Tag: Panglima ATm

  • Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    Banjir: Sekarang bukan masa tuding jari-Panglima ATM

    PANGLIMA Angkatan Tentera, Affendi Buang mengingatkan mana-mana pihak sekrang bukan masa untuk menuding jari sehingga mengganggu dan menjejaskan usaha menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.

    Angkatan Tentera Malaysia (ATM) katanya, mengutamakan keselamatan rakyat khasnya mangsa banjir untuk memastikan sebarang usaha membabitkan pengurusan bencana dikoordinasi secara tersusun dan berkesan.

    “Apa yang penting di sini adalah kerjasama padu antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan keselamatan mangsa sebagai keutamaan yang perlu didahulukan.

    “Sebarang usaha yang dilaksanakan adalah berdasarkan konsep ‘Whole Of Government Approach’ bagi memastikan setiap agensi terlibat yang dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapat digembleng secara bersama dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Affendi berkata, setiap agensi perlu bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk menambah baik operasi dan kekurangan dalam aspek pengurusan banjir.

    “ATM sentiasa komited melaksanakan tugas sekundernya, terutama membantu pihak berkuasa awam yang dikoordinasikan NADMA dalam menyelamatkan mangsa terkesan akibat bencana banjir, terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.”

    Pada masa sama, katanya, mangsa banjir yang terlibat juga diharapkan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan keselamatan demi kelancaran operasi, kesejahteraan dan keselamatan semua.

    Terdahulu, sumber berkata, pasukan tentera membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan NADMA, dengan mula bergerak ke kawasan terjejas selepas solat Jumaat.

  • ATM perlu kuasai 4M, siap-siaga hadapi ancaman keselamatan global

    ATM perlu kuasai 4M, siap-siaga hadapi ancaman keselamatan global

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    STRATEGI peperangan hibrid dengan menguasai dan mendalami aspek 4M iaitu merangkumi Man, Machine, Method dan Mates perlu dikuasai.

    Saranan itu disuarakan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga dengan menguasai 4M tersebut dalam menghadapi situasi peningkatan ancaman keselamatan serantau dan global.

    Menurut beliau, empat aspek itu penting agar tahap kesedaran, kompetensi serta kebersamaan dalam pasukan menjadi lebih kukuh dan utuh.

    “Penguasaan ini bagi membolehkan anggota ATM diatur gerak dalam pelbagai tugasan pada bila-bila masa dalam menghadapi apa-apa jua ancaman mendatang dengan lebih efektif dan efisien.

    “Sebagai benteng utama pertahanan negara, aspek berkenaan perlu sebagai persediaan bagi cabaran dan ancaman terutamanya dalam menghadapi situasi keselamatan serantau dan global yang tidak menentu serta dibayangi peningkatan ancaman keselamatan bukan tradisional,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari ATM ke-88 disambut hari ini menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia hari ini.

    Kata Affendi, lebih dikhuatiri, ancaman masa kini hadir secara tidak bersemuka atau melalui medium baharu.

    Katanya, strategi peperangan Hibrid atau Hybrid Warfare diaturgerak pelbagai anasir, dengan memanipulasikan secara aktif kemajuan Revolusi Industri 4.0 terkini sebagai medium serangan mereka.

    Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM sedang melihat kaedah penyelesaian secara holistik dan seimbang yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kelestarian kualiti hidup veteran ATM, sekali gus menaikkan martabat mereka.

    “Walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dipertanggungjawab untuk memantau dan memelihara kebajikan mereka, namun, perlu diingat bahawa usaha dan insentif yang diberi bukanlah bersifat kekal.

    4M amat penting agar tahap kesedaran, kompetensi serta kebersamaan dalam pasukan menjadi lebih kukuh dan utuh.

    “Ini kerana keberkesanannya banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan kerajaan selain sumbangan dan ehsan oleh syarikat dan juga orang perseorangan,” katanya.

    Affendi turut melahirkan kebimbangan anggota tentera yang akan menamatkan perkhidmatan terjerumus ke dalam kumpulan pendapatan isi rumah di bawah paras atau di kategori B40 dalam situasi peningkatan kos sara hidup tinggi ketika ini.

    “Ia diburukkan lagi dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu akibat isu lambakan tenaga kerja yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

    Hari ATM yang disambut pada 16 September setiap tahun akan diadakan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 September ini.