penampang bermula 9.15 pagi esok.

    Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mengekalkan jawatan setelah menang tanpa bertanding, dijadual merasmikan mesyuarat itu dan menyampaikan ucapan dasar parti.

    Hanya 20 jawatan Ahli Majlis Tertinggi Parti akan dipertandingkan dalam pemilihan kali ini susulan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti disahkan dimenangi tanpa bertanding. Sayap parti iaitu Wira, Wirawati dan Wanita mengadakan Persidangan Agung Tahunan 2021 dan pemilihan masing-masing, hari ini.

    Seramai 5,000 perwakilan dan pemerhati daripada 25 bahagian parti itu di Sabah, satu bahagian di Labuan dan beberapa Jawatankuasa Penaja dari Semenanjung dijadual menghadiri perhimpunan itu.- BERNAMA