Tag: Parlimen Baram

  • GPS menang di Parlimen Baram, sapu 23 kerusi keseluruhan

    GPS menang di Parlimen Baram, sapu 23 kerusi keseluruhan

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) semakin mengukuhkan kedudukannya di Dewan Rakyat setelah berjaya memperoleh kerusi Parlimen yang ke-23 bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kemenangan Datuk Anyi Ngau di Parlimen Baram hari ini. 

    Menerusi keputusan terkini di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anyi yang juga penyandang kerusi berkenaan memenangi pertembungan tiga penjuru bagi kawasan itu dengan majoriti 7,339 undi selepas memperolehi 18,399 undi. 

    Beliau menewaskan Roland Engan daripada Pakatan Harapan dan calon Bebas Wilfredentika yang masing-masing hanya mendapat 11,060 dan 324 undi. 

    Terdahulu, SPR membuka 12 pusat mengundi di Parlimen Baram untuk proses pengundian PRU15 berlangsung, susulan beberapa pusat mengundi di situ digantung ekoran keadaan cuaca yang tidak baik pada hari pengundian (19 Nov).

    Dalam pilihan raya kali ini, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bertanding di kesemua 31 Parlimen di Sarawak. – BERNAMA

    GPS, SPR, Baram, PRU15

  • PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    PRU-15: SPR gantung pengundian 11 saluran di Parlimen Baram

    Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggantung pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di 11 Pusat Mengundi di Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.220 Baram.

    Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ini kerana keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak sampai ke tempat bertugas sama ada melalui udara, darat dan air.

    Menurutnya, senarai pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) terlibat ialah: Sekolah Kebangsaan (SK) Long Naah (saluran 1 dan 2); SK Long Luteng (saluran 2); RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg Lepo Gah (saluran 1 dan 2) dam Sekolah Kebangsaan Long Sait (saluran 2).

    Selain itu katanya, penangguhan juga melibatkan SK Long Tungan (saluran 1 dan 2); SK Long Moh (saluran 1 dan 2); SK Long Mekabar (saluran 1); SK LOng Jekitan (saluran 1 dan 2); SK Long Lamei (saluran 2); SK Lio Mato (saluran 1 dan 2) dan SK Long Banga (saluran 1 dan 2).

    Beliau berkata, tarikh baharu pengundian bagi pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) akan dimaklumkan kelak.

    Tambah beliau, ini setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.

    Pada PRU-15, kerusi Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Anyi Ngau (GPS); Roland Engan (PH) dan Wilfred Entika (Bebas).