Tag: Parlimen bubar

  • Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    Warganet kecewa PRU-15 musim tengkujuh, dakwa bebankan rakyat

    PEMBUBARAN Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengundang kekecewaan rakyat yang berang dengan tempoh pelaksanaannya yang berlaku semasa musim tengkujuh.

    Tinjauan Warta Rakyat dalam ruangan komen berkaitan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, kebanyakan warganet menyifatkan pembubaran Parlimen ketika ini bukan setakat memenuhi impian pemimpin politik gila kuasa malah bakal membebankan rakyat.

    Seorang pengguna Facebook, Arechik Imma berkata, demi kuasa, kerajaan sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar mengalami bencana banjir.

    “Maka saya juga bubar UMNO dan BN (Barisan Nasional) dari kamus hidup saya.Parti yang sangat tak berhati perut.

    “Demi kuasa sanggup membebankan rakyat yang berkemungkinan besar menghadapi bencana banjir,” katanya.

    Bagi Saihatul Dewiah Kamsiran, semasa banjir adalah masa bagi penduduk terjejas menyelamatkan harta benda mereka.

    Katanya, ini sekali gus menyukarkan mereka keluar mengundi.

    “Maaf lah… kalau banjir memang tak pergi mengundi lah.Mangsa banjir sibuk nak selamatkan harta benda,” katanya.

    Senada dengan pendapat Saihatul Dewiah, Aziz Shamsudin menegaskan ramai pengundi tidak dapat keluar mengundi jika PRU-15 dilaksanakan pada musim tengkujuh.

    Malah dakwanya, pada tempoh itu dibimbangi berlakunya perbuatan khianat termasuk gangguan bekalan elektrik yang memungkinkan kewujudan pengundi hantu.

    “Ada tempat terpadam lampu dewan, kira semula,tong tidak bertambah,tapi menang, rupanya dah siap undi hantu dalam karung sampah,masa lampu terpadam,masa yang sama karung sampah dibawa,” dakwanya.

    Sementara itu, pengguna Facebook Sczu Yed mendakwa PRU-15 semasa musim tengkujuh menyusahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru sahaja memulakan pengajian minggu lalu.

    “Tak kan ibu-bapa nak suruh diorang (anak mereka) balik mengundi.Siapa nak tanggung kos,” tegasnya.

  • Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    Parlimen bubar, kerajaan sementara tadbir negara

    NEGARA kini ditadbir oleh kerajaan sementara, dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan hari ini. 

    Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

    Beliau berkata tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

    “Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama di sini. 

    Teka teki mengenai bila Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU15 terjawab selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini..

    Muhammad Fathi berkata antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif, dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

    Berikutan itu, beliau berkata Perdana Menteri dan ahli kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

    Selain itu, Muhammad Fathi berkata kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik semasa tempoh berkempen dalam PRU.

    Bagi Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

    Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

    Ditanya mengenai tempoh mandat kerajaan sementara, Nik Ahmad Kamal berkata terdapat pandangan mengatakan bahawa kerajaan sementara masih berfungsi selagi belum ada kerajaan baharu dilantik manakala pendapat lain mengatakan bahawa kerajaan sementara ini tamat apabila sampai hari mengundi.

    “Saya lebih cenderung kepada pendapat pertama kerana jentera kerajaan seharusnya terus berfungsi semasa hari pilihan raya, dan selepas, sehinggalah kerajaan baharu dilantik dengan Perdana Menteri yang baharu mengangkat sumpah,” katanya.- BERNAMA

    PRU15, Ismail Sabri, Perdana Menteri, kerajaan sementara, konvensyen perlembangaan

  • Parlimen dijangka bubar sebelum Bajet 2023 – Laporan

    Parlimen dijangka bubar sebelum Bajet 2023 – Laporan

    DATUK Seri Ismail Sabri dikatakan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

    Berita Harian dalam laporannya yang memetik sumber berkata, Perdana Menteri yang dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis ini untuk memberi taklimat mengenai bajet dikatakan akan turut memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen untuk memberi laluan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Sumber berkata, langkah itu bagi membolehkan PRU-15 lebih awal bagi mengelak ia diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir yang dijangka bermula pertengahan November ini.

    Menurut sumber itu, jika diperkenankan, pembentangan bajet tidak akan dibentangkan Jumaat ini seperti dijadualkan dalam takwim Dewan Rakyat.

    Katanya, langkah PRU-15 diadakan seawal mungkin kerana Perdana Menteri dan UMNO menerima tekanan daripada hampir semua parti bukan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan dan pembangkang supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini atas alasan banjir yang akan membebankan rakyat serta risiko keselamatan.

    Malah, satu sumber lagi menyatakan PRU-15 mungkin diadakan pada akhir bulan ini atau awal November. Difahamkan, Top 5 UMNO sudah menetapkan tarikh untuk PRU-15 dan hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

    Sementara itu, seorang Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) petang tadi, mengesahkan Ismail Sabri yang akan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Khamis ini turut akan memohon perkenan baginda membubarkan Parlimen.

    Katanya, pada sesi taklimat itu , semua 191 ketua bahagian dimaklumkan PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya minggu pertama November. Susulan itu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual 23 hingga 26 November ini ditangguhkan sehingga ke tarikh ditentukan kemudian.

    “Pada sesi taklimat petang tadi, UMNO masih mengekalkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU-15 dan calon Perdana Menteri jika parti itu menang,” katanya.

    Desas-desus mengenai pembubaran Parlimen itu diperkuatkan dengan kenyataan Ahmad Zahid petang tadi yang antara lain meminta PAS memutuskan secepat mungkin sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU-15.

    “Seawal mungkin, jika tidak kami (BN) akan bergerak solo,” katanya selepas perjumpaan khas bersama pemimpin UMNO peringkat bahagian di WTCKL, hari ini.

    Pada sidang media sama, Ahmad Zahid mahu semua perhubungan negeri mengemukakan nama calon kepada lima kepemimpinan tertinggi atau ‘Top 5’ bagi penentuan calon UMNO yang memenuhi kriteria ‘WALI’ bermula Isnin depan.

    Katanya, tiga kriteria calon ditetapkan iaitu kebolehmenangan (winnable), kebolehterimaan (acceptable) dan disenangi (likeable) pengundi.

    Usaha untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen dipercayai ada kaitan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi sebahagian kerajaan sekarang yang tidak mahu PRU-15 tahun ini.

    Dalam satu kenyataan petang tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tegas dengan pendirian supaya PRU-15 tidak diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

    Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berasingan turut menyatakan pandangan sama bahawa pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tindakan itu tidak perlu disegerakan kerajaan ketika ini.

    Katanya, pandangan itu selepas mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.

    Menurut laporan media, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut meramalkan Parlimen akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2023.