Tag: parti kerajaan

  • Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    Lantikan politik lemahkan peluang parti kerajaan menang PRN

    PELUANG parti-parti kerajaan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dilihat lemah berikutan isu lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    Menurut penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan hilang kelayakan moral untuk mendakwa mereka berlainan daripada kerajaan sebelumnya.

    Beliau berkata, dengan mengikuti amalan lapuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), pembatalan pelantikan politik sebelum ini akan dipandang sinis sebagai semata-mata untuk merampas imbuhan daripada yang kalah, bukannya untuk menjaga kepentingan awam.

    “Amalan sebegini sudah berlaku di zaman BN dan menjadi paling teruk semasa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hampir 90 peratus ahli Parlimen kerajaan yang bukan menteri diberikan jawatan lumayan.

    “Jadi, apabila amalan ini diteruskan, pandangan sinis terhadap kerajaan baharu meningkat, maka pengundi medan tengah yang pada asalnya mungkin cendorong menyokong Kerajaan Perpaduan mungkin malas mengundi.

    “Ia seterusnya melemahkan peluang kemenangan parti kerajaan dalam PRN akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, pelantikan ahli politik untuk mengisi jawatan tinggi di badan berkanun dan GLC juga akan menimbulkan dua masalah utama.

    “Pertama, kalau ahli-ahli politik ini tidak berkeupayaan untuk memegang tanggungjawab, maka pelantikan ini bermaksud kepentingan awam dikorbankan untuk menyaji orang parti pemerintah. Ini kerana badan-badan berkanun dan GLC dinafikan peluang untuk mendapat bakat terbaik.

    “Kalau yang dilantik ialah wakil rakyat, sekalipun mereka berkeupayaan akan terjadi percanggahan kepentingan kerana mereka yang seharusnya menyelia pantau di Dewan Rakyat kini duduk dalam pihak yang patut diselia pantau,” jelasnya.

    Kerajaan dikritik hebat susulan beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Antara yang dilantik ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sementara Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Pengerusi Felcra.

    Selain itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi cabang pelaburan milik Kementerian Kewangan iaitu MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

    Terbaharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Risda.

  • UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tak pelawa rakan parti kerajaan ke PAU 2022

    UMNO tidak mempelawa pemimpin parti lain termasuk yang menganggotai kerajaan perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PAU 2022 hanya membabitkan ahli UMNO, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan “Friends of BN”.

    Katanya, ia untuk menyelesaikan isu dalaman parti serta gabungan itu.

    “Bukan sahaja parti lain, malah duta asing juga kita tak jemput, tidak seperti sebelum ini. Setakat ini, itulah keputusannya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Ahmad berkata, keputusan tidak menjemput parti lain dan duta asing itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini.

    Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno mungkin menghantar jemputan kepada setiausaha agung setiap parti gabungan dalam kerajaan perpaduan untuk menghadiri majlis perasmian PAU 2022.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau tidak menerima jemputan untuk menghadiri PAU 2022 dari 11 hingga 14 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.