Tag: Parlimen Masjid Tanah

  • Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini, mengisytiharkan pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sah.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis, membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid, bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (responden).

    Dalam keputusannya yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hakim berkata, mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut seksyen 38 akta sama.

    Anselm berkata, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah, termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

    Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.

  • Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Lapor Astro Awani, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.

    Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

    Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

    Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

    Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).