Tag: pantai

  • Polis nafi dakwaan kesan bengkak di badan tahanan lokap IPD Kuala Langat

    Polis nafi dakwaan kesan bengkak di badan tahanan lokap IPD Kuala Langat

    POLIS Selangor menafikan terdapat kesan bengkak pada badan seorang tahanan yang meninggal dunia di lokap ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dakwaan yang dibuat oleh isteri tahanan terbabit adalah tidak benar dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

    “(Dakwaan) itu tidak betul sebab kita dah tengok semua itu dan apa pun pakar akan buat laporannya.

    “Polis juga telah buka kertas siasatan. Apabila berlaku sesuatu perkara, siasatan terus dijalankan seperti mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal telah jelaskan. Itulah tumpuan siasatan kita,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini hari ini.

    Menurut beliau, anggota lokap yang bertugas semasa kejadian tahanan terbabit meninggal dunia dalam lokap juga telah dipanggil untuk siasatan lanjut.

    Terdahulu, media melaporkan pemandu lori, T Vinaiyagar, 49, telah ditahan di Banting pada 8 Sept lepas dan isterinya, N Navaneetham, 35, mendakwa tidak menerima sebarang maklumat mengenai penahanan suaminya itu.

    Hasil bedah siasat ke atas lelaki itu menyatakan punca kematiannya akibat ulser dalam perut, bagaimanapun, Navaneetham mendakwa melihat kesan bengkak pada badan suaminya.

    Sementara itu, Arjunaidi berkata polis mengeluarkan 423 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 10 Sept lepas hingga semalam.

    Beliau berkata kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan sosial dan sebagainya.

    Beliau berkata kira-kira 3,000 anggota dari 700 pasukan pemantauan telah ditugaskan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan sejak Lembah Klang beralih ke Fasa Dua PPN yang antaranya kebenaran rentas daerah membolehkan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

    Mengenai tinjauan hari ini, Arjunaidi berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP orang ramai di Pantai Bagan Lalang yang menjadi satu daripada tempat tumpuan pengunjung.- BERNAMA

  • Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 1,100 murai kampung

    Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 1,100 murai kampung

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mematahkan cubaan menyeludup 1,100 ekor burung murai kampung bernilai kira-kira RM44,000 ke negara jiran di perairan pantai Alai, di sini malam tadi.

    Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata pihaknya menerima aduan awam sebelum menggerakkan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi ke lokasi berkenaan kira-kira 9.15 malam tadi.

    “Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, bot yang disyaki penyeludup itu telah memecut laju ke pantai dan berjaya menghilangkan diri tanpa dikesan disebabkan kawasan gelap, cetek dan bersemak.

    “Maritim Malaysia bagaimanapun menemukan kira-kira 55 raga berisi kira-kira 1,100 ekor burung murai kampung yang ditinggalkan di kawasan berbatu di pantai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Haris Fadzillah berkata Maritim Malaysia mengesyaki kegiatan tersebut didalangi sindiket warga tempatan berikutan penyeludup yang sedang menjalankan pemunggahan bertindak melarikan diri dengan membiarkan raga-raga berisi burung di tepi pantai selepas menyedari kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

    Beliau berkata aktiviti penyeludupan burung murai kampung atau nama saintifiknya Copsychus Saularis itu, dipercayai untuk dipasarkan di negara jiran berikutan permintaaan dan harga yang tinggi.

    Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan  Maritim Malaysia akan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras serta menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan.

    “Maritim Malaysia turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat aktiviti jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 atau 999 yang beroperasi  24 jam,” katanya.- BERNAMA