Tag: paralimpik

  • Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Tak wajar hukum jurulatih Ziyad, kata Ahmad Faizal

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN jurulatih, Faizol Harun mengaku bertanggungjawab terhadap semua yang berlaku ke atas bintang paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Tokyo baru-baru ini, tidak boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana pihak menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Malah, menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sebarang tindakan yang diambil terhadap pihak bertanggungjawab perlulah bersifat mendatangkan keuntungan dan tidak hanya berbentuk hukuman yang semata-mata merugikan negara.

    “Kalau bercakap tentang tanggungjawab, semua pihak perlu ambil tanggungjawab. Bukan hanya jurulatih Ziyad malah saya sendiri serta Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu ambil tanggungjawab dalam isu ini.

    “Tetapi apabila bercakap tentang tindakan yang hendak diambil, kita bukan hanya tumpukan kepada hukuman sebaliknya apa usaha untuk pastikan kejadian ini tidak berlaku lagi serta tindakan yang boleh diambil bagi menambah baik keadaan. Itu yang paling penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Majlis Belia Daerah Yan di Yan, Kedah, hari ini.

    Terdahulu, Ahmad Faizal mengunjungi serta menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa tragedi kepala air di Yan yang berlaku pada 18 Ogos lalu.

    Tambahnya, beliau amat memahami keresahan rakyat berhubung kejadian itu malah dirinya juga turut merasa kecewa dengan apa yang berlaku.

    “Namun jika benar jurulatih tersebut bertanggungjawab sekali pun, adakah wajar kita menghukum agar beliau tidak boleh melatih lagi? Dalam keadaan beliau sudah berjaya mencungkil bakat ke peringkat tertinggi dunia, saya fikir amat merugikan sekiranya jurulatih itu dihukum hanya semata-mata kerana satu kesilapan,” katanya.

    Ketika bercakap kepada media sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jepun semalam, Faizol menzahirkan harapannya agar semua pihak tidak menuding jari antara satu sama lain terhadap apa yang berlaku.

    Sebaliknya kata Faizol, beliau bertanggungjawab kepada semua yang berlaku hingga menyebabkan Muhammad Ziyad terlepas pingat emas walaupun telah menampilkan aksi bertenaga dengan turut mencatatkan lontaran mengatasi rekod dunia.

    Beliau malah tidak menganggap isu itu sebagai sabotaj dari pihak lawan sebaliknya terjadi kerana sedikit kesilapan teknikal.

  • Teruk diserang tentera bawang, Koval minta maaf

    Teruk diserang tentera bawang, Koval minta maaf

    SEPERTI yang telah diduga, akaun media sosial milik atlet lontar peluru paralimpik Ukraine, Maksym Koval menjadi sasaran serangan tentera bawang Malaysia.

    Mereka tidak berpuas hati apabila kemenangan atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam dibatalkan.

    Protes yang dibuat oleh pasukan Ukraine berhubung kelewatan Ziyad memasuki bilik pemeriksaan telah menyebabkan beliau tidak menerima pingat emas dan rekod dunia yang dicatatkan tidak diiktiraf.

    Netizen dari Malaysia seterusnya membanjiri akaun media sosial milik Koval dengan pelbagai komen berunsur kecaman.

    Malah, seperti yang dijelaskan oleh atlet paralimpik Ukraine itu, akaun Instagram miliknya yang pertama telah digodam oleh netizen dari Malaysia.

    Beliau juga meminta maaf atas apa yang berlaku.

    “Akaun pertama saya telah digodam oleh orang Malaysia selepas Malaysia menyerang serta spam komen pada semua hantaran saya di Instagram. Maaf,” katanya dalam akaun Instagram lain yang baru diwujudkan.

    Koval
    Tangkap layar IG Maksym Koval
    Koval
    Tangkap layar IG Maksym Koval

    Walau bagaimanapun, tidak semua rakyat Malaysia bersetuju dengan tindakan tentera bawang Malaysia menyerang akaun media sosial Koval.

    Mereka kesal dengan perbuatan yang dianggap keterlaluan itu serta tidak mengambil kira bahawa Koval juga seorang kurang upaya.

    Malah, Ziyad sendiri telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi apabila menerima keputusan penganjur temasya sukan tersebut dengan hati yang terbuka.

    Keputusan untuk membatalkan pingat emas yang dimenangi jaguh lontar peluru para negara Ziyad kekal selepas rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik beliau ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi tadi.

    Keputusan itu bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.

    Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.

    Namun penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendakwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di bilik pemeriksaan.

    Dalam pada itu, Ziyad, 31, dalam reaksi pertamanya berikutan keputusan berkenaan memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

    “Saya minta maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya hari ini.

