Tag: parodi

  • Peniaga mi parodi aksi Salt Bae ditahan kerana aktiviti antinegara

    Peniaga mi parodi aksi Salt Bae ditahan kerana aktiviti antinegara

    VIETNAM mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengkritik kerajaan termasuk seorang penjual mi dari bandar Danang yang ditahan berhubung video tular dianggap menyindir pegawai tertinggi kerajaan.

    Tindakan Bui Tuan Lam, 38, membuat parodi aksi chef selebriti Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, membawa padah apabila dia ditangkap kerana propaganda antinegara.

    Menurut kenyataan polis, penahanan Tuan Lam Rabu lalu kerana dia memuat naik kandungan dalam talian yang mengganggu garis panduan dan dasar parti pemerintah.

    “Tuan Lam juga seorang ahli pertubuhan kemasyarakatan awam yang dianggap kumpulan antikerajaan,” kata polis mendakwa kerap kali memberi amaran kepada peniaga itu kerana menghina pemimpin dan mencemarkan reputasi mereka.

    Dalam keterangannya, Tuan Lam menafikan tindakannya menyindir menteri. Cubaan menghubungi peniaga berkenaan Khamis lalu juga gagal.

    Tahun lalu, dia dipanggil memberi keterangan polis susulan parodi Salt Bae yang dilihat sindiran kepada menteri kerajaan yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).

    Harga menu itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak berikutan penduduk di Hanoi kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.

    Selain itu, pengguna media sosial juga mempertikaikan harga stik terbabit yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).

    Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah terbabit di sebuah restoran di London.

    Isteri Tuan Lam mengesahkan suaminya diberkas pihak berkuasa minggu lalu, malah pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.

    Sementara itu, sebuah badan pemantau Human Right Watch berpangkalan di New York menggesa polis membebaskan Tuan Lam segera dan berhenti mengambil tindakan terhadap orang ramai yang menzahirkan pandangan mereka.

  • TMJ cari penyanyi lagu parodi, Azman Naim

    TMJ cari penyanyi lagu parodi, Azman Naim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penyanyi lagu parodi, Mohd Nur Azman Naim, 36, yang kerap menyanyi lagu-lagu Melayu di media sosial dengan lirik yang diubah mengikut isu semasa, dicari oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim.

    Menerusi satu perkongsian TMJ di Instagramnya, baginda memaklumkan yang Sultan Johor menitahkan baginda untuk mencari pemilik akaun tersebut memandangkan parodi lagu yang dibuat mendapat perhatian KDYMM Sultan Johor.

    Namun, penyanyi tersebut dicari bukan atas sebab yang tidak elok, susulan sebuah video nyanyian semula My Way dendangan Frank Sinatra yang dimuatnaik individu terbabit dalam Instagram.

    TMJ turut memuji perkongsian Azman Naim di Instagram dan memuat naik kembali salah satu video di Instagram baginda dengan kapsyen ‘First Class’.

    Menyedari TMJ sedang mencarinya, Azman Naim turut memberikan maklum balas dengan menulis ‘Menjunjung Kasih Tuanku’ di Facebooknya.