    Selain itu, Team Malaysia melalui akaun Twitter turut berkata, walaupun keputusan itu bukan yang diinginkan, Muhammad Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia.

  • Paralimpik: Sinar pingat acara berbasikal masih belum malap

    Paralimpik: Sinar pingat acara berbasikal masih belum malap

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELUANG untuk Malaysia meraih satu pingat pada Temasya Paralimpik Tokyo 2021 masih bersinar.

    Pingat tersebut dijangka disumbangkan oleh pelumba basikal negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam acara perlumbaan lebuh raya Khamis ini.

    Sebelum ini, Mohamad Yusof menampilkan kayuhan memberangsangkan dalam acara ujian masa lelaki C1 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa 26 minit 46.5 saat (s) daripada 11 pelumba pada aksi final.
     
    Pelumba Ireland Katie-George Dunlevy-Eve McCrystal muncul juara dengan merekodkan masa  47:32.07s, diikuti dengan perak oleh gandingan Great Britain Lora Fachie-Corrine Hall melakukan catatan 48:32.06s dan gandingan Sweden, Louise Jannering-Anna Svaerdstroem pula gangsa dengan 49:36.06s.

    Mikhail Astashov dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia merangkul emas selepas mencatat masa 24:53.37s diikuti Aaron Keith dari Amerika Syarikat dengan catatan 24:55.40s manakala atlet Jerman, Michael Teuber terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila merekodkan masa 24:58.67s.

    Sementara itu, Muhammad Hafiz Jamali dan Zuhairie Ahmad Tarmizi terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam penampilan pertama mereka di pentas Paralimpik tanpa membawa pulang sebarang pingat.

    Muhammad Hafiz yang menyertai acara ujian masa lelaki C5 (kecacatan fizikal) sekadar mengakhiri perlumbaan di tangga ke-12 manakala Zuhairie tidak berjaya menamatkan perlumbaan.

    Emas milik pelumba Belanda, Daniel Abraham Gebru yang merekod masa 42:46.45s, perak pula diraih Yegor Dementyev dari Ukraine dengan catatan 43:19.11s dan gangsa diraih Alistair Donohoe dari Australia yang melakukan catatan  43:36.80s

  • Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    Paralimpik Tokyo: PM harap Negaraku berkumandang

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melihat lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar sebanyak mungkin pada Sukan Paralimpik Tokyo.

    Ismail Sabri berkata beliau percaya dengan semangat tinggi serta latihan dijalankan selama ini, tiada sebab mengapa barisan atlet luar biasa ini tidak boleh berjaya pada temasya sukan berprestiji di Jepun itu.

    “Harapan negara kepada anda semua. Di Rio 2016 (Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil), kita berjaya raih tiga emas dan satu gangsa, maknanya tiga kali lagu Negaraku dimainkan di Rio. 

    “Kalau boleh saya nak supaya banyak kali bendera Malaysia dikibarkan dan lagu Negaraku berkumandang di Tokyo,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengukuhan Semangat Atlet Paralimpik Malaysia yang diadakan secara maya hari ini.

    Perdana menteri berkata barisan atlet paralimpik yang berjuang di Tokyo merupakan kebanggaan negara dan berharap nama Malaysia dapat dijulang di Tokyo.

    Ismail Sabri turut berkongsi kisah di sebalik penubuhan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini yang merupakan idea yang dicadangkan sewaktu zamannya menjadi Menteri Belia dan Sukan.

    Katanya keluhan atlet paralimpik mengenai kekurangan fasiliti untuk mereka ketika itu sehingga terpaksa berkongsi kemudahan sukan bersama atlet normal diberi perhatian pihaknya untuk mewujudkan pusat berkenaan.

    Beliau yang berpeluang melawat kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Beijing 2008 di China mengambil kesempatan untuk melihat sendiri keberkesanan pusat sukan paralimpik di sana untuk mendapat ilham mewujudkan fasiliti serupa di tanah air.

    “Saya lawat  pusat di Beijing itu… memang bagus, jadi kita cadang buka terus di negara kita,” katanya.

    Pusat bernilai RM50 juta itu yang beroperasi sejak 2013 dibina pada 2011 di kawasan seluas kira-kira 1.84 hektar untuk membolehkan atlet paralimpik berlatih serta membuat persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan tempatan dan antarabangsa.

    Ismail Sabri juga berharap agar semua atlet menjaga kesihatan diri, kekal berdisiplin serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Jepun bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.

    Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan membawa cabaran negara dalam sembilan jenis sukan yang disertai kontinjen Malaysia.

    Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menerima ucapan tahniah daripada kem paralimpik negara diketuai Ketua Kontinjen ke Sukan Paralimpik Tokyo Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin serta barisan atlet dan jurulatih atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan negara.

    Ahli Parlimen Bera itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu.- BERNAMA